Assalamualaikum Dan Selamat Datang... Blog ini terbuka untuk kritikan dalam usha untuk menambah baik..

Isnin, 15 November 2010

Zaid akhirnya keluar PKR seperti dijangka

KUALA LUMPUR, 15 Nov — Datuk Zaid Ibrahim akhirnya keluar Parti Keadilan Rakyat (PRK) — sebagaimana telah dijangkakan ramai sebelum ini, seminggu selepas mengumumkan beliau menarik diri daripada bertanding jawatan timbalan presiden.

Isnin lalu, beliau mengumumkan menarik diri daripada bertanding jawatan timbalan presiden atas alasan diselubungi kepincangan dan kecacatan.

Malah ketika itu beliau juga mengumumkan akan melepaskan kesemua jawatan dalam parti dan hari ini memutuskan untuk meninggalkan PKR.

“Saya tahu hari saya dalam parti (PKR) sudah dihitung kerana pemimpin — pemimpinnya secara terus-menerus menyerang saya,” kata Zaid yang menyertai PKR 18 bulan yang lalu.

Kata Zaid, beliau mengambil keputusan keluar PKR kerana mahu memutuskan hubungan dengan pembohong dan penipu.

Minggu lalu, Zaid turut meminta Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pesaing jawatan timbalan presiden Azmin Ali agar meninggalkan PKR atas alasan mereka punca kepada segala masalah dalam parti komponen Pakatan Rakyat itu.

Zaid, penyelaras Pakatan Rakyat, menyertai PKR pertengahan Jun 2009 selepas dipecat oleh Umno beberapa bulan sebelum itu, di mana beliau juga kritikal dengan kepimpinan Datuk Seri Najib Razak.

Kelmarin, Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata Umno tidak akan menerima beliau kembali.

Dalam temu bual dengan The Star edisi hari ini, Zaid berkata, “saya tidak jelek dengan parti tetapi jelek dengan pemimpin-pemimpin yang sakit dalam parti.”

Zaid mengambil keputusan ini ketika tinggal sebulan lagi Pakatan Rakyat dijadual mengadakan konvensyen kedua mereka di Pulau Pinang.

Malah kata Zaid, beliau diserang bertubi-tubi hanya kerana meminta agar diadakan pemilihan yang bersih dan adil.

Selasa, 9 November 2010

ZAID MENGAKU MAHU GANTI ANWAR, APA YANG AZMIN PATUT BELAJAR AGAKNYA?

ZAID tanpa rasa segan dan malu mendakwa beliau layak menggantikan DS Anwar memimpin PKR. Baca sini. Zaid yang dihukum oleh Umno atas rasuah politik, masuk PKR kemudiannya tewas di Hulu Selangor, dapat jawatan Ketua Cabang PKR Wilayah Persekutuan secara `percuma' ini ada hati mahu menggantikan DS Anwar? Jangan muntah dulu....

Zaid kata DS Anwar tidak layak lagi memimpin PKR dan juga PR kerana beliau ada masalah tersendiri. Kekalahan PR di Batu Sapi dan Galas juga dibebankan kepada DS Anwar. Ada beliau datang ke Batu Sapi bantu calon? Ada beliau berkampung di Galas bantu PKR? Beliau tidak sebut kejayaan yang banyak dicapai di bawah pimpinan DS Anwar, kerana hatinya terlalu busuk semata-mata untuk berkuasa di dalam PKR. Bahkan bercita-cita tinggi untuk memimpin PR. Itulah Zaid Ibrahim tokoh yang baru `dua hari' kenal PKR.

Zaid tertinggal jauh dibandingkan dengan Azmin untuk jawatan Timbalan Presiden PKR. Jika beliau mendahului Azmin sepertimana awal dulu, agak-agak Zaid jadi `gila' seperti sekarang atau tidak? Aku mulanya tidak percaya anggapan orang yang menyebut Zaid itu `racun' di dalam PKR tidak ubah seperti ejen Umno yang diutus untuk menghancurkan PKR. Tetapi, bila aku fikir balik sukar untuk aku menolaknya sekarang.

Masa Zaid tiada di dalam PKR, pemilihan di dalam PKR berjalan lancar, penuh harmoni di mana menyaksikan Azmin tidak pernah menentang Timbalan Presiden PKR waktu itu walaupun beliau mendapat sokongan agak besar. Sifat hormat menghormati begitu kuat waktu itu. Bila Zaid masuk Umno, kita sambut baik. Dia awal-awal sebut tidak mahu rebut jawatan tertinggi dalam parti. Tetapi, akhirnya dengan penuh putar belit dengan syarat itu ini, akhirnya masuk bertanding. Bila terasa nak kalah, malu dengan kekalahan di tangan Azmin yang beliau kata `perlu belajar' lagi tu, beliau cari pasal salahkan pihak lain. Lalu, beliau tarik diri.

Azmin perlu belajar lagi, katanya. Belajar apa lagi Zaid? Belajar masuk penjara? ISA ? Kamu pernah masuk penjara ke Zaid? Belajar rasuah politik wang seperti yang kamu lakukan dalam Umno dulu? Itu yang kamu mahu Azmin belajar?

DS Anwar mempunyai masalah katanya. Sebagai kawan kalau kamu baik dan ikhlas, kamu sepatutnya membantu kawan kamu apatah lagi dia yang bawa kamu masuk PKR. Tapi, kamu sanggup lepaskan tengkuk kamu demi jawatan yang kamu mahu. Kamu mahu ganti tempat DS Anwar dan biarkan DS Anwar sendirian dengan musibah yang melandanya? Inikah pemimpin yang kita mahu dalam PKR atau PR. Cukuplah Zaid....kamu sepatutnya balik ke Kota Bharu atau berguru dengan Berahim Ali lagi bagus daripada jadi perosak dalam parti./wfauzdin.blogspot.com

Sekuman Pun Tidak Terkejut Dengan Tindakan Zaid

MSO
DALAM perjalanan ke pejabat pagi tadi (aik.. ada pejabat pulak?) saya menerima SMS dari seorang Exco Kelantan yang memperpanjangkan berita ringkas dari sebuah portal berita melaporkan mengenai Zaid Ibrahim yang telah mengumumkan meletakkan semua jawatan dalam PKR dan menarik diri dari bertanding jawatan timbalan presiden?

Sesampai di pejabat (di mana pejabat?) saya tidak pun peduli kepada SMS berkenaan. Saya sibuk sikit hari ini dengan urusan pejabat yang belum selesai. Selepas itu beberapa orang telefon bertanyakan berita mengenai Zaid. Rupanya berita itu sudah kecor (heboh) ke seluruh negara. Paling menyayat hati ialah panggilan dari salah seorang Ajk PKR Cabang Wangsa Maju, Baharuddin.

Malam tadi Baha bercakap panjang dengan saya bertanyakan mengenai sesiapa calon timbalan presiden PKR yang elok perangai dan patut dipilih. Saya jelaskan kepada Baha yang ketiga-tiga mereka tidak berapa menarik kepada saya. Zaid seorang yang arrogeant, agah kata orang Kelantan, dia agah dengan kedudukannya sebagai lawyer dan merasakan dia cerdik dalam serba serba. Dialah merasakan dia bersih dan benar dan jauh sekali korup.

Azmin Ali pula... juga agah. Dia merasakan dia anak emas kepada Anwar Ibrahim dan orang yang kuat membantu Anwar menghidupkan parti PKR. Dari segi umur dalam PKR Azmin lebih tua dan lama daripada Zaid yang baru setahun jangung, kata saya.
Sebab itulah Azmin merasakan dia layak.

Manakala Mustapa Kamil Ayub pula, lebih kurang saja. Cuma Mustapa dibezakan oleh janggut sejemputnya. Laga dan fiil beliau juga lebih kurang Zaid dan Azmin. Penampilan Mustapa ini penampilan cendekiawan. Walaupun Mustapa agah, agah tidak berpitis (berwang) seperti Zaid dan Azmin, kata saya. Mustapa lebih menampakkan dirinya Islamik sikit berbanding dengan lebih-lebih lagi Zaid.

Di sepanjang pemilihan timbalan presiden tidak ada laporan dan bisikan mengatakan Mustapa main wang - rasuah ahli agar mengundinya. Sebaliknya banyak SMS dan bisikan mengatakan Azmin dan Zaid sama hebat main wang. Seorang wakil rakyat PKR dari Kelantan memberi tahu saya ada gambar menunjukkan Zaid menghulurkan wang kepada ahli.

"Jadi siapa yang kena pilih?" tanya Baha sudah mula kebingungan. Mulanya dia orang Zaid kerana dia dari kawasan Wangsa Maju.

"Pilihlah sesiapa di antara ketiga mereka itu. Tetapi kawan (saya) nak royak yang Zaid akan kalah dalam perlawanan ini. Kalau dia kalah dia akan tinggal parti, tak percaya tenguk lah nanti?" jawab dan balas saya sungguh. Baha jadi semakin bingung. Firasat saya sudah merasai hakikat itu lama sebelum ini. Baca balik posting saya yang memberi ingatan agar kedua mereka jangan jadi petaka kepada PKR.

"Habis lagu mana kalau begini, rosak parti," katanya kesal dan keluh di hujung telefon.

"Kawan dah kata dan memberi ingatan kepada Zaid dan Azmin jangan sampai jadi petaka kepada PKR," kata saya kepada Baha. Baha jadi tambah bingung dan berjanji untuk sambung berkecek hari ini.

Nampaknya rancangan untuk berkecek (bertemu) dengan Baha mengenai calon timbalan presiden PKR tidak jadi. Zaid sudah pun tarik diri dan letak semua jawatan. Persaingan kini antara Azmin dengan Mustapa Kamil. Kedudukan kini pula Azmin sudah meningalkan Mustapa Kamil jauh di belakang. Semacam sudah sah Azmin akan jadi timabalan presiden. Suka tidak suka itulah yang ada. Azmin sangat seronok dengan tindakan merajuk Zaid itu.

Kesian kepada Mustapa Kamil. Kalau Zaid ambil keputusan awal, dengar nasihat saya supaya jangan bertanding, mungkin dia ada harapan. Undi Zaid akan belot kepada Mustapa Kamil. Tetapi nasi sudah menjadi bubur, Zaid bukan saja mengecewakan pengikutnya tetapi turut mengecewakan Mustapa Kamil. Tentunya juga melukai hati Anwar Ibrahim sekali. Apalah malang nasib Anwar apaklah ini sebahagian kifarah Allah?

Apa yang hendak dikatakan dengan tindakan Zaid ini? Bagi saya senang saja. Zaid tidak layak untuk menyertai mana-mana parti politik dalam negara ini. Sebabnya... tidak ada parti yang perfect, sempurna dan syumul yang diimpi-impikan Zaid. Cara Zaid mengkritik orang lain dan partinya itu seolah-olah beliau mengharap akan ada parti yang bersih turun dari langit atau datang dari syurga. Zaid terlalu idealis mengenai hal ini. Pencarian Zaid itu sia-sia saja kerana manalah ada gula dalam jadam.

Zaid memang seorang kritis, tegas dan bersih. Beliau merasakan dirinya sesuci embun pagi. Jadi parti politik di Malaysia ini baik Umno, baik PKR hatta Pas sendiri tidak sebersih embun pagi. Semuanya ada tipu muslihat, apa lagi ketika ada pertandingan. Bezanya sikit atau banyak besar atau kecil saja.

Umno tidak usah ceritalah. Zaid sendiri turut sama terlibat dengan kekotoran dan cara Umno berebut jawatan. Dia pernah jadi orang Umno. Dia pernah digantung kerana telibat dengan politik wang. PKR juga asalnya orang Umno. Cara Umno, budaya anjing tak makan tahi tetapi hidu tahi tetap ada dalam PKR. Jadi apa nak peliknya? Zaid tidak perlu terkejut kalau berlaku penyelewengan seperti mana dia katakan itu sebab PKR adalah genetik Umno. Sebelum dia kesal dan kecea patutnya dia sudah merasai situasi itu kerana dia kenal Umno.

Dari awal sejak mula berbual dengan beliau secara rapat, saya sudah nasihatkan beliau supaya jangan cepat menyertai PKR. Beliau kena tunggu dan lihat dulu bagaimana perjalanan, gerak geri dan juga denyut nadi dalam Umno. Jangan mudah terpesona dengan kehebatan dan variasi PKR. Tetapi Zaid tidak sabar dan mempedulikan apa yang saya sebutkan. Dia nampak PKR adalah alternatif kepada Umno. Kemenangan besar PKR dalam pilhan raya umum menjadikan dia lupa bahawa PKR asalnya Umno?

Maka dia mengumumkan masuk PKR di satu majlis di Sungai Ramal, Cheras. Bila dia membuat pengumuman, saya tidak dapat berkata apa-apa lagi mengenai dirinya. Dia sudah membuat pilihan dan itu adalah haknya. Saya hanya tunggu dan mahu melihat sejauh mana kekuatan dan kesabarannya untuk mendaki gunung siasah bernama PKR.

Saya sudah bayangkan ia bukan senang untuk Zaid sampai ke puncaknya. Banyak sebab. PKR bukan sebuah syarikat yang boleh dimanipulasikan Zaid dengan undang-undang, moral dan kredibilitinya untuk memilikinya. Wang yang banyak tidak menjamin dia akan dapat membeli PKR.

Apabila kerusi Parlimen Hulu Selangor kosong, dia ada bertanyakan saya. Dia membayangkan mahu bertanding atas alasan dia kena berada dalam Parlimen untuk membantu Anwar. Katanya wakil PKR yang ada semuanya tidak bertenga dan kuat untuk membantu Anwar. Ewah... sedap bunyinya. Saya kata, lebih baik tidak payah. Alasan saya, dia akan kalah, kedua dia akan dimarahi oleh orang lama dalam PKR, dan ketiga dia akan 'kehilangan' wang dalam pilihan raya itu.

Mulanya dia diam. Mungkin menerima pandangan saya. Lepas itu dua tiga hari panggil saya lagi dan minta pandangan. Saya tetap mengatakan jangan, sebab dia akan kalah. Dia cuba bahas, katanya ada perubahan dalam minda rakyat kini. Rakyat sudah bencikan BN. Saya kata kalah. Bila dia nampak berkeras nak juga, saya tidak ada pilihan lain melainkan menghalaknya. Saya memberi semangat pulak.

Mari pula musim bertanding jawatan dalam PKR. Dia sekali lagi menghubungi untuk minum di Bangsar. Percakapan berkisar kepada masa depan Anwar. Dia memberi pandangannya yang Anwar akan di penjara disebabkan kes liwat. Dia cukup yakin! Bila Anwar masuk penjara siapa nak gerakkan PKR, tanyanya. Baginya tidak ada tokoh yang layak yang ada dalam PKR kini. Saya sudah faham dia mahu bertanding jawatan tertinggi dalam parti berkenaan dengan harapan akan jadi presiden PKR.

Saya memberi pandangan sekali lagi secara ikhlas agar jangan bertanding. Bagi saya dia sudah cukup istimewa dalam PKR. Sudah ada jawatan penting tidak payah temoh (tamak) untuk jawatan tinggi. Dia sudah dilatik ajdi Ajk Biro Politik, Penyelaras Pakatan Rakyat, dilantik jadi Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan dan dilantik (pilih) pula jadi pengerusi PKR Cabang Wangsa Maju. Dia harus tumpukan kepada jawatan dan tugas itu. Saya membayangkan kalau berlaku pertandingan PKR akan mengalami perpecahan, ini satu kemalangan dan kecelakaan kepada PKR.

Belliau bergerak ke Wangsa Maju kerana nak bertanding di sana dalam piliahan raya akan datang. Sebelum ini dia memasang angan-angan untuk kekal di Hulu Selangor. Nak jaga dan suburkan PKR Hulu Selangor. Dalam masa sama juga dia berangan-angan untuk bertanding di Kota Bharu. Penjualan bangunan Umno Kota Bharu adalah modalnya untuk menawan hati orang Pas Kota Bharu. Saya pening melihat sikap Zaid ini dan makin mengenali perangai dan fiilnya.

Dia seorang yang tidak isriqamah dan gelojoh dalam membuat keputusan. Tidak berhati-hati dan membuat selidikan mendalam akan kesan dan implikasinya. Jiwanya tidak tenang. Jauh sekali memiliki jiwa mutmaninah! Dia lorat tidak tentu fasal. Saya tidak tahu apakah yang sedang bermain di dalam jiwanya. Mungkin tindakan beliau meletak jawatan dan tarik diri bertanding untuk membolehkan dia mengembalikan dirinya kepada ketenangan semulajadi. Baguslah...

Tetapi tindakan itu sudah terlewat. Ia akan ditengok dan disuluh sebagai orang yang kecewa. Tohmahan kepada PKR sebagai parti yang lemah, tidak progresif, tidak adil dan sebagai kebusukan itu adalah balikkan daripada apa yang ada kepada dirinya. Selepas ini kalau Zaid ingin menyertai mana-mana parti usahlah layan beliau. Lebih elok Zaid tubuh parti sendiri dan lantik diri sendiri untuk jadi presiden itu lebih afdal dan memudahkan untuk beliau mencapai matlamatnya! Atau beliau boleh memperhebatkan kebajikan menerusi Yayasan Kota Bharu milik isterinya [wm.kl. 8:00 pm 08/11/10]

Isnin, 8 November 2010

Zaid "mati sebelum ajal"


Datuk Zaid Ibrahim mengumumkan menarik diri daripada bertanding jawatan Timbalan Presiden Keadilan dan meletak semua jawatan dalam parti itu.

Beliau yang juga Pengerusi Perhubungan Keadilan Wilayah Persekutuan membuat keputusan itu kerana tidak ada usaha dari pimpinan parti untuk mengatasi pelbagai masalah manipulasi dan amalan pemilihan yang tidak adil, walaupun isu itu diungkit berkali-kali.

“Saya ditawarkan untuk bergabung dengan parti ini di bawah kepercayaan bahawa saya boleh mempromosikan politik progresif, memelihara dan mengembangkan nilai-nilai politik berprinsip dan budaya yang saya anggap penting bagi perkembangan demokrasi dan tata pemerintahan yang baik di negara ini.

“Aku salah,” tulisnya di dalam blognya http://www.zaiduntukrakyat.com hari ini.

Sharpshooter - Bukan mudah untuk menjadi seorang pejuang tulen yang sanggup menghadapi segala risiko. Jika takut pada risiko usah bicara soal perjuangan. Kita mampu berbicara tentang misi dan visi perjuangan tetapi tiada ertinya bila kita membuat keputusan drastik dengan meletak jawatan atau menarik diri.

Sharpshooter juga pernah berkata kepada imam muda Batu Cave YB Amirudin, mengapa team anda "Generasi Reformasi" yang diketuai oleh Rafizi, "mati sebelum ajal." Sebagai pemimpin anak muda kita wajib punyai pendirian yang jelas dan tegas bukannya tunduk dan angguk kepada telunjuk seorang pemimpin. Sebagai pemimpin anak muda kita wajib berjiwa merdeka dan bukannya bertanding atas arahan seseorang dan akhirnya menarik diri juga atas arahan seseorang.

Pemimpin anak muda wajib berdikari dan bukannya bergantung atau menyorok dibawah ketiak seorang pemimpin. Pemimpin anak muda akan dilihat terlalu lemah bila mana ianya bertindak atau membuat keputusan atas arahan orang lain tidak kira apa juga alasannya samada "U-Turn" atau "T-Junction." Bagaimana kita mahu menjadi seorang pemimpin anak muda yang hebat dan disegani sekiranya diri kita sendiri pun ibarat "masih menyusu dengan mama dan menyorok di bawah ketiak abah".

Berbalik kepada isu Zaid, ramai yang menelefon bertanya apa sebenarnya Zaid tarik diri dan melepaskan semua jawatan. Apa yang terjadi sebenarnya? Sebenarnya apa juga alasan yang diberikan oleh Zaid samada tentang ketidak telusan pemilihan atau soal campur tangan Anwar Ibrahim yang bermatian-matian bagi memastikan calon kesayangannya Azmin Ali menang atau mungkin beliau terlalu kecewa kerana ditipu penyokongnya di Sabah atau sebagainya, mengapa harus beliau menarik diri dan melepaskan semua jawatan?

Sepatutnya jika kita benar-benar seorang pejuang, kita wajib lawan dan terus lawan soal ketidakadilan yang berlaku bukannya mengambil jalan mudah dengan melepaskan semua jawatan dan menarik diri. Jika takut dilambung ombak, usah berumah di tepi pantai. Inilah sebenarnya ujian yang wajib ditempuh jika mahu jadi seorang pejuang tulen.

Sharpshooter seperti semua sedia maklum memang terlalu rapat dengan Chegubard dan berkempen untuk memastikan Chegubard ditabalkan menjadi Ketua AMK Pusat yang baru. Apakah Chegubard tidak punyai tekanan dan serangan hebat serta fitnah kerana menentang calon pilihan wahyu? Apakah Chegubard tidak membuat laporan secara dalaman kepada parti? Tidak perlu sharpshooter dedahkan semua laporan kerana kami sayangkan Parti Keadilan Rakyat yang lahir di atas darah dan keringat rakyat.

Kami cukup yakin dan akan terus menegur segala kepincangan dan penyelewengan yang berlaku biarpun Chegubard ibarat "anak tiri". Inilah semangat luar biasa yang dimiliki oleh Chegubard "membujur lalu melintang patah." Chegubard ibarat Hang Jebat bukannya seperti Hang Tuah yang taat membuta tuli. Inilah kehebatan Chegubard bersama teamnya "Penerus Perjuangan Reformasi".

Chegubard berkata....
Biar seratus tekanan yang datang...
Biar seribu serangan yang melanda...
Biar sejuta fitnah yang dilontar...
Biar patah sayap namun bertongkat paruh ku terbang jua...

Namun apa yang lebih penting dan selalu sharpshooter berpesan kepada diri sendiri dan sahabat-sahabat seperjuangan, jangan terlalu taksub kepada mana-mana pemimpin. Pemimpin boleh datang dan pergi. Pemimpin bukan malaikat yang tidak buat salah. Anak muda wajib berani menegur pemimpin jika terbukti pemimpin tersebut tergelincir dari landasana perjuangan.

Kepada ahli Keadilan, ingatlah menang kalah adat pertandingan tetapi soal penyelewengan dan ketidakadilan wajib ditentang dan yang paling penting teruskan perjuangan dan ingatlah musuh sebenar adalah umno dan b-end bukan sesama kita.

Jangan sampai pimpinan PAS dan DAP akan tinggalkan Keadilan dalam PRU13 kerana Keadilan dianggap beban dan sampah. Jangan sampai bila setiap kekalahan, Keadilan dipersalahkan. Ayuh kita kukuhkan Parti Keadian dan kukuhkan Pakatan Rakyat dan teruskan perjuangan untuk menawan Putrajaya.

* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/

Ahad, 7 November 2010

PEMILIHAN PKR - BLOGGER SEDANG MENJAHANAMKAN PARTI

Oleh: WFAUZDIN NS

NEGARA musnah jika PKR menuju Putrajaya. Begitulah bunyinya beberapa Blogger menyampaikan isyarat untuk memperbetulkan parti ini. Jika demikianlah keadaannya buat apa lakukan kerja bodoh untuk terus bersama PR? Bukankah PR ingin bersama PKR dan DAP menuju Putrajaya? Masakan kerana taksub menyokong beberapa pemimpin dan teramat anti dengan Azmin, maka tergamak mereka menyebut begitu?

Saya tahu beberapa Blogger begitu mengharapkan Zaid Ibrahim menjadi Timbalan Presiden PKR, begitu juga ada Blogger yang ingin melihat Sdr Mustafa Kamil menjadi Timbalan Presiden PKR sama juga saya berharap agar YB Azmin memenangi kerusi Nombor Dua di dalam parti ini. Maka, pastilah masing-masing akan cuba berkempen untuk calon pilihan masing-masing. Peliknya, di dalam keadaan mereka ingin naikkan calon-calon mereka, mereka menyebut bahawa negara akan hancur jika PKR menuju Putrajaya. Mungkin, negara tidak jadi hancur seandainya Zaid memenangi pertandingan ini.

Dakwa mereka pemilihan PKR kali ini dicemari dengan tangan Azmin serta dibantu oleh Anwar. Peliknya, sehingga kini Azmin semakin dihampiri oleh Zaid dari segi jumlah undian. Jika benar tangan Azmin bersama Anwar mencatur pemilihan ini, bodoh sangat bagi Azmin untuk membiarkan dirinya dihampiri rapat oleh Zaid. Mungkin bagi puak ini, kedudukan YB Nurul Izzah yang berada di depan sekarang di dalam perebutan kerusi Naib Presiden PKR juga adalah hasil campurtangan Azmin dan Anwar? Tetapi ada yang mendakwa Azmin tidak `sebulu' dengan Nurul Izzah, mengapa pula Nurul Izzah sekarang berada di depan?

Bukan untuk menepis dakwaan kelemahan JPP mengendalikan pemilihan kali ini. Mungkin ada beberapa prosedur dan cara pemilihan yang diadakan boleh dipertikaikan. Bagi saya, jika PKR membatalkan kesemua pencalonan sebelum ini dan mengadakan pemilihan semula itu adalah lebih baik agar puak-puak itu berpuas hati. Tetapi, berpuas hati jugakah mereka jika mereka dapati calon yang mereka mahukan itu tidak mendapat pencalonan atau undian yang tinggi? Mereka akan mencari seribu alasan lain untuk mengatakan pemilihan patut diadakan semula.

Kita boleh beri pendapat dan kita juga boleh tidak bersetuju dengan sesiapa di dalam parti. Tetapi untuk menyebut keburukan parti sehingga ingin menyamakan dengan Umno adalah satu perbuatan yang teramat bodoh. Lebih baik keluar dari parti yang kita sendiri percaya parti ini akan meruntuhkan negara suatu hari nanti.

Saya tetap yakin, semua ahli PKR akan dapat menilai siapa yang sebenarnya sayangkan parti atau sayangkan dua tiga kerat tokoh parti. Apa yang penting, parti telah laksanakan pembaharuan yang baik dari segi amalan demokrasi. Kelemahan tetap wujud, jika ada penyelewengan berlaku menjadi kewajipan pimpinan parti memperbaikinya segera. Samada Azmin, Zaid atau Mustafa memenangi pemilihan kali ini, biarlah mereka menang dengan bermaruah. Jika terbukti ada unsur yang tidak baik sepanjang pemilihan ini, PKR wajib mengambil tindakan tegas ke atas sesiapa sahaja. Sekadar bercakap dan menuduh seolah-olah calon pilihan kita sahaja yang betul, sampai bila pun parti ini tidak boleh kita baiki bersama./wfauzdin.blogspot.com

Qardhawi Malaysia Sila Pilih Gelanggang

MSO


WALAUPUN mantan atau sudah menjadi bekas penjawat sesuatu jawatan, tetapi kadang-kadang kenyataan mereka lebih berbara daripada kenyataan penjawat jawatan yang sama. Kenyataan mereka masih menjadi renungan, panduan dan bahasan orang ramai. Dalam kata lain kenyataan mereka persis lahar gunung berapi dan boleh menimbulkan kontroversi. Apakah sifat ini menandakan mereka (mantan, bukan menantang) ini masih berbisa dan relevan?

Perhatikan kepada kenyataan atau ulasan yang keluar dari rongga mulut dua mantan dari dua profesyen yang berbeza, Dr Mahatahir Mohamad selaku mantan PM dan Mohd Asri Zainul Abidin, mantan Mufti Kerajaan Negeri Perlis. Kenyataan dan ulasan mereka sering menjadi rujukkan dan tajuk besar sebuah akhbar arus perdana. Kenyataan dan singgungan mereka terhadap seseorang atau isu masih laku untuk melariskan jualan akhbar berkenaan.

Ternyata selepas menjadi mantan, (bukan menantang) apabila terlepas dari rantai general order, tindakan disiplin dan undang-undang profesyen, mereka jadi lebih berani dan keras. Nampak lebih jujur dan ikhlas. Mereka semacam memejelmakan diri hakikat mereka yang kini sedang menyinggahi syurga.

Apakah untuk mendapat ulasan keras, telus dan berani seseorang itu harus berada dari luar kandang profesynya yang terikat dengan peraturan terlebih dahulu? Jadi kalau begitu, pecatlah mereka (penjawat jawatan sebegitu) baru mereka akan berkokok dengan suara sebenarnya. Baru mereka berpijak di bumi nyata. Selagi mereka dalam jabatan, terikat dengan undang-undang profesyen, general order mereka berkokok hanya separuh suara saja? Ertinya suara mereka sebelum ini adalah suara selektif demi memenuhi naluri parti pemerintah.

Mereka sebegitu mereka yang tidak jujur kepada diri sendiri. Mereka yang cuba hendak menegakkan keadilan tetapi keadilan di dalam diri sendiri mengendur dan mengelebeh. Mereka sebegitu adalah pejuang yang mencari makan menerusi jawatan mereka. Atau yang menyuapkan makanan menerusi lubang bawah bukan atas. Nilailah sendiri kualiti orang sebegitu.

Mahathir jadi berani dan lebih terbuka mengkritik Umno apabila beliau tidak jadi presiden Umno. Dia nampak penyakit Umno dan dapat menghidu segala kebusukan dan kehampakan Umno yang sudah berulat selepas dia tidak berkuasa dalam Umno. Selama dia berkuasa dalam Umno dia juga melakukan kesalahan yang dia benci sekarang ini. Merasakan Umno adalah haruman agung di firdausi.

Walaupun teguran Mahathir itu betul, tetapi ianya cacat dan sumbang sebab semasa beliau berkuasa beliau tidak menegurnya. Apakah manusia sebegini bukan manusia muanfik? Bila Abdullah Badawi jadi PM Mahathir tiba-tiba beliau dikuriakan kahsyaf oleh Allah untuk melihat segala kebejatan dalam Umno. Umno tiba-tiba menjadi huduh menyebabkan Mahathir keluar dari parti berkenaan. Abdullah bagi Mahathir seolah seperti hantu dan jembalang.

Demikian dengan Asri Zainul Abdiin yang kini menjadi mufti swasta yang paling berani, paling adil dan paling telus dan paling afdal? Selepas beliau tidak menjadi Mufti Perlis nampaknya beliau mahu menjadi Mufti dunia seperti Yusuf al Qardhawi – memberi pandangan, memberi fatwa dan mengkritik apa yang difikirkan palsuan dan bercanggah dengan syariah Islam. Asri adalah Ysuf Qardhawi Malaysia. Itu nampaknya yang beliau mahu cari dan lebelkan kepada dirinya, ulama bertaraf internasional yang bebas dan progresif.

Selepas beliau jadi Yusuf Al Qardhawi, skop percakapannya luas dan bebas. Ia bukan bercakap fasal hukum hakam agama saja. Tetapi sudah menjangku minda semua orang termasuk melintasi minda orang politik. Dia sudah berkeupayaan mengeluarkan fatwa-fatwa politik yang kontroversi dan bertentangan dengan penilaian demokrasi umum. Dia dlihat dan cuba memperlihatkan dia lebih canggih dari politician modern sekular dan juga politician Arab Melayu.

Kita menerima kalau beliau meperluaskan ilmu dalam tubuhnya. Dari bercakap soal kebebasan beragama, keringkasan dalam beribdat, anti bidaah dan khurafah kepada isu-isu politik dan turut memiliki ilmu untuk menyuluh apa yang ada dalam rektrum orang politik. Anihnya semasa Mahathir jadi PM slama 22 tahun dia tidak menerima hidyah untuk berbuat demikian. Kenapa? Apakah rektrum Mahathir kudus dan mulus?

Tidak kedengaran Asri bercakap mengulas mengenai pembangunan duniawi gila-gila yang Mahathir lakukan. Tidak pernah Asri menegur Mahathir yang gagal membawa perpaduan antara Pas dengan Umno. Tidak pernah beliau menegur masalah sosial di zaman Dr Mahathir? Tidak pernah beliau memberi formula untuk mengatasi masalah perkauman? Tidak pernah beliau ulas mengenangi kepincangan dasar dan pratik ekonomi baru di zaman Mahathir yang memberi kekayaan kepada kroni?

Anehnya selepas menjadi Yusuf al Qardhawi beliau rapuh untuk mengkritik dan menegur Anwar Ibrahim. Semacam ada imbuhan atau pun baksis tetap untuknya dengan berbuat begitu. Ada semacam dengki dan irihati beliau kepada Anwar Ibrahim. Smaca ada kontras dalam hal ini?

Tidak salah menegur dan mengkritik Anwar. Dia bukan maksum seperti juga Mahathir atau Najib atau Nik Aziz. Body Anwar juga rosak macam body Najib atau Mahathir. Tetapi cara Asri menegur itu ia tidak jujur dan semacam menggunakan air liur ahli Parlimen Kulim Bandar Baru saja. Kalau nak tegur dan buat pernilaian gunalah mirzan Allah dan bukan mirzan atau dacing BN.

Dua tiga hari lepas beliau minta Anwar berundur. Katanya Anwar gagal jadi ketua pembangkang yang berkualiti dan berkesan. Politik anjuran Anwar juga tidak seimbang dan mengikiskan nilai atau kualiti baik dalam politik dan menyumbang nilai buruk. Begitu kira-kira maksudnya.

Saya ingin bertanya Asri, apakah beliau berlaku adil kepada dirinya sendiri dalam membuat penilaian ke atas kerja-kerja Anwar sebagai ketua pembangkang dengan kerja ketua pembangkan sebelum ini. Apakah beliau mengira Tan Chee Kon lebih baik daripada Anwar ataupun Lim Kit Siang dan Abdul Hadi Awang lebih baik daripadanya? Rasanya Asri tidak membuat perhatian secara menyeluruh mengenai hal ini dan menimbang Anwar dengan dacing BN semata-mata. Untuk pengetahuan Asri selama beliau membuat pertimbangan menggunakan dacing BN selama itu natijah yang benar tidak akan diperolehi kerana dacing itu sendiri sudah rosak.

Asri juga mengatakan PKR atau Pakatan Rakyat memerlukan pemimpin baru jika tidak momentum pembakang yang ada sekarang akan lupus. Saya bersetuju perlu ada persediaan untuk ini. Anwar atau sesiapa yang berada di batisan hadapan dalam Pakatan hari ini tidak akan kekal. Paling lama selepas pilihan raya umum ke 13 mereka akan kondam. Malangnya Asri tidak sedia memberi calon untuk menggantikan Anwar Ibrahim. Sambil menolak Anwar beliau kena tunjuk calon lain yang dilihat menerusi jiwa batin dan kahsyafnya. Apakah yang layak memimpin PKR dan Pakatan Rakyat; Azmin Ali, atau Zaid Ibrahim (dari PKR) ataupun Abdul Hadi Awang, atau Husam Musa atau Nasharuddin Mat Isa dari Pas?

Orang-orang ini saya rasa tidak bertakhta di dalam hati Asri untuk diangkat menjadi pemimpin kerana kurang senafsu dengannya kecuali Nik Aziz. Tetapi masalahanya Nik Aziz sudah lama dan letih.

Orang memahami dengan apa yang dilontarkan Asri itu. Para pencari pengganti Anwar akan faham. Tetapi saya rasa banyak yang tidak faham dan terkapai-kapai dengan pandangan beliau itu. Asri kena jujur di dalam hal ini. Ulama bukan saja menyatakan haram tetapi menghuraikan apakah sebab-sebab haram. Selepas sesuatu (kalau makanan itu haram) maka ulama juga kena menunjukkan apakah makaan halal dan kena menyediakannya. Tanpa menunjukkan makanan halal menyebabkan orang akan mati kebuluran dan kematian itu sangat zalim dan dosanya akan menimbus ke atas pundak ulama.

Adalah zalim kalau ulama menutup jalan kerana satu muslihat tetapi tidak membuka jalan untuk keluar dari muslihat itu. Kalau Asri sendiri merasakan dia merasa sudah popular amat, dan boleh memimpin negara ini, beliau perlu membuat persiapan. Saya ingin sebut, dalam politik demorkasi keserabutan dan menhajnya tak sama dengan pancaroba dilalui mufti. Seorang mufti boleh membuat hukum dan menghukum di atas sejadah. Tenguk mufti dalam Musang Berjanggut. Mutif boleh mengatakan haram di atas sejadah atau di birai jendela tetapi orang politik untuk mendapt sokongan rakyat perlu bertarung dan turun padang.

Asri kini sedang mencari wadah untuk berjuang. Beliau juga seperti tidak percaya menerusi jawatan Al Qardhawi Malaysia itu tidak akan membawa beliau ke mana. Jadi beliau perlu masuk gelanggang. Makanya lebih autentik kalau beliau mengkritik dan ingin mengajar rakyat membenci Anwar duduklah dalam gelanggang.

Pilihlah mana-mana gelanggang ... dan memandangkan UBN sudah mula mendapat kepercayaan rakyat(?) ekoran kemenangan di Galas dan Batu Sapi masuklah Umno dan bertadinglah di mana-mana kerusi dalam pilihan raya umum di situ baru populariti, ilmu, profesonalisme, libralisasi ataupun pulralisme fahaman agama anda milik akan diuji rakyat. Silalah... Mat Maslan sedang menanti dengan borang Umno. [wm.kl 11:20 am 07/11/10]

Dakwaan blogger Haris kertas undi dijual kenyataan liar, kata SU Agung PKR

KUALA LUMPUR, 7 Nov — Parti Keadilan Rakyat (PKR) menafikan siri dakwaan aktivis sosial Haris Ibrahim bahawa kertas-kertas undi pemilihan pusat parti itu, yang berlangsung sejak 29 Oktober lalu, kini dijual oleh kem Azmin Ali.

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail menyifatkan dakwaan itu sebagai “kenyataan liar Haris.”

“Borang yang Haris dedahkan itu adalah minggu lepas punya, sepatutnya sudah dihapuskan.

“Lagipun, warna borang minggu ini adalah berbeza dengan warna minggu lepas. Kalau (didakwa) ada jual beli kertas undi, mana kertas undi minggu ini,” kata beliau kepada The Malaysian Insider ketika dihubungi malam tadi.

Selain itu kata beliau, Jawatankasa Pemilihan Pusat (JPP) juga tidak menerima apa-apa aduan walaupun sistem pemilihan kali ini membolehkan setiap calon yang bertanding menghantar ejen proses pengundian dan pengiraan undi (PACA) di setiap pusat pengundian.

“Kalau ada anasir jual kertas undi, tentunya PACA paling awal menyerang JPP, bukan seorang blogger liar,” kata beliau lagi.

Pentadbir Pemilihan PKR Raden Shamsulkamar Raden Shamsudin juga menafikan perkara itu dengan menegaskan, beliau juga ingin tahu butiran lanjut mengenai tuduhan itu.

“Tidak benar... sebenarnya saya pun nak tahu dari mana, berapa banyak kertas undi boleh dibeli, harganya, tetapi kami telus (dalam mengendalikan pemilihan),” kata beliau lagi kepada The Malaysian Insider.

Calon jawatan naib presiden Nurul Izzah Anwar melihat dakwaan itu sebagai sesuatu yang berat.

“Saya memandang berat dakwaan ini dan saya menggesa agar siasatan mendalam dijalankan berhubung perkara ini,” kata Nurul Izzah yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai ketika ditanya tulisan Haris semalam.

Pada masa yang sama beliau meminta ahli-ahli parti bertenang dan berkata, parti harus mengambil tindakan tegas dengan menjalankan siasatan rapi.

“Sebaik sahaja siasatan selesai, parti harus mengambil tindakan tegas ke atas mereka yang mencuri harta parti, selain kerana telah membenarkan sekuriti dilanggar,” katanya lagi.

Sebanyak 68 cabang telah selesai mengadakan pemilihan pucuk kepimpinan pada hujung minggu lalu - pusingan awal tiga hari pertama - dengan Azmin kini mendahului Datuk Zaid Ibrahim dan Mustafa Kamil Ayub bagi pemilihan timbalan presiden.

Pada sidang media minggu lalu, Saifuddin telah memberi penjelasan berhubung kesilapan pada pengumuman keputusan rasmi yang menunjukkan Zaid, Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan, pada Isnin lalu mendahului saingan tiga penjuru jawatan nombor dua itu buat seketika.

Dalam blognya kelmarin di bawah tajuk ‘PKR, and its ballot papers, up for sale’ (PKR, dan kertas undi untuk jualan), Haris berkata, beliau akan menemui seseorang yang mendakwa mempunyai kertas undi, yang boleh digunakan dalam pemilihan kali ini dan akan menyerahkan kepadanya sebagai bukti.

Dalam tulisan susulan bertajuk “Kak Wan, what do you want me to do with these ballot papers? (Kak Wan, apa yang anda mahu saya lakukan dengan kertas-kertas undi ini) semalam, Haris berkata, beliau menemui lelaki berkenaan yang menunjukkannya kertas undi bagi jawatan timbalan presiden, naib presiden dan Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

“Kertas undi bagi jawatan timbalan presiden, naib presiden semuanya membawa nombor siri manakala kertas undi MPP tidak.

“Dia memiliki 100 keping kertas undi kesemuanya,” tulis Haris dalam blognya The People’s Parliament.

Haris berkata, beliau bertanya pihak yang bertanggungjawab mengeluarkannya tetapi dia enggan menjawab.

“Dia menjelaskan pengawas pemilihan JPP boleh memanipulasi senarai ahli yang menghadiri proses pemilihan, di mana peratusan keluar mengundi adalah rendah, diubahsuai ke arah peningkatan, dan dimasukkan kertas undi tambahan ke dalam peti undi,” katanya lagi.

Malah kata beliau lagi, di tempat tertentu tiada langsung senarai kehadiran ahli, keadaan yang membolehkan kertas undi tambahan dimasukkan ke dalam peti undi.

Haris memberitahu, lelaki berkenaan mengakui dia mendedahkan perkara berkenaan kerana kepimpinan yang dia memihak dilihat ditipu.

Malah menurut Haris, lelaki itu bertindak sedemikian dengan harapan sesuatu akan dilakukan untuk membetulkan keadaan itu dan jika tidak, tiada gunanya kekal dalam PKR.

Haris juga berkata, apabila ditanya siapa di belakang kejadian itu, lelaki berkenaan mendakwa Azmin dan sekretariat ibu pejabat dan beberapa anggota JPP di mana pengerusinya Dr Molly Cheah tidak lagi mempunyai kawalan ke atas jawatankuasa berkenaan.

Haris, peguam yang berpejabat di Bentong juga menunjukkan kertas undi yang didakwa diperoleh daripada lelaki terbabit dan mempersoalkan sama ada terdapat banyak lagi kertas undi di luar pada masa sekarang.

Haris juga bertanya sama ada Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang berjaya mempertahankan jawatannya tanpa cabaran akan melakukan sesuatu untuk mengatasi isu terbaru ini.

Malah dalam mesej Twitter semalam, Timbalan Presiden Senator Dr Syed Husin Ali pula berkata, “anggota-anggota PKR harus waspada terhadap blog-blog dan laman-laman web yang menabur pelbagai fitnah untuk gagalkan pemilihan parti.”

“Mereka punya agenda buruk,” kata beliau yang tidak mempertahankan jawatannya kali ini.

Hari ini masuk hari kelima pemilihan dilangsung dan tinggal lima hari lagi.

Isnin, 1 November 2010

Kesilapan data: Azmin pula mendahului

Perangkaan rasmi terbaru daripada setiausaha agung PKR Saifuddin Nasution menunjukkan naib presiden parti itu, Azmin Ali sedang mendahului dalam pemilihan timbalan presiden dengan mendapat 3,051.

Saifuddin memberitahu sidang akhbar di ibupejabat PKR di Petaling Jaya hari ini bahawa Datuk Zaid Ibrahim pula mendapati 2,529 undi manakala seorang lagi calon, Mustaffa Kamil Ayub memperolehi 1,149 undi.

Sebelum ini, lamanweb PKR menyiarkan keputusan yang menunjukkan Zaid masih mendahului perebutan jawatan nombor dua dalam PKR.

Difahamkan kesilapan itu dipercayai berlaku ketika proses memasuk data ke lamanweb berkenaan dan pihak parti sedang memperbetulkannya.

Berdasarkan keputusan laman web itu yang disiarkan pagi ini, (selepas 68 cabang mengundi), Zaid mendapat keseluruhan 3,683 undi, meninggalkan pencabar terdekat Azmin Ali yang memperolehi 3,051 undi.

Manakala seorang lagi calon Mustaffa Kamil Ayub mendapat 1,271 undi.

Walaupun halaman yang menyiarkan keputusan pengundian itu tidak dapat diakses selepas keputusan salah itu dimuatkan, semakan Malaysiakini pada jam 4.11 petang mendapati maklumatnya telah dibetulkan.

Manakala sidang akhbar Saifuddin yang dijadualkan pada jam 11.30 pagi, telah ditangguhkan sehingga jam 1 tengahari, dipercayai ada kaitan dengan keputusan tersebut.

Dalam sidang itu, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution menjelaskan kesilapan itu berlaku akibat tersalah kira akibat keputusan daripada 20 cabang diperoleh melalui telefon.

"Ia kesilapan manusia," katanya yang juga ahli parlimen Machang.

Sementara itu, bagi kerusi naib presiden pula, ahli parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar (3,543 undi) kini sudah dipintas oleh Pengarah Strategik PKR Tian Chua (3,621).

Mereka diekori Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang Mansor Othman (2,852) dan Pengarah Pilihan Raya PKR Fuziah Salleh (2,895).

Keputusan bagi calon naib presiden lain seperti berikut:

* Gobalakrishnan (2080)
* Xavier Jayakumar (1679)
* R Sivarasa (1553)
* Suresh Kumar a/l Ramachandran (1237)
* Yahya Sahri (1178)
* Baru Bian (659)
* Ansari Abdullah (646)
* Jonson Chong (626)
* Yusmadi Yusoff (615)
* S Manikavasagam (492)
* Dominique KH Ng (284)
* Saiman Marjuki (166)
* James Ghani (106)

Pemilihan PKR: Zaid, Tian Chua mendahului pemilihan pusat

KUALA LUMPUR, 1 Nov — Keputusan rasmi tiga hari pertama pengundian pucuk kepimpinan pusat PKR menunjukkan Datuk Zaid Ibrahim dan Pengarah Strategi Tian Chua berada di depan dalam saingan jawatan timbalan presiden dan naib presiden.

Keputusan yang dikeluarkan ibu pejabat PKR pagi ini menunjukkan Zaid, Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan memperoleh 3,683 undi manakala Naib Presiden Azmin Ali mendapat 3,051 undi.

Seorang lagi calon jawatan itu Mustaffa Kamil Ayub, yang juga naib presiden semasa, mengumpulkan 1,241 undi.

Bagi pemilihan sayap pemuda — Angkatan Muda Keadilan — muka baru Badrul Hisham Shaharin berada di depan dan sebagaimana diramalkan, Ketua Wanita Zuraida Kamaruddin mendahului saingan dengan selesa.

Sebanyak 68 cabang selesai mengadakan pengundian sehingga semalam. Ia bermula Jumaat lalu.

Pengundian akan diadakan di cabang-cabang lain sepanjang tujuh hari lagi secara berperingkat-peringkat. Pengundian cabang Pasir Mas yang sepatutnya diadakan Jumaat lalu juga telah ditangguhkan sehingga 6 November.

Chua, Ahli Parlimen Batu menerima 3,621 manakala Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar memperoleh 3,543 undi dan Pengarah Pilihan Raya Fuziah Salleh dengan 2,895 undi.

Nurul Izzah mendahului saingan hari pertama yang menyaksikan sembilan cabang melangsungkan pengundian.

Laporan tidak rasmi semalam, dengan keputusan enam cabang tidak diketahui, menunjukkan Azmin mengatasi calon-calon nombor dua pada hari ketiga semalam. Zaid berada di depan pada Jumaat dan Sabtu.

Azmin memperoleh pencalonan terbanyak untuk jawatan timbalan presiden dan disusuli dengan Zaid dan Mustaffa.

PKR kini melangsungkan pengundian di setiap cabang secara berperingkat-peringkat selama 10 hari sepanjang tiga minggu ini di bawah sistem pemilihan langsung — julung kali diperkenalkan ekoran pindaan perlembagaan parti tahun lalu.

Di bawah sistem itu, setiap ahli mempunyai hak mengundi untuk memilih pemimpin pusat.

Bagaimanapun pengundian pemilihan pusat ini berhadapan dengan peratusan keluar mengundi yang rendah berbanding ketika pemilihan kepimpinan cabang sekitar 20 peratus.

Sementara itu keputusan rasmi menunjkkan bagi jawatan naib presiden juga, Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang Datuk Dr Mansor Othman memperoleh 2,852 undi, Ahli Parlimen Padang Serai N. Gobalakrishnan 2,080, Exco Kerajaan Negeri Dr Xavier Jayakumar (1,679), Ahli Parlimen Subang R. Sivarasa yang juga naib presiden semasa menerima 1,553 undi, R. Suresh Kumar (1,237) dan Yahya Sahri (1,178).

Ansari Abdullah yang kini bertanding di pilihan raya kecil kerusi Parlimen Batu Sapi menerima 646 undi, pemimpin PKR Sarawak Baru Bian (659), bekas pengarah komunikasi PKR Jonson Chong (626), Ali Parlimen Balik Pulau Yusmadi Yusoff (615), Ahli Parlimen Kapar S. Manikavasagam (492), Pengerusi PKR Sarawak Dominique Ng (284), Setiausaha PKR Johor Saiman Marjuki (166) dan Ketua PKR cabang Papar dari Sabah, James Ghani (106).

Di peringkat sayap Wanita, penyandang kerusi Wanita Zuraida Kamaruddin berada di depan dengan 1,160 undi berbanding dua pencabarnya, Animah Ferrar yang mendapat 408 undi dan Suraya Sudin 403 undi.

Bagi jawatan timbalan ketua Wanita, Exco Kerajaan Negeri Selangor Rodziah Ismail menerima 1,400 undi untuk mendahului Asmah Abd Kadir yang mendapat 414 undi.

Berbanding sayap Wanita, persaingan bagi jawatan ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) kelihatan sengit dengan Badrul Hisham, Ketua PKR cabang Rembau memperoleh 1,133 undi berbanding penyandang Shamsul Iskandar yang menerima 1,029.

Bagaimanapun gandingan Shamsul Iskandar bagi jawatan timbalan ketua AMK, Khairul Anuar memperoleh 1,214 undi untuk mengatasi ADUN Teja Chang Lih Kang dari pasukan Badrul Hisham, yang menerima 833 undi.

Pengundian minggu ini akan diadakan Jumaat, Sabtu dan Ahad ini
Photobucket
Template by : realaduka .blogspot.com