Assalamualaikum Dan Selamat Datang... Blog ini terbuka untuk kritikan dalam usha untuk menambah baik..

Isnin, 11 Oktober 2010

Zaid Sejak Menyertai KEADILAN Merancang Jadi Presiden

SHAH ALAM 9 Okt - Timbalan Presiden KEADILAN, Senator Dr Syed Husin Ali berkata memang menjadi perancangan dan strategi Datuk Zaid Ibrahim untuk mengambil alih pimpinan tertinggi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) dari Datuk Seri Dr Wan Azizah wan Ismail sejak beliau menyertai sebagai anggota parti tahun lalu.

Dr Syed Husin berkata kini semua perancangan Zaid sudah terserlah dan terpulang kepadanya samada mahu mencabar Dr Wan Azizah untuk merampas jawatan presiden parti pada pemilihan pimpinan pusat November depan.

"Tak apalah, biarlah, dia berhak untuk mencabar (Wan Azizah), dia berhak untuk bertanding. "Memang itu yang dirancang daripada awal dulu. Itu hak dia," katanya kepada Suara Keadilan ketika diminta mengulas mengenai usaha Zaid mahu mencabar Wan Azizah untuk jawatan berkenaan.

Pada sidang media semalam Zaid yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Wilayah Persekutuan berkata beliau akan bertembung dengan Dr Wan Azizah bagi jawatan presiden dengan syarat Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzan Anwar bersetuju menyertai pertandingan bagi kerusi Timbalan Presiden.

Dr Syed bagaimanapun enggan mengulas apabila ditanya samada keghairahan Zaid mahu merebut jawatan tertinggi parti telah menyebabkan keadaan tegang dalam parti. "Soal dia nak porak-perandakan (KEADILAN), itu saya tak mahu komen," katanya.

Sebelum ini, Zaid menunjukkan pendirian yang berbeza apabila menegaskan beliau tidak mementingkan jawatan dan hanya mahu menawarkan diri untuk jawatan Timbalan Presiden parti itu.

Beliau juga berjanji untuk menarik diri daripada pertandingan bagi jawatan Timbalan Presiden untuk memberi laluan kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sekiranya beliau berminat kepada jawatan itu.

Tetapi semalam nadanya bertukar apabila sanggup pula memberi laluan jika Nurul Izzah bertanding jawatan tersebut.

Zaid berkata beliau sanggup bertanding jawatan lain dan tidak menafikan kemungkinan mencabar Dr Wan Azizah untuk kerusi Presiden. Dr Wan Azizah mendapat pencalonan dari 123 cabang untuk mengekalkan jawatan Presiden manakala Zaid menerima tiga pencalonan.

Untuk jawatan Timbalan Presiden, Zaid menerima 38 pencalonan manakala seorang lagi pencabar, Mohamed Azmin Ali mendapat 102 pencalonan dan Mustaffa Kamil Ayub pula sebanyak 25 pencalonan.

Nurul Izzah pula menyatakan beliau hanya berminat untuk mengisi jawatan Naib Presiden.

Suara Keadilan

Tiada ulasan:

Template by : realaduka .blogspot.com