Assalamualaikum Dan Selamat Datang... Blog ini terbuka untuk kritikan dalam usha untuk menambah baik..

Jumaat, 18 September 2009

Dari Shah Alam ke Kulim: Respon Buat YB Zul Nordin


Baru kini saya berkesempatan membaca tulisan YB Zul Nordin berhubung isu pemindahan kuil Seksyen 19 ke Seksyen 23 yang juga telah dicetak di muka hadapan Utusan Malaysia. Saya dapati tulisan dan anlisa beliau terhadap isu ini begitu lemah dan tidak profesional sama sekali. Sebagai seorang peguam dan Ahli Parlimen, beliau sepatutnya lebih teliti dan bertanggung jawab dalam tulisan beliau. Faktanya kesemuanya tidak tepat dan tuduhan yang dilemparkan tidak berasas. Oleh yang demikian, untuk mengelakkan kekeliruan, adalah wajar bagi saya menjelaskan isu sebenar untuk makluman beliau dan mereka yang bersependapat dengan beliau.

Pada mulanya YB Zul menyatakan pendirian tidak bersetuju dengan tindakan ‘demonstrasi kepala lembu’. Beliau secara jelas menyatakan ianya “tidak dihalalkan, malahan ditegah oleh Al-Quran”. Beliau juga menyatakan bahawa beliau tidak bersetuju dengan kelakuan liar segelintir yang hadir sesi dialog dengan MB, yang katanya “seperti dirasuk syaitan kehaiwanan, mengugut dan memaki hamun”.

Pada awalnya tulisan beliau kelihatan waras dan wajar.

Namun apabila terus membaca tulisannya, didapati beliau membela mereka dan menyalahkan pula kerajaan Negeri Selangor yang katanya ‘menceroboh’ tanah di Seksyen 23. Ummat Islam dikatakan sebagai ummat yang ditindas di bumi sendiri. Akhirnya amat jelas pendirian beliau adalah menyebelahi pihak segelintir penduduk tersebut dan sokongan beliau terhadap tindakan mereka sebenarnya mendedahkan pendekatan beliau sendiri terhadap orang bukan Islam.

Adakah Ahli PAS Terlibat?
Sebelum mengupas tulisan beliau dalam soal ini dan mendedahkan kesilapan dan prejudis beliau sendiri, biarlah saya nyatakan di sini bahawa dakwaan kononnya ada seorang ahli PKR dan 4 ahli PAS yang terlibat di dalam demo tersebut hanya merupakan dakwaan semata-mata. Hingga ke hari ini tiada apa-apa bukti dikemukakan. Saya telah mencabar Hishamuddin untuk mengemukakan bukti dan sekiranya benar saya akan mendesak PAS supaya memecat mereka. Ini adalah kerana tindakan mereka seperti yang ditegaskan oleh YB Zul adalah “tidak dihalalkan dan ditegah oleh Al-Quran”.

Namun hingga ke hari ini, tiada apa-apa yang dikemukakan sebagai bukti. Amat pelik apabila YB Zul menzahirkan keyakinan dengan begitu padu terhadap laporan akhbar yang dikuasai BN.

Begitu juga dengan kenyataan YB Zul “ternyata mereka bersatu dalam aqidah walau berbeza dari segi wadah”. Bunyi betul-betul macam UMNO yang sedang gilakan perpaduan dengan PAS. Betul ke tiada perbezaan ‘akidah’ di antara PAS, UMNO dan PKR? Yang berbeza hanya wadah? Kalau begitu patutlah ada yang meminta kita bersatu supaya perbezaan itu selesai kerana yang berbeza hanya wadah. Nampak gaya selama ini YB Zul sendiri tidak faham mengapa PAS menentang UMNO dan mengapa PAS wujud sebagai PAS, tidak bersatu dengan UMNO.

Sebenarnya yang sama adalah semuanya Melayu, walaupun ada yang macam mamak atau yang macam cina. Mungkin bagi YB Zul, Melayu adalah akidah.

Hakikatnya isu ini didalangi UMNO. Pemimpin UMNO (Noh Omar) turun menghasut segelintir penduduk ahli UMNO tegar, penyokong Ketua Bahagian UMNO Shah Alam, untuk bertindak menentang cadangan kerajaan walaupun belum lagi mendengar cadangan tersebut. Pemimpin UMNO juga (Hishamuddin) yang membela pendemonstrasi selepas demonstrasi berkenaan seperti yang sedang dilakukan YB Zul. Jangan nak libatkan PAS atau PKR. Usaha nak kaitkan PAS adalah taktik kotor UMNO.

Apa Arahan Kerajaan Selangor?
Menurut YB Zul, kerajaan Negeri Selangor keluarkan arahan “bina ‘kuil besar’ di Seksyen 23 di kawasan kediaman ummat Islam”. Saya tidak tahu dari mana beliau mendapat maklumat beliau tetapi seperti biasa YB Zul cakap tanpa selidik. Hanya nak sensasi sahaja.

Kerajaan Selangor hanya mencadangkan tapak baru bagi kuil yang sediada di Seksyen 19. Bukan kuil baru. Kerajaan Selangor BN dulu cadangkan kuil tersebut dipindahkan ke Seksyen 18 (6 ekar untuk 7 kuil) pada awalnya dan seterusnya ke Seksyen 22 (1 ekar untuk kuil itu sahaja). Kami mencadangkan ia dipindahkan ke Seksyen 23, dalam kawasan Industri, bukan di kawasan kediaman ummat Islam. Rumah terdekat terletak 200 meter dari tapak cadangan tersebut. Luas tanah untuk kuil adalah ¼ ekar dan ¼ ekar lagi untuk tempat letak kereta.

Dari maklumat di atas, pemindahan kuil itu tidak merupakan isu dan diusahakan sejak zaman BN lagi. Namun mereka gagal. Oleh itu, mereka kuathir kita berjaya!

Persoalannya adakah benar kerajaan arah ‘bina kuil besar’ di ‘kawasan kediaman ummat Islam’? Jelas tidak benar. Istilah ‘bina’, ‘kuil besar’ dan ‘kawasan kediaman ummat Islam’ semuanya istilah yang digunakan UMNO untuk mengelirukan ummat Islam dan menaikkan semangat kebencian mereka. YB Zul seolah-olah terpengaruh propaganda UMNO! Bukan sekadar itu, sanggup pula memanjangkannya!

Hakikatnya, kerajaan tidak ‘bina’, tiada ‘kuil besar’ dan bukan juga di ‘kawasan kediaman ummat Islam’. Ia di kawasan industri.

Benarkah ‘Wakil Hindu’ Menghina Azan?
Pertama, tiada ‘wakil Hindu’ sepertimana juga tiada ‘wakil Islam’. YB Zul mungkin menganggap kumpulan liar mewakili Islam, saya tidak. Mereka didalangi UMNO. Mungkin YB Zul anggap UMNO mewakili Islam. Saya tidak.

Yang hadir adalah penduduk. Seorang penduduk yang beragama Hindu menyebut, “kami tiada masalah dengan azan 5 kali sehari...” Mendengar itu kumpulan liar terus bertindak liar. Mungkin malu sendiri dengan sikap ekstrim mereka berbanding toleransi orang Hindu maka ingin menenggelamkan suara penduduk Hindu tersebut.

Dalam kes ini saya tidak nampak penduduk Hindu berkenaan menghina azan. Yang saya nampak adalah kumpulan liar menghina Islam dengan mendakwa tindakan liar mereka adalah atas nama Islam. YB Zul jangan menyokong atas dasar ‘asobiyyah’. Kerana satu pihak Hindu dan satu pihak lagi Melayu, maka kita sokong Melayu walaupun tindakan mereka bercanggah dengan Al-Quran.

Atas semangat yang sama YB Zul bertanyakan kisah Jeff Ooi dan Majlis Peguam. Saya rasa isu Jeff Ooi sudah selesai. Beliau sudah pun menarik kembali kenyataan beliau. Ini membuktikan bahawa untuk membetulkan salah faham dan salah tanggap tidak perlu kita bertindak seperti samseng. Jelaskan secara hikmah. Bila kita bertindak sebegitu kita rasa kita ‘teror’ tetapi orang nampak kita bodoh dan lemah akal. Tidak mampu berhujjah. Hanya mampu mengugut dan bertindak kasar.

Setelah dijelaskan Jeff Ooi menyedari kesilapan beliau dan menarik semula kenyataannya. Tanpa ugutan. Tanpa kesamsengan. Begitu juga perlu kita usahakan dengan Majlis Peguam. Kita faham bahawa mereka dipengaruhi fahaman kebaratan. Macam UMNO juga.Tetapi UMNO kononnya parti orang Islam. Majlis Peguam tidak. Nilai-nilai mereka dipengaruhi nilai-nilai dominan tamaddun Barat. Persepsi mereka terhadap undang-undang syariah agak meleset hasil kekeliruan yang tersebar luas oleh UMNO. Kita perlu berhujjah membetulkan fahaman mereka dan ini yang sedang dilakukan oleh beberapa pemimpin. Seperti tersiar dalam Harakah di mana pimpinan menjelaskan isu Kartika dari sudut pandangan Islam. Kewajaran dan falsafah hukum Syariah. Bezanya hukum sebat syariah dan sebat sivil. Dan sebagainya. Tidak perlu samseng. Tidak perlu ugut. Inilah dakwah. Ini yang saya rasa YB Zul tidak faham. Adakah yang beliau faham dakwah tu samseng, ugut. Naik berang dan naik marah bila orang bukan Islam mempersoalkan keadilan undang-undang Islam. Tunjuk ‘act’?

Tetapi Al-Quran ada menyebut “Seru kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan nasihat serta contoh yang baik dan berhujjah dengan mereka dengan cara yang terbaik…” Tiada sebut kaedah samseng, tiada juga kaedah ugut. Terangkan sahaja dengan tenang, dengan hujjah dan anggap keadaan ini sebagai peluang untuk memberi penjelasan mengenai Islam. Peluang untuk berdakwah bukan alasan untuk naik berang.

Biasanya orang tunjuk samseng kerana tidak mampu berhujjah. Pelik juga, ada juga peguam yang tidak mampu berhujjah ke?

Memutarbelit Al-Quran
YB Zul menuduh sayalah tu, maka tidak perlulah berlapik dengan mengatakan Pak Janggut memutarbelitkan Al-Quran untuk mempertahankan pembinaan kuil. Pertama, kita tidak bina kuil. Kita hanya beri tapak. Ganti tapak lama yang akan diambil alih PKNS. Kedua, bukan kuil tambahan tetapi kuil lama yang hendak dipindahkan. Ketiga, ayat mana yang diputarbelit dan bagaimana tidak dijelaskan. Kebiasaannya cara UMNO, buat tuduhan tapi tidak ada fakta. Janganlah ikut cara mereka.

Sebagai ummat Islam, Al-Quran adalah rujukan kepada semua persoalan. Walaupun berhubung isu kuil. Dalam soal ini saya harap YB Zul setuju. Kecuali beliau ingin merujuk ‘Mein Kempf’ pula apabila menguruskan persoalan kuil!

Saya sebut Al-Quran menuntut ummat Islam bertindak adil terhadap semua, termasuk yang bukan Islam. YB Zul setuju tetapi beliau menyatakan kita hanya adil terhadap kebajikan mereka. “Dalam soal ketuhanan”, kata beliau lagi, “tidak timbul keadilan”. Ada sesiapa yang faham kenyataan beliau ini? Saya tidak faham. Adakah dimaksudkan dalam soal ketuhanan Islam meminta kita bertindak zalim? Kerana lawan adil adalah zalim. Jika itulah yang dimaksudkan maka saya tidak setuju kerana Islam adil dalam semua aspek.

Beliau terus menyebut pula, “kita memelihara tempat ibadat mereka, bukan mewujudkan yang baru dicelah kediaman kita”. YB Zul tidak tahukah, yang terletak di ‘celah kediaman’ orang Islam ialah yang di Seksyen 19. Itulah antara sebabnya kita cuba pindahkan dan dicadangkan ke Seksyen 23, yang berjauhan dari kawasan kediaman. Dan ianya bukan soal bina kuil baru. Ianya soal pemindahan. Haai... kalau tidak tahu jangan cakaplah.

Walaubagaimanapun saya setuju dengan YB Zul dalam satu hal. Sepatutnya kita “memelihara tempat ibadat mereka” dengan mengambil kira wujudnya kuil berkenaan di situ semasa kawasan perumahan dibangunkan. Ini tidak. Dibina rumah keliling kuil seolah-olah kuil tersebut tiada, dijualnya pula tanpa menyatakan wujudnya kuil tersebut dan sekarang apabila timbul masalah dengan penduduk sekeliling, terpaksa pula kita pindahkan.

Satu lagi dakwaan yang ditimbulkan oleh YB Zul ialah haramnya pembinaan kuil baru. Adakah benar ianya haram dan ditegah sama sekali oleh Islam? Walaupun penduduk semakin ramai, yang Islam dan bukan Islam, adakah benar pembinaan kuil, gereja serta tok kong baru ditegah? Yang boleh dibina hanya Masjid dan Surau untuk menampung pertambahan penduduk? Kalau benarlah dakwaan YB Zul, maknanya setiap perumahan baru, bandar baru, tidak kira ada berapa ramai penduduk bukan Islam, tidak boleh dibina tempat ibadat untuk mereka.

Hmmm, ulama’ mana pula rujukan beliau. Saya tahu Islam tidak sesempit itu. Saya syorkan beliau buat rujukan betul-betul, jangan main buat hukum ikut perasaan dan emosi beliau. Islam ini agama Allah, bukan agama rekaan manusia yang berhati sempit.

Ulama zaman dahulu telah banyak berbincang berhubung persoalan pembinaan tempat ibadah orang bukan Islam. Di mana boleh, di mana tidak boleh. Kalau di kawasan orang Islam ramai bagaimana. Apa syarat-syaaratnya dan sebagainya. Bukan buat hukum borong seperti orang yang jahil.

Statistik Kuil dan Masjid
Saya tidak tahu sejauh mana kebenaran statistik YB Zul. Yang saya tahu statistik di Shah Alam, Seksyen 1 hingga seksyen 24. Kuil yang berdaftar hanya 10. Tiga darinya duduk atas tapak yang siap diwarta sebagai ‘tapak kuil’ dan tujuh yang lain, termasuk yang di Seksyen 19, akan dipindahkan ke tapak yang lebih sesuai yang akan diwartakan sebagai tapak kuil. Atau, jika tiada masalah mungkin tapak sediada terus diwartakan sebagai tapak kuil dan kuil kekal di situ setelah mengambil kira berbagai factor. Tetapi untuk Seksyen 19 tidak sesuai.

Masjid dan Surau, tidak termasuk surau di pejabat-pejabat, kompleks beli belah, kawasan R&R, stesyen minyak dan sebagainya, di Shah Alam sahaja ada 106. Statistik YB Zul hanya menceritakan Masjid sedangkan surau-surau pun banyak dan perlu juga diambil kira untuk memberi gambaran yang lebih tepat. Inilah masalah apabila ambil statistik bersumberkan UMNO. UMNO ini jahat. Semuanya ada udang sebalik batu. Termasuklah statistiknya.

Sekarang soalnya Shah Alam. Kalau di tempat lain terlalu banyak kuil, tangani ditempat berkenaan. Maka tidak perlu babitkan Shah Alam. Di Shah Alam kuil hanya 10 dan untuk Seksyen 19, 20 dan 23 hanya ada satu untuk penduduk beragama Hindu yang seramai 3,000 lebih. Tidakkah adil mereka dibenarkan sebuah kuil? Atau adakah dalam soal ini ‘kezaliman’ dituntut oleh Islam mengikut pandangan YB Zul?

Soal Hak Penduduk Seksyen 23
YB Zul menyatakan penduduk tidak diberikan hak. Hairan saya. Bukankah diadakan majlis dialog untuk mendengar pandangan penduduk?

Masalahnya sebelum majlis dialog itu diadakan segelintir dari mereka telah bertindak kerana adanya agenda politik. Kalau tiada agenda politik, tiada sebab mereka perlu bertindak sedemikian rupa. Mereka telah diberitahu majlis itu akan diadakan mengikut prosesnya. Tunggu sahajalah. Tetapi tidak. Heret kepala lembulah.....lepas itu bila dunia kecam tindakan mereka sebagai melampau, salahkan kerajaan Negeri! Yang kamu buat kerja seperti itu siapa suruh?

Bila diadakan majlis dialog pula, tunjuk perangai. Tuduh orang tidak mahu dengar tetapi akhirnya dunia tahu siapa yang tidak mahu dengar. Geng samseng UMNO sememangnya tidak boleh dibawa berbincang. Takde class.

Soal Surah Al-Baqarah dan Ibadah Korban
Dari mana pula datangnya ide YB Zul untuk mengharamkan bacaan Surah Al-Baqarah? YB Zul baca Surah Al-Baqarah dengan niat nak menghina lembu dan agama Hindu ke? Surah Al-Baqarah tiada kena mengena dengan tindakan menghina lembu atau agama Hindu. Orang Islam baca Surah Al-Baqarah untuk mendapat petunjuk dalam soal mentadbir diri, masyarakat, negara dan dunia mengikut kehendak Allah. Ada disuruh menghina lembu atau agama lain dalam Surah Al-Baqarah ke?

Begitu juga soal korban. Apabila lembu disembelih, adakah YB Zul meniatkan untuk hina lembu dan agama Hindu? Kalau Ya, maka adalah haram memakan daging lembu yang disembelih dengan niat sebegitu. Niat korban hanya untuk Allah, untuk mencari keredaanNya. Disebut nama Allah yang Ar-Rahman dan Ar-Rahim, bukannya “cis Hindu aku bunuh lembu”. Perbezaan ketera bagi yang pertama dipenuhi perasaan rendah diri dan kelembutan, mengharapkan keampunan Illahi. Yang satu lagi dipenuhi kebencian.
Kasihan orang yang menganggap dirinya pembela agama Allah,
Walhal sebenarnya merupakan penghalang kepadanya.
Menjatuhkan imej Islam dengan setiap perkataan
Yang ditutur kononnya untuk membelanya.
Mana mungkin menjadi pembela Islam sedangkan hati dipenuh prejudis!
Melihat manusia mad’unya tanpa perasaan kasihan belas.
Sebaliknya kebencian yang teramat,
sehingga kezaliman dilihat sebagai keadilan,
penindasan pula sebagai pertolongan...

WaLlahu ‘Alam
KHALID SAMAD

Selasa, 15 September 2009

UMNO LEBIH AWAL KECAM MAHATHIR SEBELUM MIC


Nak tahu kisah-kisah Umno kecam Tun M, cuba tanya muka dia ni.....

Oleh: WFAUZDIN NS

Saya rasa hendak tergelak, kadang-kadang rasa hendak muntah bila mendengar kenyataan Naib Ketua Pemuda Umno Datuk Razali Ibrahim yang mengecam perhimpunan agung MIC yang dikatakan banyak mengecam bekas PM Tun Dr Mahathir. Pada saya memang layak mantan PM itu dikecam kerana siapa yang tidak tahu apa yang telah Tun buat sehingga berlakunya perpecahan yang maha hebat di kalangan orang-orang Melayu ketika era pemerintahannya.

Apa yang saya ingat, perpecahan orang-orang Melayu mula berlaku ketika Ku Li menentang Tun M menjadi Presiden Umno. Tun Mahathir hampir-hampit tewas dengan aib sekali. Maka, wujudnya Parti Semangat 46 (kemudiannya Parti Melayu S46). Perpecahan orang-orang Melayu bermula kerana kediktatoran Tun memimpin. Apa pula yang berlaku bila Tun M memecat DS Anwar yang ketika itu adalah TPM dan Timbalan Presiden Umno? Alasan pemecatan yang terlalu bodoh dan tidak masuk akal itu menandakan taraf pemikiran Tun M yang semakin `kondem'. Beliau silap besar, beliau sangka DS Anwar sama seperti pemimpin Umno yang sentiasa boleh diperbodohkan dan sentiasa sanggup jadi `pencacai' murahan atau sampai mati mahu jadi `Gurkha' Umno. Kali ini, Tun dapat melihat hasil kerja tangannya di mana orang-orang Melayu telah berpecah lebih teruk sejurus beliau menzalimi DS Anwar.

Oleh itu, pelik apanya jika ramai yang mengecam atau mengutuk Tun M? Umno pun selepas Tun M meletak jawatan, bukan tidak ada ada pemimpinnya yang lagi kuat mengutuk dan mengecam Tun M. Tidak percaya, cuba tanya Dato' Nazri Aziz. Mukhriz anak Tun M pun tahu siapa pemimpin Umno yang selama ini kuat mengecam bapak beliau. MIC mengecam atau mengkritik Tun M memang amat wajar kerana apa pentingnya Tun berkempen menentang Presiden MIC S. Samy Vellu sekarang? Bukankah begitu lama Tun duduk `sekelambu' dengan Samy Vellu semasa pemerintahannya, tidakkah terbau olehnya `kentut' Samy Vellu itu busuk atau tidak?

Lagipun, tindakan beberapa ahli dan pimpinan MIC yang mengecam Tun M baru-baru ini tidaklah sehebat seperti kisah `semburan' ke muka Tun M yang berlaku di Kelantan dahulu. Siapa punya angkara itu? Orang-orang MIC kah? Sebenarnya pemimpin Umno lebih banyak rekod yang menghina Tun M daripada pemimpin MIC. Oleh itu, kita mengharapkan agar Pemuda Umno semak kembali kenyataan beberapa pemimpin Umno yang lebih hebat mengecam Tun M setelah Tun M tiada lagi `kuku'nya. Jika mahu Tun M sentiasa dipuji dan `dijilat', Umno perlu mengambil semula MP Pasir Mas Ibrahim Ali. /wfauzdin.blogspot.com

Selasa, 8 September 2009

surat terbuka buat Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Rodziah Ismail dan Khalid Samad




Sumber Di Sini

Asslamualaikum..

Apa khabar tuan semua? harapnya semoga sihat sahaja...

Baru-baru ini kita telah digegarkan dengan satu peristiwa 'hitam' di dalam satu majlis dialog di Shah Alam. .majlis dialog yang yang diadakan atas inisiatif pihak tuan (kerajaan negeri Selangor) dengan penduduk seksyen 23 bertujuan untuk mendapatkan maklumbalas dan respon dari penduduk setempat berkaitan cadangan membina kuil di kawasaan itu.

Tetapi malang, program baik yang dirancang oleh pihak tuan itu telah di'porak perandakan' oleh segelintir hadirin yang emosional dan entah dari latar keluarga yang bagaimana..tujuan asal untuk berbincang secara harmoni diantara wakil kerajaan negeri dengan penduduk setempat telah dicemarai insiden yang tidak tergamak untuk dilihat..

Semuanya sudah sedia maklum apa yang berlaku di dalam majlis dialog tersebut..bagaimana lagak dan perangai segelintir manusia yang seolah2 tiada sifat seorang manusia..memaki hamun, tidak beradap sopan di dalam majlis rasmi, membuat kacau, terlompat-lompat sambil melepaskan sumpah seranah kepada pemimpinnya dan lain-lain..ada pula yang mengeluarkan kata-kata kesat seperti ingin merogol seorang YB wanita, tidak kurang pula terdapat kata-kata berbentuk ugutan seperti mengugut untuk membunuh YB ini jika menjejakkan kaki ke Seksyen 23, dan pelbagai lagi..

Profesonal, matang...

Penulis cukup faham apa perasaan dan rasa hati tuan ketika itu..kecewa, sedih, terkejut, malu, marah dan sebagainya. tetapi semua perasaan itu berjaya tuan sorokkan disebalik wajah tenang dan bersahaja tuan. penulis cukup terharu dan bangga dengan tuan..

Penulis tidak tahu, apakah yang terjadi jika penulis ditempat tuan. mungkin penulis akan bertindak seperti MB Pahang, menjerit " Go to hell" kepada mereka-mereka yang membuat kecoh sambil pengarahkan pihak keselamatan mengheret keluar mereka ini dari dewan. Atau penulis tidak semena-mena akan mengeluarkan kata-kata, "mu nok gocoh ke, bila2 masa je, kabo je nok kat mana" kepada samseng-samseng di dalam dewan tersebut seperti yg diucapkan MB Terengganu suatu ketika dahulu...atau mungkin penulis akan beradu kekuatan secara fizikal dengan mereka dek kerana tidak tahan dengan tindakan provokai ganas mereka..

Tetapi ternyata pihak tuan begitu tenang, sabar dan bersahaja berhadapan dengan adegan-adegan terancang seperti ini. kalian telah bertindak profesional dan matang. walaupun berkuasa tidak sampai satu penggal, tp pihak tuan telah menunjukkan tahap kematangan yg begitu tinggi berbanding sesetengan pemimpin politik disebelah sana. tahniah penulis ucapkan.

Di mana pihak Polis/ FRU?

Disini, penulis juga ingin melahirkan rasa 'simpati' penulis terhadp pihak tuan, kerana sepanjang sesi majlis dialog ini, penulis tidak langsung ternampak kelibat pihak polis dan FRU untuk membantu menenangkan keadaan..kemanakah mereka disaat-saat ini? apakah pihak tuan tidak menjemput dan menggarahkan pihak keselamatan ini untuk menjaga kemananan dan keselamatan majlis tersbut termasuk diri tuan2? apakah pihak tuan mahu melepaskan peluang 'memperguna' polis untuk melindungi pihak tuan sepertimana pemimpin2 BN yg sentiasa dikawal rapi pihak polis? kenapa program kerajaan seperti ini tidak dikawal pihak polis, sedangkan program politik, contohnya Perhimpunan Agung Umno, sentiasa dikawal sebaiknya oleh pihak polis?

Atau mungkin pihak polis ini hanya bekhidmat untuk kerajaan Malaysia, bukannya kerajaan diperingkat negeri? atau pihak keselamtan ini hanya menjaga keselamatan pemimpin Umno/BN, tetapi tidak pemimpin2 PR..apa pun hakikatnya, pihak tuan telah mmbuktikan kepada dunia, bahawa pihak tuan ingin dilihat bersama dengan rakyat, bukan kelihatan 'bersama' dengan pihk keselamatan sepanjang masa..ia juga menunjukkan pihak tuan tidak mempergunakan pihak polis dan FRU sesuka hati, termasuk mengheret dan menggari peserta2 majlis tempoh hari sesuka hati..

Hikmah dan natijah yang baik..

Kerana itulah, penulis begitu terharu dan bangga dengan pihak tuan..penulis yakin, isu ini akan memberi natijah yang baik bagi pihak tuan, umumnya kerajaan negeri Selangor di mata rakyat.

Mungkin penulis boleh kaitkan peristiwa ini dengan satu isu tanah runtuh di Bukit Angkasa suatu ketika dahulu. bagaimana kita dipertontonkan oleh media2 ampu umno/BN tentang seorang penduduk disitu melepaskan geram secara 'bertubi-tubi' tanpa belas kasihan kepada YB Azmin Ali.
beliau ditengking, dihina dan dicaci, kemudian dipertontonkan kepada khalayak ramai oleh media2 BN..pun begitu, yb Azmin Ali tetap tenang dan sabar melayani kerenah mereka...mungkin pd perkiraan media ampu Umno/BN ini, dengan menayangkan adegan ini, rakyat akan mengkertawa dan memperlekeh YB dari pakatan kerana gagal menguruskan masalah penduduk dan sebagainya..

Tetapi mereka lupa, di sebalik kejadian ini, rakyat dan penduduk dikawsan itu termasuk dari kalangan Umno bersimpati dengan YB Azmin Ali..sudahlah turun padang meninjau masalah yg dihadapi penduduk disitu, membatalkan segala atur cara lain semata2 untuk bersama penduduk disitu, tetapi ianya dibalas 'duri' dan 'racun' oleh segelintir penduduk..penulis tidak menyalahkan penduduk disitu, tetapi penulis lebih merasakan medialah yg patut dipersalahkan ketika itu...hasilnya, ramai yang memarahi dan mengutuk tindakan penduduk itu, seterusnya bersimpati dgn YB Azmin Ali..

Ini sekadar contoh yg mungkin penulis boleh kaitkan dengan apa yg berlaku pada pihak tuan..percayalah, pihak tuan sebenarnya mendapat kepercayaan dan pernghargaan dari rakyat atas isu ini..rakyat bukan sahaja bersimpati kepada pihak tuan, tetapi mengutuk sekerasnya tindakan segelintir manusia yg membuat 'onar' pada hari kejadian..semuanya tahu, siapakah dibelakang mereka-mereka yg mencetuskan kekacauan pada hari itu..

Terbawa-bawa ajaran parti..

Mungkin mereka tidak sedar, ini adalah program di peringkat kerajaan negeri, program rasmi antara kerajaan dan rakyat..ia bukanlah program kumpulan parti-parti politik atau mesyuarat diperingkat pelajar-pelajar sekolah..atau mungkin mereka masih terbawa-bawa perangai dan sikap mereka ketika bermesyuarat sesama ahli dan penyokong mereka..bagaiman kita lihat suatu ketika dahulu, adegan kerusi terbang, kayu golf melayang, bertumbuk, sumpah seranah sesama sendiri dan lain2 sehingga terpaksa digerakkan polis dan FRU untuk mengawal program atau mesyuarat mereka..

Akhir kalam, penulis menharapkan pihak tuan tabah dan cekal menghadapi ujian ini..janganlah ada di fikiran tuan untuk mengalah dan putus asa terhadap apa yang berlaku..rakyat tetap dibelakang kalian..yakin dan percayalah, peristiwa ini akan membuahkan natijah dan hikmah yang buat buat pihak tuan, termasuk kerajaan negeri pimpinan tuan..semoga Allah merhamati kita...wallahua'lam..



Kenaikkan harga minyak disambut penuh kesyukuran



Kuala Lumpur, 1 Sept - Awal pagi lagi stesyen minyak sekitar Lembah Kelang di kunjungi oleh ramai pengguna kenderaan yang berpusu pusu untuk mendapatkan bekalan minyak dengan harga baru. Harga RON97 dinaikkan kepada RM2.00/liter, manakala RON95 pula akan naik kepada RM1.80/liter, bermula hari ini.

Mereka yang mengunjungi stesyen minyak kelihatan melonjak-lonjak kegembiraan dengan pengumuman kenaikan harga minyak yang dibuat pada lewat petang semalam.

Pengguna bersyukur dengan kenaikan tersebut dan dengan langkah itu maka berakhirlah masalah kemarau harga minyak yang melanda negara sejak berhari hari lamanya.

Antara pengunjung stesyen minyak yang ditemubual, Sharifah Rozana, 35, berkata,"Langkah ini adalah langkah hebat. Saya rasa bersyukur. Sekurang-kurangnya suami saya akan kembali menggunakan motosikal untuk berulang alik ke tempat kerja. Dapatlah saya guna kereta untuk menghantar anak ke sekolah. Saya berharap agar harga dinaikkan lagi agar suami saya naik bas dan dia akan tinggalkan motosikalnya di rumah, untuk saya guna".

Sementara seorang kakitangan Kilang yang enggan namanya di dedah berkata, "Saya sebenarnya dah lama tunggu kenaikan harga minyak ni. Bila harga baru di sebut, saya terus datang ke stesyen minyak untuk mendapatkan bekalan. Alhamdulillah, doa saya termakbul akhirnya. Dengan kenaikan harga minyak ini dapat lah saya merayakan hari raya tahun ini dengan serba sederhana dan tidak berlebih lebihan seperti tahun lepas."

Samion bin Songkreng, 43, yang bekerja sebagai pencuci tandas berkata, "Dengan kenaikan harga minyak ini, dapat lah saya menumpukan perhatian saya pada kerja. Sebelum ini saya selalu ponteng dan bersiar-siar naik motosikal bersama kawan ketika waktu kerja. Malam tadi, majikan sudah pun menghubungi saya dan dia mengucapkan tahniah kepada saya. Beliau cukup perihatin."

Manakala seorang pembonceng motosikal yang berjaya di temubual, En. Harun bin Jamian, 25, yang berkerja sebagai tukang masak berkata, "Tak payah interview saya .... Saya tak beli minyak bang, saya tumpang motor kawan jer. Tapi bang, Minyak naik tak apa asal jangan kena selsema babi."

Wartawan kami sempat menemubual seorang kakitangan asing, warga Bangladesh, berkata,"Bahasa Malaysia, shaya tak tau shakap. Bos shakap 'Merah', 'Hizau' minyak lama, 'kuning' minyak baru. Abang berapa mahu isi?. Abang beli bendera RM1.00 satu.

Tak Boleh dibawa Berbincang Langsung

Salam buat semua,

Walaupun saya bukan salah seorang residen di sek23, namun saya percaya bahawa saya juga akan mempersoal sejauh mana berkesannya penyelesaian kuil di sek19 dengan membawanya ke sek23 sebagaimana majoriti penduduknya adalah Islam.

Apabila mengalihkan suatu bebanan liabiliti yang sukar ditanggung dari satu bahu ke suatu bahu yang punya kriteria yang sama, ini tidak akan menyelesaikan masalah malah mungkin akan bertambah. Atas sebab ini jugalah perbincangan secara matang diperlukan!
Bukankah sepatutnya penduduk sek23 menggunakan peluang kesempatan bersemuka dengan MB dan YB terlibat? Kesempatan ini telah disalahguna, atau tidak digunakan dengan cara yang betul dan berhemah.
Penduduk sek23 mempunyai hak untuk berkeras dan bertegas. Penduduk sek23 juga mempunyai hak untuk samada ingin bertolak ansur atau tidak. Malah dialog yang dianjurkan bertujuan untuk memenangi hati penduduk sek23. Dialog tersebut adalah jalan untuk menyelesaikan masalah dan medan untuk berbaik sesama umat. Mungkin juga ianya adalah satu peluang untuk kerajaan negeri menunjukkan betapa perkiraan mereka adalah salah dan penyelesaian secara baik wajar dituntut pada hari tersebut.
Tetapi, apa yang berlaku di dewan MBSA cukup memalukan. Dari sudut kemanusiaan, dari sudut keagamaan, dari sudut ke-bangsa-an, dari sudut politik dan dari segala sudut yang ada, penduduk sek23 tidak lebih dari sekumpulan manusia yang membenarkan diri mereka dikuasai nafsu syaitan. Peruntukkan akal yang telah Allah kurniakan, yang membezakan antara haiwan dan kemanusiaan gagal digunakan.
Wakil penduduk sek23 bukan hadir untuk berbincang, bukan hadir untuk menyelesaikan masalah, bukan hadir untuk menggunakan kebijaksanaan dalam menyelesaikan kerumitan. Mereka hanya hadir untuk merosakkan rundingan dan menambah koleksi provokasi perkauman. Perlakuan tersebut memalukan agama dan bangsa. Perbincangan belum pun bermula disambut dengan berbakul caci-maki. Memaki-hamun mencaci-maki dalam sebuah medan perbincangan meletakkan Islam sebagai sebuah agama yang tiada tolak ansur dan penuh prejudis perkauman. Kelaluan wakil penduduk sek23 tak ubah sebagai mencemarkan kesucian Islam dimata masyarakat.
Kita sebagai orang islam sepatutnya menunjukkan contoh teladan betapa Islam itu adil kepada semua dalam semua aspek. Pemerintahan Islam itu adil dan penuh tolaransi maka penganut agama lain akan terpesona dengan kebenaran Islam.
Jika rasa hormat terhadap pemimpin adalah perkara lain, bagaimana pula dengan rasa hormat terhadap Ramadhan bulan mulia? Di manakah rasional? Di manakah adab tatasusila?
Saya percaya, jika Islam menjadi panduan sudah tentu perbincangan akan bermula dan berakhir secara baik. Tidakkah kita punya agama untuk dirujuk?

Sekali lagi saya nyatakan, saya tidak menyokong perpindahan kuil ke sek23 kerana ia umpama menyelesaikan masalah sek19 dengan menambah masalah sek23. Namun demikian, saya menentang sekeras-kerasnya usaha wakil penduduk sek23 menggagalkan rundingan. Mereka tak ubah seperti binatang.

sila klik sini untuk melihat kembali video tersebut

berikut adalah kenyataan cool YB Khalid;

Semua melihat apa yang berlaku dalam sesi dialog tersebut. Saya merasakan ianya peristiwa yang amat memalukan ummat Islam. Tengah-tengah bulan puasa pula. Sedih. Itulah apa yang berlaku bila tidak menghayati ajaran agama dan tidak juga menerima asuhan yang baik dari pemimpin. Hishamuddin memberi sokongan dan dorongan secara terbuka dan selepas itu menyedari tidak boleh secara terbuka, mesti secara tertutup. Seterusnya mengutuk tetapi semua tahu, reaksi awal adalah apa yang sebenar tersemat di hati. Hakikatnya tukang demo tidak dikenakan apa-apa tindakan hingga ke hari ini. Sedangkan tindakan mereka jelas melampaui batas. Ini adalah bukti bahawa Hishamuddin membela dan melindungi mereka. Begitu juga si Noh Omar, ‘hero Melayu’ gelar mereka.

Matlamat sesi dialog adalah untuk mendapat pandangan dan reaksi penduduk terhadap cadangan pemindahan berkenaan. Ianya merupakan langkah terakhir dalam proses lima langkah seperti berikut :-

1. Tapak cadangan dari PKNS - Ini adalah kerana telah dipersetujui PKNS akan menggantikan tapak kuil di Seksyen 19 dengan tapak lain milik mereka kerana tapak di Seksyen 19 akan diambil alih oleh mereka.

2. Persetujuan MBSA bahawa lokasi berkenaan adalah sesuai. Ini adalah wajar memandangkan MBSA adalah pihak yang bertanggung jawab atas perancangan bandar Shah Alam.

3. Persetujuan AJK Kuil – ini telah diperolehi selepas proses perbincangan pada hujung bulan Mei. Nota mesyuarat ditanda-tangani sebagai bukti persetujuan mereka kerana tidak mahu berlaku penafian atau bertukarnya fikiran. Surat inilah yang dijaja oleh orang-orang demo kepala lembu itu. Persetujuan AJK kuil perlu kerana dasar PR ialah musyawarrah bukan paksa pindah ke mana orang lain tetapkan.(Itu dasar UMNO – rujuk pengakuan bangga KT).

4. Persetujuan Kerajaan Negeri atas cadangan untuk memindahkan kuil ke tapak yang dicadangkan. Ini adalah kerana Kerajaan Negeri mahu memantau semua aktiviti pembinaan dan perobohan kuil.

Pada tahap ini, cadangan mencapai status sebagai ‘cadangan rasmi’ dan barulah boleh dibincangkan dengan pihak awam, terutama penduduk sekitar kawasan berkenaan. Mengadakan perbincangan bersama penduduk sebelum mendapat persetujuan ke empat-empat pihak ini tidak memberikan sebarang makna, kerana cadangan itu belum lagi merupakan cadangan rasmi.

5. Pertemuan dan perbincangan dengan penduduk berhubung cadangan yang telah dipersetujui terlebih dahulu oleh ke empat-empat pihak seperti di atas. Ini adalah kerana walau macam mana sekalipun, penerimaan oleh penduduk sekitar adalah penting untuk menjamin keharmonian.

Jika berdasarkan peraturan yang sediada, peruntukan jarak melebihi 50 meter tidak mewajibkan sebarang perbincangan diadakan dengan penduduk. Namun dasar PR adalah untuk mengadakan perbincangan walaupun jaraknya melebihi 50 meter, jika dilihat akan memberikan kesan. Sekiranya penduduk bersetuju, maka inilah yang ideal dan cadangan itu boleh dilaksanakan. Sekiranya setelah dikemukakan, penduduk menolak maka adalah lebih baik untuk dipertimbangan tapak alternatif sekiranya ada.

Malangnya kerajaan Negeri Selangor tidak diberi peluang untuk membentangkan cadangan ini di peringkat ke-5. Cadangan ditolak sebelum ianya dikemukakan dengan cara amat tidak sopan.

Hakikatnya, sekiranya cadangan ditolak secara sopan sekalipun – iaitu tanpa sebarang aksi yang telah ditunjukkan sebelum ini, kerajaan PR akan mengambil kira pandangan penduduk. Namun atas sebab hasutan pihak tertentu dan kempen salah-maklumat yang dilakukan maka cadangan ditolak mentah-mentah dengan cara paling tidak sopan. Yang dipertikaikan adalah cara bantahan dibuat, bukannya bantahan itu sendiri. Ada yang menganggap kerajaan negeri sudah pun mahu mula pembinaan! Sedangkan tiada pelan kuil yang telah diluluskan. Nak bina macam mana kalau tiada pelan?

Kami dituduh tidak mahu mendengar pandangan penduduk. Yang hadir pada hari tersebut melihat secara jelas siapa sebenarnya yang tidak mahu mendengar. Ini boleh dibuktikan melalui video clip yang tersiar di beberapa blog. Hanya blog UMNO yang tidak mahu menyiarkannya kerana tahu ianya hanya akan memalukan mereka. Semua tahu yang berperangai sedemikian bukan ahli PAS dan bukan PKR. Nafikanlah berapa kali sekali pun, rakyat tahu ini perangai UMNO.

Saya diberitahu juga ada pihak yang mendakwa bahawa mereka yang terlibat membuat kacau semasa sesi dialog tempohari adalah terdiri dari ahli PAS dan PKR. Sekiranya benar, maka saya cadangkan mereka ini dihadapkan di bawah lembaga disiplin parti, dipecat dan sekiranya didapati bersalah dikenakan tindakan dibawah akta hasuatan. Dalam masa yang sama, saya juga berharap jika ada ahli UMNO yang terlibat sama, maka mereka juga dikenakan tindakan yang sama. Mahukah mereka melakukan perkara yang sama sekiranya benar-benar yakin?

Teringat saya kisah Haji Bakhil. Dia tanam duit di sesuatu tempat dan meletakkan papan tanda ‘Tiada Duit Di Sini’. Datang pula Haji Bahalol menggali dan mengambil duit berkenaan. Seterusnya dia meletak papan tanda yang menyatakan ‘Bukan Hj Bahlol yang ambil duit di sini’. Bagi saya, begitulah penafian mereka terhadap keterlibatan UMNO dalam soal ini.

Esoknya Najib dengan gembiranya mengumumkan sesi dialog tersebut merupakan bukti kegagalan PR mentadbir Negeri Selangor. Persoalannya, adakah kemungkinan orang-orang yang bertindak samseng diminta berkelakuan sedemikian supaya Najib boleh membuat kenyataan sebegini? Sudah pasti mungkin! Dan ini juga merupakan penjelasan munasabah mengapa mereka bertindak sedemikian rupa. Tanpa provokasi dan tanpa sebab seperti yang telah dijelaskan.

Sebenarnya kenyataan Najib sendiri itu pun tidak benar sama sekali. Kerajaan negeri telah berjaya mengadakan sesi dialog dengan penduduk dan maklumat yang diinginkan telahpun diperolehi (walaupun bukan melaui jalan perbincangan yang diharapkan) iaitu penduduk setempat menolak cadangan tersebut. Mungkin bagi Najib ‘kejayaan’ diukur berdasarkan nilai projek yang dijalankan. Khir Toyo membelanjakan RM600,000 dan ini dianggap ‘kejayaan’. Walaupun masalah tetap tidak diselesaikan! Kontraktor juga yang untung.

Sebagai kerajaan yang perihatin, kami mengambil kira penolakan ini oleh penduduk Seksyen 23, bukan kerana ianya dilakukan secara biadab, tetapi kerana ianya adalah pandangan penduduk setakat mana yang boleh diperolehi. Walaupun ramai yang berdiam diri, namun itulah keputusan yang dizahirkan.

Begitu jugalah dengan kenyataan Khir Toyo. Dia dengan gembiranya menyatakan bahawa semasa dia MB, tiada masalah sebegini. Ya, betul kerana kami sebagai pembangkang merupakan pembangkang yang bertanggung jawab. Kami tidak menggunakan provokasi samseng atas isu-isu perkauman dan agama seperti mereka. Mereka bila jadi pembangkang, jelas merupakan pembangkang yang tidak bertanggung jawab! Bila memerintah pun menjadi kerajaan yang tidak bertanggung jawab, bila pembangkang begitu juga, pembangkang yang tidak bertanggung jawab!

Seterusnya kami telah pergi melawat tapak alternatif dengan kadar segera. Kami ingin memenuhi hak penduduk Seksyen 19 dan juga hak kuil tersebut. Tapak tanah di tepi kilang Nitto Denko Seksyen 23 telahpun kami lawati pagi tadi bersama PKNS, MBSA, para ADUN dan juga MB. Seterusnya akan dikemukakan kepada AJK kuil. Sekiranya mereka setuju, akan disediakan kertas cadangan untuk kelulusan Exco Kerajaan dan melalui 5 proses yang sama seperti yang telah dinyatakan. Lokasinya ditanda dipeta yang disertakan.


Sambil semua perkara ini diusahakan, saya berharap semua bertenang dan bersabar. InsyaAllah masalah ini akan diselesaikan dengan baik walaupun UMNO berusaha untuk mengagalkannya. Itulah sahajalah yang UMNO pandai buat: KACAU.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD



Sumber Di sini

Jumaat, 4 September 2009

ADUN BN Bagan Pinang NS meninggal

ADUN BN bagi Bagan Pinang, Negri Sembilan, Azman Mohd Noor meninggal dunia di Seremban hari ini.

Beliau meninggal dunia kerana serangan sakit jantung pada jam 2.30 petang tadi di Pusat Pakar Seremban.

Dalam pilihanraya umum lalu, Azman, 55, menang dengan mendapat 6,430 undi, menewaskan calon PAS, Ramli Ismail yang mendapat undi.

Dalam pilihanraya umum lalu, DUN Bagan Pinang mempunyai 14,192 pengundi yang 66 peratus Melayu, Cina (10.5%), India (19.9%) dan lain-lain (3.5%).

Ekoran itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan pilihanraya kecil dalam tempoh 60 hari ini.

Ia merupakan pilihanraya kecil kesembilan selepas pilihanraya umum tahun lalu.

Bagan Pinang merupakan kawasan DUN dalam Parlimen Telok Kemang. Empat lagi DUN dalam parlimen tersebut ialah Chuah, Lukut, Linggi dan Port Dickson.

Dalam pilihanraya umum lalu, Parlimen Telok Kemang dimenangi oleh calon PKR, Datuk Kamarul Baharin Abbas.

Manakala DUN Chuah pula dimenangi oleh PKR, Lukut (DAP), Linggi (BN) dan Port Dickson (PKR).

Rabu, 2 September 2009

LIVE Persidangan DUN PERAK...

Watch live video from bilikmediaperak's channel on Justin.tv

Selepas gagal masuk ke bangunan sekretariat kerajaan negeri (SUK) pagi tadi, para ADUN Pakatan Rakyat mengadakan sidang DUN di bilik ballroom Hotel Heritage di Ipoh.

Nama ADUN yang telah 'dipecat' atau telah 'meletak jawatan' seperti Menteri Besar BN, Datuk Seri Zambry Abd Kadir dan tiga ADUN yang mengisytiharkan diri sebagai calon bebas, tidak diletak pada meja di situ.

ADUN Pakatan duduk di sebelah kanan Speaker V Sivakumar (tempat ADUN parti pemerintah duduk). Empat lagi ADUN Pakatan tidak kelihatan - tiga ditangkap pagi tadi dan seorang lagi sedang mengerjakan umrah.

Kemudian, dua usul diluluskan dan sidang itu sedang membahaskan usul ketiga.

Usul pertama diluluskan sebulat suara - yang mengesahkan laporan jawatankuasa hak dan kebebasan DUN mengenai:

1. (Speaker BN) Datuk R Ganesan, yang bukan seorang ADUN, yang masuk ke dewan DUN tanpa kebenaran speaker dan enggan keluar sewaktu sidang 7 Mei lalu, apabila diperintah berbuat demikian oleh speaker (Sivakumar).

2. (Bekas timbalan speaker) Hee Yit Fong, yang keluar DAP dan didakwa bertindak sebagai speaker, dan mempengerusikan sidang DUN (pada 7 Mei) dan menjalankan pengundian yang memilih Ganesan sebagai speaker.

ADUN Pakatan ditangkap, SUK Perak dikawal ketat

ADUN Pakatan Rakyat Perak nekad untuk meneruskan rancangan mereka untuk mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini walaupun pihak polis melarang semua pihak daripada berhimpun di bangunan sekretariat kerajaan negeri.

Menteri Besar Pakatan, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin dan beberapa ADUN Pakatan mula tiba di bangunan tersebut pada kira-kira jam 8.45 pagi. Turut hadir ialah kira-kira 150 penyokong mereka.

Manakala pihak polis mengadakan kawalan ketat di sekitar bangunan tersebut oleh anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dan trak meriam air digunakan untuk menutup pintu belakang.

Polis juga menutup kawasan berpokok di mana ADUN Pakatan mengadakan sidang DUN Mac lalu. Kira-kira 100 anggota polis ditempatkan berkawal di situ.

Pada jam 9.45 pagi, semua wakil rakyat Pakatan dan Speaker V Sivakumar mula berjalan dari pejabat DAP Perak menuju ke bangunan sekretariat. Mereka disertai oleh kira-kira 50 penyokong.

Apabila dihalang oleh pihak polis, Pengerusi DAP Perak, Ngeh Koo Ham bertengkar dengan mereka mengenai perintah mahkamah melarang perhimpunan itu diadakan.

"Perintah mahkamah melarang orang awam berada di situ, tetapi tidak menyebut tentang ahli dewan undangan negeri. Adalah salah untuk menghalang ADUN menjalankan tugas mereka...

"Lagi pula, Seksyen 90 Kanun Prosedur Jenayah menyebut perintah tersebut mesti diwartakan,” tegasnya.

Mereka kemudiannya cuba meneruskan perarakan itu tetapi dihalang oleh anggota polis mencegah rusuhan. Ngeh ditangkap pada jam 10 pagi.

Turut ditangkap ialah Stanley Tan, seorang jurugambar akhbar Nanyang Siang Pau, yang dikatakan turut disepak ketika ditahan.

Dia kedengaran menjerit kepada polis: "You nak kerja, kita pun nak kerja."

Para peguam Pakatan dijangka memfailkan permohonan di mahkamah pagi ini untuk membatalkan perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Ipoh semalam, melarang sebarang perhimpunan diadakan dalam kawasan sekitar 30m dari bangunan sekretariat.

Perintah diperolehi pihak polis bagi menghalang perhimpunan ADUN Pakatan itu berkuatkuasa dari jam 1 pagi ini hingga 11 pagi esok.

Semalam, Ketua Polis Ipoh, ACP Azisman Alias berkata hanya kakitangan kerajaan yang bertugas di bangunan itu dibenarkan masuk hari ini.

Notis untuk mengadakan sidang hari ini dikeluarkan minggu lalu oleh Speaker Pakatan, V Sivakumar, yang juga ADUN Tronoh.

Speaker BN, Datuk R Ganesan bagaimanapun meminta para ADUN supaya mengenepikannya kerana ia dikeluarkan oleh sumber yang tidak sah.

Turut ditahangkap ialah ADUN Malim Nawar Keshvinder Singh dan ADUN Simpang Pulai, Chang Ming Kai. Tiga lagi yang ditangkap ialah orang awam.

Pada jam 10.20 pagi, ADUN Pakatan dan penyokong mereka berundur semula ke ibupejabat yang terletak di belakang bangunan SUK.

Di situ, Sivakumar memberitahu wartawan bahawa sidang DUN itu akan diadakan di Hotel Heritage dekat situ berasaskan kepada doktrin keperluan.

Manakala Nizar mengecam polis yang didakwanya bertindak keras ketika menangkap tiga ADUN Pakatan dan orang awam.

"Ini bukan yang mulia, tetapi mereka bersikap sedemikian," kata Nizar.

Difahamkan, Keshvinder tercedera ketika ditangkap dan telah dibawa ke hospital besar Ipoh untuk rawatan.


sumber di sini

Tiada p'raya kecil di Kota Siputeh

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memutuskan bahawa Datuk Abu Hassan Sarif masih kekal sebagai ADUN Kota Siputeh, Kedah.

Oleh itu, menurut SPR, pilihanraya kecil tidak perlu diadakan di DUN tersebut.

Sebelum ini Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Datuk Dr Abdul Isa Ismail telah menghantar surat kepada SPR berhubung kedudukan Abu Hassan dari Umno, yang didakwa hilang keanggotaannya.

Surat Dr Abdul Isa itu memaklumkan bahawa Abu Hassan hilang keanggotaan setelah dua kali gagal menghadiri sidang DUN pada 19 April dan 9 Ogos lalu.

Abu Hassan, ketua Umno bahagian Jerlun menyandang kerusi DUN Kota Siputeh selama empat penggal berturut-turut.

Seksyen 51 Perlembagaan Negeri memperuntukkan mana-mana anggota DUN yang tidak hadir sidang Dewan dua kali berturut-turut hilang keanggotaannya dan hendaklah mengosongkan kerusi yang disandang.

Bagaimanapun, Abu Hassan telah menjelaskan bahawa beliau mempunyai sijil cuti sakit pada hari yang beliau tidak dapat hadir.

Abdul Isa bagaimanapun sebelum ini bertegas dengan keputusannya dan menolak penjelasan Abu Hassan bahawa beliau sakit dan menolak permohonan maafnya.

Sementara itu, Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, SPR dalam mesyuaratnya hari ini, sebulat suara memutuskan ADUN Kota Siputeh itu tidak menghadiri dua mesyuarat berturut-turut di dalam dua penggal yang berbeza, bukan dua mesyuarat di dalam satu penggal yang sama.

"Setelah meneliti dokumen dan mengkaji fakta yang dikemukakan kepada SPR serta kedudukan undang-undang yang berkaitan, pada menjalankan kuasa di bawah Fasal (5) Perkara 53 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah, surat cuti sakit yang dikemukakan oleh ADUN Kota Siputeh, diterima oleh SPR bahawa kegagalan beliau menghantar surat cuti sakit kepada Speaker lebih awal tidak menjadikan surat cuti sakit itu terbatal," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Aziz berkata sebelum Perkara 51 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah Darul Aman digunakan, ia terlebih dahulu perlu dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan.

Mengenai surat pemakluman daripada Speaker DUN Kedah, Abdul Aziz menjelaskan bahawa Abu Hassan telah diberi peluang untuk menjelaskan sebab sebenar ketidakhadiran beliau dalam sidang itu.

"SPR telah meneliti surat daripada beliau yang memohon maaf kerana tidak dapat hadir dalam Sidang Dewan pada 9 Ogos 2009. Bersama surat itu dilampirkan surat cuti sakit daripada doktor yang mendapati beliau tidak sihat untuk menjalankan tugas selama dua hari iaitu dari 9 hingga 10 Ogos.

"Turut diteliti ialah kenyataan beliau bahawa beliau telah menghantar sms (khidmat pesanan ringkas) kepada Ketua Pembangkang untuk memaklumkan mengenai ketidakhadiran itu kerana sakit dada," katanya.

Sumber Di Sini

Selasa, 1 September 2009

Apa keputusan Prk Kota Seputih Kedah?



Oleh Mohd Sayuti Omar

Hari ini bakal menentukan apakah satu lagi pilihan raya kecil akan diadakan. Kali ini kerusi yang menjadi tumpuan ialah Kota Seputih, Kedah. Penentuan itu akan dibuat oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang bermesyuarat esok untuk menentukan samada ada perlu atau tidak pilihan raya diadakan untuk kerusi berkenaan

Kerusi ini menjadi tumpuan kemungkinan akan berlaku kekosongan menyebabkan pilihan raya akan diadakan apabila penyandang Abu Hassan Sarif gagal menghadiri sidang dewan sebanyak dua kali tanpa kebenaran speaker. Menurut undang-undang kerajan Kerajaan Kedah mana-mana Adun gagal menghadiri sidang dewan tanpa kebenaran speaker menyebabkan kerusinya hendaklah diosongkan.

Adun berkenaan dikatakan tidak hadir sidang Dewan dua kali berturut-turut kerana sakit. Keadaan Adun berkenaan yang sakit dimaklumi oleh banyak pihak tetapi apa yang mungkin menjadi kesalahannya kerana tidak memberi tahu kepada spekaer DUN Kedah.

Apakah bentuk keputusan SPR hari ini? Spekaer DUN Kedah, Abdul Isa Ismail telah pun memaklumkan mengenai kekosongan kerusi berkenaan kepada SPR berdasarkan peruntukkan undang-undang yang ada. Kini terserah kepada SPR kerana SPR akan menentukan sama ada kerusi berkenaan kosong secara automatik atau sebaliknya.

Ekoran ini sekali lagi wibawa SPR akan teruji. Orang ramai akan melihat sejauh mana SPR bertindak dalam menyelesaikan masalah ini. Sudah tentu kejadian yang berlaku di Perak tidak lama dulu menyebabkan timbul keraguan terhadap SPR dalam membuat keputusannya berhubung apa yang berlaku di Kedah itu.

Di Perak dulu SPR tidak memperakui kekosongan kerusi yang diistyharkan oleh speaker DUN Perak Sivakumar. SPR menggunakan budi bicara dan kuasa mutlak yang ada kepadanya untuk mengistyharkan sesutau kerusi itu menjadi kosong atau tidak.

Apakah kali ini SPR menjadikan alasan sama, pemakluman oleh speaker Kedah itu tidak sah maka penyandag sekarang masih kekal dan tidak perlu pilihan raya kecil.

Sekiranya esok SPR membuat keputusan mengekalkan kerusi berkenaan ia akan menimbul masalah. Persepsi buruk terhadap SPR akan timbul dan berterusan. Ini kerana awal-awal lagi Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yaasin telah membuat rayuan agar SPR mempertimbangkan supaya kerusi berkenaan tidak kosong.

Sekiranya keputusan hari ini SPR tidak bersedia menerima pemakluman speaker DUN Kedah itu sudah pasti SPR sekali lagi akan dilihat sebagai membuat keputusan yang memihak kepada UBN. Dalam pada itu SPR harus mengemukakan alasan teknikal yang melampau munasabah atas keputusannya kelak.

Dalam pilihan umum lalu kerusi berkenaan dimenangi oleh calon UBN Abu Hassan Sarif yang mengalahkan calon Pas, Ismail Wan Teh dengan majoriti 495. Ismail mendapat 7,665
Template by : realaduka .blogspot.com