Assalamualaikum Dan Selamat Datang... Blog ini terbuka untuk kritikan dalam usha untuk menambah baik..

Ahad, 2009 November 29

nik Abduh pula diperbodohkan...





Saya Mohamad Shah berasal daripada Dungun Terengganu, bekas anak tahanan ISA 1984, amat tidak senang dengan berita yang disiarkan oleh Malaysiakini tentang penyataan berikut: "Ayahanda telah tua dan keletihan. Dia telah memberi yang terbaik. Jika suatu hari dia menyebut hasrat meletakkan jawatan, jangan ada yang bodoh datang mengatakan tidak dan jangan," tulis Nik Abduh Nik Aziz dalam blognya

"Jika tidak, saya akan memanggilnya, 'Wahai si bodoh!'," tulis Nik Abduh Nik Aziz yang juga exco Dewan Pemuda PAS pusat.

Dalam keadaan orang orang Islam dan perjuangan Islam diserang dari segenap penjuru sama ada di negeri Kelantan Malaysia malah dunia, masih adakah orang seperti Nik Abduh, seorang anak ulama besar yang disanjung mengatakan jika seseorang yang meminta bapanya tidak meletakkan jawatan.

Wahai Nik Abduh. Ustaz Nik Aziz itu bukan hak tuan, dia hanya dipinjamkan Allah dilahirkan ke dunia untuk memimpin dan pemimpin bagi umat manusia sama ada Islam atau bukan Islam di atas muka bumi ini. Cuma Ustaz Nik Aziz adalah perantara di alam istillah sunatullah.

Selepas Nabi Besar Muhammad wafat, di sambung oleh para sahabat diikuti para ambia dan berbetulan Ustaz Nik Aziz itu seorang alim, warak serta berpandukan al Quran, Hadis Nabi maka dia adalah hak umat manusia. Bukan hak Nik Abduh sahaja.

Apakah Nik Abduh bersedia apabila dipadang mashyar kelak untuk menjawab bahawa dia adalah penghalang umat Islam meminta Ustaz Nik Aziz berkhidmat untuk umat Islam dan manusia.

Kalau Ustaz Nik Aziz selalu mengambil pengiktibaran daripada kisah Rasullah, adakah di zaman Rasullah anak-anak Baginda melarang Rasullah meneruskan penyebaran dan penyampaian Islam kepada manusia?

Tak pernah pula saya terbaca anak Rasullah melarang ayahnya meneruskan Baginda menyampaikan Islam semasa Baginda sakit. Adalah baik Nik Abduh mengambil pengiktibaran daripada seorang Imam di Kampung Sura Tengah Dungun, Arwah Imam Haji Razali apabila ditanya oleh anaknya,

"Ayah sampai bila ayah akan menjadi imam sedangkan ayah dah tua dan sakit" apakah jawapan seorang imam yang tidak bertaraf ustaz dan ulama kepada anaknya, "Ayah akan terus menjadi Imam sehingga ayah mati"

Apakah pengiktibaran yang Allah berikan kepada umat Islam dikampung itu
Imam Haji Razali sempat mengimamkan solat Jumaat terakhir dalam hidupnya dan sebelum beliau meninggal dunia ini pun beliau meneruskan solat walaupun berada di katil hospital.

Oleh itu perkataan "Bodoh" atau tidak cerdik yang diguna pakai oleh Nik Abduh adalah perkataan orang yang tidak cerdik tentang perhitungan hidup mati, ketuhanan dan Islam. Perlu di ingat Nik Aziz hebat bukan kerana nama dia Nik Aziz, tetapi kerana perjuangan, pengucapan, cara hidup, amal ibadatnya mengikut Islam. Mereka yang bakal meminta Ustaz Nik Aziz meneruskan khidmatnya bukannya "Bodoh" tetapi mereka yang bakal meminta Nik Aziz meneruskan khidmatnya adalah mereka yang cerdik serta berpandangan jauh dalam meneruskan perjuangan Islam serta menyambung seruan Rasulullah saw.

Yang demikian Nik Abduh jangan bongkak, kerana sejarah menunjukan anak isteri para nabi ada yang menentang seruan Allah, jangan sampai Nik Abduh tergolong di kalangan mereka itu.

Sekian terima kasih - Mohd Shah (Detikdaily)

Jumaat, 2009 November 27

Peringatan Dari Saidina Umar Abdul Aziz kepada Seluruh Pemegang2 Jawatan Dalam PAS

Malaysia waves

Saya diberitahu supaya jangan menaikkan sangat isu “kereta-kereta” mewah beberapa tokoh dalam PAS kerana kereta2 tersebut adalah hadiah dari para simpatisan parti dan bukan dibeli dengan wang sendiri.

Saya nak nukil sebuah kisah dari sebuah buku yang saya baca bertajuk “Korupsi Dalam Pandangan Islam” yang diterbitkan di Indonesia.

Dalam buku tersebut dinukilkan sebuah kisah yang berlaku kepada Saidina Umar Abdul Aziz. Pada satu hari, Saidina Umar telah berniat untuk membeli sepasang pakaian baru untuk isteri tercinta beliau. Maka dipanggil pembantu beliau untuk mendapatkan harga sepasang pakaian tersebut. Maka, pembantu beliau pun pergi ke kedai untuk mengambil harga. Sekembali dari kedai, pembantu tersebut pun memberitahu akan harga pakaian tersebut. Ternyata harganya mahal dan Khalifah tidak mempunyai cukup wang untuk membeli pakaian tersebut. Tapi, pembantu itu berkata itu tiada masaalah kerana penjual2 baju tersebut sanggup memberikan hutang pada Khalifah sementara menunggu gaji dibayar pada Khalifah.

Mendengar khabar tersebut, Saidina Umar Abdul Aziz membatalkan hasrat beliau sama sekali. Saidina Umar berkata kalaulah beliau bukan Khalifah, adakah pekedai itu akan memberikan beliau hutang? Ertinya hutang tersebut adalah satu bentuk “rasuah” kerana jawatan Khalifah digunakan untuk kepentingan cagaran untuk kepentingan pribadi beliau. Kalau beliau bukan Khalifah nescaya beliau tidak akan diberikan hutang.

Jelas dari perkhabaran ini bahawa meletakkan jawatan sebagai cagaran juga adalah satu bentuk rasuah dalam Islam (Nota: Dalam bahasa Arab pun ia dipanggil rasuah).

Sekarang saya nak tanya:

Adakah kalau kamu bukan anak MB, menantu MB, saudara mara MB, Ketua Penerangan Negeri, Ketua Pemuda Negeri, YDP2 Kawasan, AJK2 Kawasan, Ketua Penerangan Pemuda Negeri ataupun pemegang apa-apa jawatan dalam parti, kamu akan diberikan hadiah kereta-kereta mewah tersebut yang bernilai ratusan ribu ringgit? (sama harga atau lebih mahal dari rumah teres dua tingkat di Selangor pulak tu).

Saya yakin jawapannya adalah TIDAK. Masa belum memerintah dulu, apasal diorang ni semua tak datang bagi kereta-kereta mewah ni pada kamu? Penerimaan kamu semua atas hadiah2 yang mahal ini dikategorikan sebagai RASUAH oleh SAIDINA UMAR ABDUL AZIZ
(bukan saya yang cakap). Kamu diberi hadiah kerana jawatan kamu bukan sebab kamu layak diberi hadiah.

Kalau betul kamu nak terima sedekah, apa salahnya kamu ambil wang dan wang tersebut dibahagi2kan pada fakir miskin. Saya pun boleh tolong bahagi2kan wang tersebut di sini. Di tempat saya ni, orang fakir dan miskin ni TERLAMPAUUUUU RAMAIIIII. Ada yang sudah 10 tahun makan nasi dengan tempe sebab tak mampu nak beli benda lain. Demi Allah ini bukan cerita dongeng.

Ada satu famili 5 beranak sudah 10 tahun tinggal dalam reban ayam kerana tak mampu nak beli rumah. Wang yang didapati hanya cukup-cukup untuk makanan sahaja.
PAS wajib mengketegorikan pemberian hadiah2 seperti ini sebagai RASUAH kerana mengikut jejak langkah Saidina Umar Abdul Aziz RA kalau PAS mahu terus releven dan diredhai Allah SWT.

Beberapa Contoh Bagaimana Dahulu Pimpinan-Pimpinan PAS Menyelamatkan Kos Dalam Berjuang

Ini adalah beberapa contoh yang dapat saya ingat:

1.0 Abang Mat Sabu satu masa dahulu akan pergi balik ke tempat-tempat ceramah dengan menumpang van penjual-penjual keset. Ini kerana apabila ada ceramah Mat Sabu maka ramaiii orang akan datang menjadikan penjualan keset pun laris. Jadi, Abang Mat selamatkan kos beliau dari segi “travelling”

2.0 Pemimpin-pemimpin PAS dahulu biasanya akan menumpang rumah sahabat-sahabat. Misalnya, Tok Guru Nik Aziz dahulu kalau ke Kuala Lumpur akan menumpang duduk di rumah adik beliau, Al Fadhil Ustaz Nik Radzi Nik Mat di ITM Shah Alam. Kalau tidak, biasanya pimpinan2 PAS ni semua akan tidur di Markaz Tarbiyyah

3.0 Arwah Ustaz Fadzil dulu pernah jual sabun semata-mata untuk cari duit tambang nak pergi ke tempat program dan ceramah. Terutama waktu Ustaz Fadzil dipecat dari UTM dan waktu itu Ustaz Fadzil langsung tiada sumber pendapatan. Dan pada waktu itu pun, PAS baru sahaja kena tendang dari BN dan berada dalam keadaan amat lemah sekali.

4.0 Markaz Tarbiyyah PAS Pusat tu naik semata-mata duit DERMA dari penyokong dan pendokong PAS. Apabila wang jadi kering, maka akan diadakan ceramah di tapak Markaz Tarbiyyah yang belum siap itu untuk mengumpul dana. Ada duit kerja jalan, takda duit, buat ceramah.

5.0 Ada seorang bekas exco Pemuda Pusat zaman Asri memberitahu punya miskin pejuang2 PAS dahulu, sampai terpaksa beli kopi secawan dan telor sebiji kemudian dikongsi tiga orang buat mengalas perut. Punya takda duit masa tu.

Mewahnya Hidup Sekarang Ni Yeee?


Jadi, sekarang ni saya tak faham. Macamana boleh diorang ni hidup mewah semewah-mewahnya?

Datang Muktamar di Shah Alam boleh duduk hotel lima bintang di suite yang paaaalllinnnnng mahal.

Nak tau betapa eksklusif,sila klik disini

(http://shahalam.concordehotelsresorts.com/rooms_premier_suite.php).

Lagi hairan, baru pegang exco pemuda negeri beberapa bulan dah tukar kereta Mercedez, kereta Avo etc. Kalau tak pegang jawatan-jawatan ni, boleh ke dapat kereta2 mewah ni semua?

Dahulu saya pernah dimarahi oleh salah seorang Ahli Parlimen PKR sekarang ini kerana saya mempersoalkan "mana Ezam Mat Nor dapat duit beli banglo di Shah Alam?". Teruk saya kena marah masa tu. Na, sekarang ni sapa yang “eating humble pie”? MP tu jumpa saya pun buat-buat tak nampak.

Dalam PAS pun ada pemimpin yang tiba-tiba sahaja boleh pindah Banglo. Kalau mampu pun kenapa nak pindah Banglo. Imej pimpinan2 PAS adalah imej sederhana. Duit nak pakai banyak untuk perjuangan bukan untuk kemewahan.

Lagi satu, ada orang kata saya dibayar Husam Musa. Saya nak bagitau gaji saya sebulan 6 kali ganda elaun Husam Musa sebagai exco. Macamana Husam nak beli saya? Cuba jawab.

Begitulah muhasabah saya sedikit sebanyak

Wallahulam bissawab

Tulang Besi

Rabu, 2009 November 25

Husam Tidak Mahu Jawatan MB Kelantan

KOTA BAHARU: Timbalan Pesuruhjaya II PAS Kelantan, Datuk Husam Musa berkata beliau akan menolak tawaran jika dilantik menjadi Menteri Besar Kelantan, untuk menggantikan Datuk Nik Abdul Abdul Aziz Nik Mat.

Beliau berkata Datuk Ahmad Yaakob lebih layak menjadi Menteri Besar Kelantan kerana senioriti serta hiraki di dalam kerajaan dan parti iaitu sebagai Timbalan Menteri Besar dan Timbalan Pesuruhjaya I PAS Kelantan.

"Semua calon layak, Timbalan Menteri Besar lebih layak lagi sebab dia paling senior.

"(Cuma) jangan calonkan nama saya cukup, kerana saya tidak mahu dicalonkan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada ibu tunggal yang terpaksa menanggung anak yang menghidap down sindrom di Kampung Becah Keranji, dekat sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan Bernama semalam bahawa Nik Abdul Aziz tidak menolak wujud kumpulan pelapis dalam PAS Kelantan yang bakal mengambil alih tempatnya sebagai Menteri Besar sekiranya beliau melepaskan jawatan itu.

Bagaimanapun, beliau enggan membayangkan siapa nama yang disebut-sebut bakal menggantikannya, tetapi memberi gambaran ia tertakluk kepada hiraki dalam parti di peringkat negeri di mana wujudnya Pesuruhjaya, Timbalan Pesuruhjaya Satu hingga Tiga.

Pesuruhjaya PAS III Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dalam laman web Malaysian Insider dipetik sebagai berkata Nik Aziz perlu mengumumkan calon penggantinya bagi mengelak perebutan dan konflik dalam PAS Kelantan apabila beliau tiada.

Sehingga kini Ahmad yang disebutsebut di kalangan pemimpin dan penyokong PAS Kelantan kerana ketokohan ulama dan dirinya yang dilihat tidak pernah dicemari dengan pelbagai isu kontraversi.

Selain Ahmad, Husam dan Mohd Amar turut disebutsebut sebagai bakal menggantikan Nik Abdul Aziz.

Husam, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Kewangan, Ekonomi dan Kebajikan Negeri berkata, berkata isu itu tidak perlu dihebohkan, kerana siapa yang dipilih memegang jawatan itu beliau akan menyokong.

Husam berkata beliau akan mengkaji dengan peguamnya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap laporan akhbar New Straits Times Press (NSTP) dan Utusan Malaysia yang menyiarkan berita berbau fitnah terhadapnya.

Katanya, beliau memberi tempoh seminggu ke atas keduadua akhbar itu untuk menyiarkan kenyataan permohonan maaf terhadapnya sebelum beliau mengemukakan saman di mahkamah.

Husam sebelum ini "diserang" oleh media tempatan dengan dakwaan beliau telah meletak jawatan dalam kerajaan dan politik berikutan konon beliau memberikan kata dua kepada Nik Abdul Aziz berhubung pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) Abdul Ariffahmi Abdul Rahman yang di dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Mengenai kenyataan Nik Aziz yang memuji beliau sebagai pemimpin muda PAS yang berkaliber, Husam berkata beliau berterima kasih di atas penghargaan itu.

"Saya ucap terima kasih kerana saya dua tahun menderita kerana (dikatakan) menentang kerajaan perpaduan dan saya difitnah kiri kanan, blog yang tidak ada nama hentam saya, macam-macam program diatur untuk menanyakan saya, tetapi saya tidak boleh balas balik kerana nak jaga perpaduan dalam parti dan imej parti," kata Husam. BERNAMA

Template by : realaduka .blogspot.com