Assalamualaikum Dan Selamat Datang... Blog ini terbuka untuk kritikan dalam usha untuk menambah baik..

Selasa, 25 Ogos 2009

Pas Menang Permatang Pasir

kemaskini 7.31pm PAS memenangi kerusi DUN Permatang Pasir dengan majoriti besar tetapi merosot beberapa ratus undi daripada keputusan yang dicapai parti itu pada pilihan raya umum tahun lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan, calon PAS Mohd Salleh Man mendapat 9,618 undi, meninggalkan calon BN Rohaizat Othman dengan 5,067 undi.

Majoriti yang diraih Salleh 4,551, kurang 882.

Bekas ADUN allahyarham Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman mendapat majoriti 5,433 undi - kemenangan PAS kali ketiga di kerusi itu sejak pilihan raya umum 1999.

Jumlah mereka yang keluar mengundi merosot hampir 10 peratus kali ini kepada 73.1 peratus berbanding 82.6 peratus pada Mac 2008.


Keputusan Pilihanraya Kecil N11 Permatang Pasir menyaksikan Barisn Nasional kalah di semua unit peti undi kecuali undi pos.

Majoriti paling tinggi yang diperolehi oleh PAS ialah di UPU Samagagah, dimana calon PAS memperolehi 1397 undi berbanding BN yang memperolehi 594 undi. Majoriti di Samagagah ialah 803.

Majoriti paling kecil ialah di Kg. Pelet dimana PAS mendapat 738 undi manakala BN meraih 546 undi menjadikan majoriti sebanyak 192.

Sementara majoriti di UPU yang selebihnya adalah di dalam lingkungan 300 - 700 undi.

Sebanyak 8 pengundi pos, daripadanya PAS hanya memperolehi 2 undi dan 6 untuk BN.


Samagagah
Pas 1397 BN 594 Majoriti: 803

Permatang Ara
Pas 1397 BN 1075 Majoriti: 322

Permatang Pauh
Pas 875 BN 354 Majoriti: 521

Bukit Indera Muda
Pas 1302 BN 862 Majoriti: 440

Kg Pelet
Pas 738 BN 546 Majoriti: 192

Kubang Semang
Pas 773 BN 275 Majoriti: 498

Tanah Liat
Pas 971 BN 500 Majoriti: 471

Cross Street
Pas 938 BN 300 Majoriti: 638

Permatang Tengah
Pas 1225 BN 555 Majoriti: 570

Undi Pos
Pas 2 BN 6 Majoriti: -4

Jumlah PAS 9618 BN 5067 Majoriti: 4551

Maaf YB Zul... Afidavit Pembelaan YB Lunas Irrelevent!



oleh M.Sanusi.Md.Nor


Kagum juga membaca tulisan Sdr kita Zulkifli Nordin membuat pembelaan kepada YB Lunas yang memilih keluar parti dan menyokong Najib. maklumlah Peguambela & Peguamcara, kerjanya mencari sudut yang sesuai untuk membuat pembelaan. Saya tak salahkan Sdr Zul kerana itulah sudut yang dia nampak, atau sudut yang dibentangkan kepadanya oleh YB Lunas, dan diadun dengan pengalamannya sendiri menjadi MP Kulim.

Saya nampak mereka mempunyai persamaan iaitu kedua-duanya mendapat komplen dan rungutan yang banyak kerana tidak menjengok kawasan. YB Lunas tinggal di Jitra, Sdr Zul tinggal di Kuala Lumpur. Sejak akhir-akhir ini, memang YB Lunas kerap melawat kawasan, iaitu sejak dihebohkan dia membuat tuntutan perjalanan yang banyak, mencecah RM18 ribu sebulan, tetapi hanya lima kali membuat perjalanan ke kawasannya di Lunas. Mungkin juga dia ke sana tapi tak claim apa-apa. Adun-adun di sebelah kawasannya kerap komplen terpaksa cover Lunas kalau terjadi apa-apa bencana dan program masyarakat.

Sdr Zul pernah membuka pusat khidmat di Kulim, tetapi dilaporkan tutup sejak beberapa bulan dulu, signboard pun dah turun. Beliau lebih banyak di Kuala Lumpur, maklumlah Ahli Parlimen! Seingat saya, belum ada function negeri, majlis-majlis MB, Tuanku Sultan dan acara-acara besar yang disertai saudara Zul. Maaflah kalau saya silap dan tak nampak beliau hadir. Program terakhir kepimpinan PKR dan Wakil Rakyat PKR negeri bertemu MB pun beliau tak hadir.

Sdr Zul membangkitkan tiada peruntukan untuk berkhidmat kepada masyarakat, hanya mengharapkan elaun Adun dan MP. MP lain pun sama juga, tapi mereka menjaga kawasan dengan baik. Ala kadar! Bukan semua kerja MP meninjau kawasan kena duit! Ziarah, berjumpa, berdialog, membuat surat itu ini tak makan kos banyak, elaun MP 7-10 ribu sebulan tak habis untuk buat itu semua. Ada Wakil rakyat yang berkhidmat sebagai pembangkang zaman sebelum 2008, lagi dhaif, tapi khidmat mereka cemerlang. Tanyalah Adun dan MP PAS, bagaimana mereka survive.

Nak kata tak ada peruntukan langsung, itu mustahil! Adun ada peruntukan kecil tahunan RM100 ribu untuk bagi khemah, pinggan mangkuk, dan apa saja yang dalam kategori projek kecil (bukan insfrastruktur). Adun yang jadi Exco pula peruntukannya RM150 ribu setahun. YB Lunas dapat RM250 ribu kerana dia juga jadi Adun angkat Bukit Kayu Hitam. Peruntukan Kecil DUN Lunas tahun 2008 setelah dilanyak BN untuk pilihanraya berbaki RM30 ribu , dilonggokkan di pejabatnya sahaja, begitu juga di Bkt Kayu Hitam. Dah kira baik tu.... Musim raya, ada peruntukan khas, bulan puasa ada peruntukan untuk buat moreh di surau dan masjid. YB Lunas baru ambil peruntukan khas moreh RM10 ribu pada hari khamis lepas. YB Zul pun dapat RM7 ribu.

Saya bukan nak londehkan kawan-kawan, tapi kawan-kawan menulis kena tengok juga 'derita' yang dicipta YB Lunas sebelum dan selepas dia 'pergi' menyokong Najib. Bila sudah menyatakan sokongan terbuka kepada Najib dalam majlis membubarkan diri dari parti, apa lagi tanggapan yang boleh kita buat selain daripada dia sudah memusuhi kita? Apa yang direncana sepanjang menjadi Adun PKR, kenapa sering bertemu bekas MB (MK) di sini dan di KL. Kenapa tak dilapor kepada partinya, kerana pertemuan itu sangat besar ertinya bagi organisasi parti?

Kenapa melobi sehingga saat akhir untuk menarik 4 lagi menyeberang jambatan. Apa susah payah kawan-kawan lain mengepung dan menahan 'onar' yang dibawanya. Kenapa berkawan baik, berbincang hingga tengah malam dengan 'musuh-musuh' yang saban hari mencipta berita memburukkan kerajaan negeri? Bagi saya, sudah lama dia menari raggae dalam irama zapin, cuma Sdr Zul tidak sedar atau tidak ambil tahu. Maklumlah, Ahli Parlimen!

Jika Zul katakan dia berjiwa besar untuk melihat penyatuan melayu, duduk berbincang untuk kepentingan ummat, kena dia sahaja seorang diri membuat pertemuan tertutup di Kelab Cinta Sayang, dan di Kuala Lumpur? Kenapa diajak pula adun-adun PKR untuk berjumpa MK secara senyap-senyap? Kenapa tidak aturkan sahaja pertemuan atas nama parti, atau sekurang-kurangnya dua tida orang yang ada kuasa membuat perubahan atas nama perpaduan?

Nak dikatakan pejuang melayu tulen, jauh sekali. Sewaktu kes babi tempoh hari, orang cina marahkan kerajaan, terutama DAP, hingga ditimbulkan isu perkauman... dia diam sahaja, tiba-tiba dia pula memilih untuk melobi Adun PKR menyertai BN atas 'power blog' yang cuba dikepalainya... menyokong siapa yang mereka suka, hijau atau biru...

Teruk juga PKR hingga DSAI memanggil pertemuan khas di Yayasan Aman, Pananti. Hinggakan YB Sidam yang mempertahankan tindakan kerajaan PR dipanggil Mohamad Tan Chau Kang bin Abdullah.! Bersungguh-sungguh benar dia bekerja untuk menjayakan rencana ini. Zul mana tahu...dia di Kuala Lumpur makan nasi Lamb Mandy di Rausha, Ampang.
Zul tak payah mintak dia menoleh sejenak kepada PAS, kerana PAS baginya lebih teruk dari Yahudi...ini ungkapannya dalam 'kekalutan' kes Arumugam melepaskan jawatan tempoh hari ... YB MP Kuala Kedah boleh sahkan. saya tak akan lupakan kalimah itu! Dalam kes Arumugam, dia katakan kepada saya petualang yang merosakkan melayu di Kedah sudah berambus ... sekarang siapa petualang? Aru masih berkerja kuat untuk PKR dengan macam-macam program. Melepaskan jawatan Adun dan Exco dengan segala kemudahannya, bukan perkara kecil..kini dia menganggur! YB Lunas pulak pelik, keluar parti tapi nak jadi Exco lagi... takkan nak kata dia lebih baik daripada Aru?

Bagi kawan-kawan yang diamanahkan menjaga kestabilan kerajaan, derita yang dihadapi untuk menghadapi karenah YB Lunas terlalu pedih untuk diubati dengan hal-hal yang ditimbulkan oleh Sdr Zul dalam 'afidavit' pembelaan kes YB Lunas keluar PKR sokong Najib! Irrelevent!!!...... kata hakim coklat hacks..[kedahlanie]

Muhammad Sanusi Md Nor
setpol MB Kedah.

Rabu, 19 Ogos 2009

Ku Li: Apakah Umno kurang calon?

Calon yang dipilih untuk bertanding dalam pilihanraya mesti mempunyai rekod yang bersih kerana "kita meminta rakyat meletak kepercayaan kepadanya sebagai ketua mereka", kata bekas naib presiden Umno, Tengku Razaleigh Hamzah.

"Kita juga berkata calon tersebut mewakili kita. Saya rasa sedih kerana terpaksa menyebut perkara yang sudah nyata itu," tulis Tengku Razaleigh yang juga ahli parlimen Gua Musang dalam blognya.

Beliau merujuk kepada pemilihan Rohaizat Othman - yang telah dibatalkan lesen guamannya - sebagai calon BN dalam pilihanraya kecil DUN Permatang Pasir.

Majlis Peguam telah membatalkan lesen guamannya pada 7 Mac 2008 ekoran dikaitkan dengan kes pecah amanah wang anak guam. Rayuan Rohaizat ke Mahkamah Tinggi juga ditolak pada 12 Ogos lalu.

Menurut Tengku Razaleigh perkara itu seumpama itu tidak akan melayakkannya menjadi calon bagi jawatan awam dalam mana-mana parti politik.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan apakah Umno kekurangan calon sehingga terpaksa memilih Rohaizat bertanding di Permatang Pasir.

"Apakah salahlaku kewangan seumpama itu sudah menjadi perkara biasa sehingga tidak lagi menjadi faktor dalam memilih calon yang sesuai.

"Pemimpin parti yang memilih dan menyaring calon-calon mesti sudah tahu kecacatan itu tetapi menganggap salahlaku kewngan itu sebagai satu perkara yang remeh," tambahnya.

Menurut Tengku Razaleigh lagi, kejujuran merupakan syarat minimum untuk memegang jawatan awam.

"Apa jua pun kebaikan-kebaiakan yang lain yang dimilik calon berkenaan, beliau tidak boleh dipertimbangkan sekiranya beliau gagal ujian ini.

"Calon yang hendak kita pilih bertanding dalam pilihanraya mesti mempunyai rekod yan bersih kerana kita meminta rakyat meletakkan keyakinan mereka kepadanya sebagai pemimpin mereka.

"Dan kerajaan yang demokratik akan runtuh tanpa mendapat keyakinan rakyat," tambahnya.

Oleh itu, Tengku Razaleigh berkata, dengan meletak seorang yang telah dilucut kelayakannya menjadi peguam, maka Umno menonjolkan imej bahawa ia mengamalkan kod moral yang berbeza dengan yang diamalkan oleh rakyat Malaysia.

"Satu set peraturan untuk Umno dan yang lain pula untuk orang lain," katanya.

Sumber Malaysiakini

Salahuddin cabar Zahid berdebat isu Rohaizat

BUKIT MERTAJAM: Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub, mencabar Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, untuk berdebat mengenai isu pembatalan lesen guaman sivil calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya keci Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, Rohaizat Othman.

Salahuddin memberi tempoh 24 jam kepada Naib Presiden Umno itu untuk memberikan jawapan sama ada beliau bersedia menyahut cabaran itu.

"Malam ini saya cabar untuk berdebat satu lawan satu dengan Zahid. Saya nak dedahkan mengenai calon BN yang bertanding pada pilihan raya itu," katanya pada ceramah di Permatang Tok Kandu di sini, malam tadi.

Beliau mendakwa Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang, tidak teliti dalam pemilihan calon BN yang bertanding pada pilihan raya itu.

Lesen guaman Rohaizat dibatal berikutan masalah yang ditimbulkan oleh bekas rakan kongsi firma guamannya.

Mengenai kenyataan Ahmad Zahid bahawa Pas tidak perlu mempertikai pemilihan calon BN, Salahuddin berkata: "Ini menjadi masalah kepada penduduk di Permatang Pasir kerana jika calon ini menang ia akan mewakili mereka."



Sumber Di Sini

Sabtu, 15 Ogos 2009

BENAR, ANWAR MEMANG PENGKHIANAT KEPADA UMNO


Oleh: WFAUZDIN NS

KEMUNCAK kehebatan DS Anwar mula dapat dirasakan oleh Umno apatah lagi negara ini bakal menghadapi Pilihanraya Umum Ke 13 tidak beberapa lama lagi. Kekuatan PR sebenarnya terletak di atas kebijaksanaan pemimpinnya yang sentiasa bersikap terbuka dan bebas membuat kritikan demi untuk memperkuatkan gabungan PR bagi menghadapi Bn bila-bila masa sahaja. Ketokohan DS Anwar mengemudi PR tiada tolok bandingnya kerana kebijaksanaan beliau yang tidak mudah melatah dengan provokasi pihak musuh untuk memecah belahkan PR.

Begitu bersungguh nampaknya pihak Umno untuk kembali bernafas setelah beberapa kali tumpas dengan memalukan di dalam beberapa pilihanraya kecil baru-baru ini. Najib tidak lagi mampu untuk menyorokkan wajahnya selaku Presiden Umno dan juga sebagai PM. Muhyiddin begitu juga, kehebatan yang kononnya akan mereka pamirkan sebaik memegang teraju negara nampaknya menyerlahkan kelemahan mereka. Rakyat hampa dan kecewa dengan kedua-dua tokoh ini kerana mereka memimpin negara hanya bermodalkan air liur sahaja. Slogan demi slogan diwar-warkan sebagai penyedap telinga, tetapi semuanya kosong belaka.

Akhirnya Umno tiada pilihan lagi. Mereka amat bimbang negeri terkuat Umno iaitu Johor akan jatuh ke tangan pembangkang pada Pilihanraya Umum nanti. Sifat ketaksuban kepada Melayu memang kuat di Johor, dan di sinilah Umno berharap agar `spesis' Umno terus kekal sehingga kiamat. Seandainya nanti PR menerajui negara dan Umno pupus, mudah-mudahan Johor boleh dijadikan muzium atau arkib untuk jenerasi akan datang melihat `spesis Umno'. Muhyiddin kena berbuat sesuatu sebelum terlambat dan beliau tahu selagi DS Anwar masih hidup dan bebas, peluang Umno untuk bernafas lebih panjang akan tersekat.

Maka, Johor dijadikan tapak untuk memulakan kempen atau gerakan memburukkan DS Anwar. Muhyiddin begitu kecut apabila DS Anwar bingkas melawan tuduhan beliau yang menganggap DS Anwar pengkhianat. Muhyiddin silap sasaran kali ini, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata terimalah akibatnya. Seperti biasa, ahli-ahli Umno yang sudah sebati dengan tabiat `burung belatuk' akan mengangguk bersetuju dengan Muhyiddin. Mereka sendiri pun tidak tahu dari mana datangnya punca Muhyiddin menuduh DS Anwar pengkhianat dan apakah hujahnya. Mereka cuma menganggung-angguk kerana Umno tidak pernah mengajar ahli-ahli mereka cara-cara untuk menggeleng kepala.

Berbagai provokasi dan propaganda telah mereka lakukan untuk memecah belahkan PR di beberapa buah negeri di bawah PR, tetapi akhirnya dengan campor tangan DS Anwar serta dengan kebijaksanaan pimpinan PAS dan DAP, usaha Umno akhirnya berkecai. Tiba-tiba sahaja Umno dilihat begitu anti kepada arak. Pengeluar lesen arak di negara ini dikeluarkan oleh siapa? Sekiranya tiada lesen dikeluarkan, adakah arah boleh diminum dan dijual secara bebas? Ini semua menyusahkan semua orang, terpaksalah kerajaan negeri di bawah PR meminda beberapa akta untuk mengawal penjualannya. Itu belum dikira lesen judi yang dikeluarkan oleh kerajaan Pusat. Mereka yang meluluskan lesen semua benda-benda haram ini, tetapi mereka berlagak mereka begitu benci kepada arak dan judi. Inilah Umno dan inilah yang masih disokong oleh orang-orang Melayu Islam di negara kita.

Umno ingin menggunakan PAS untuk menghancurkan perpaduan di dalam PR. Kononnya mereka tahu PAS sememangnya berjuangnya untuk Islam, tetapi yang peliknya Umno tidak mahu sertai PAS. Ini bererti Umno tidak mahu kepada Islam seperti yang PAS mahukan. Kenyataan DS Anwar bahawa arak hanya boleh dijual kepada orang-orang bukan Islam ternyata membuat Umno terkedu. Krisis berkenaan isu arak di Selangor telah selesai membuatkan Umno meleleh air liurnya. Isu kandang babi di Kedah sebelum ini juga dapat diselesaikan hinggakan Umno Kedah semakin hilang punca. Akhirnya, tiada jalan lain maka tiba-tiba keluar modal bahawa DS Anwar adalah pengkhianat. Ya, saya setuju bahawa DS Anwar memang pengkhianat tetapi khianat dengan Umno yang mengkhianati rakyat selama ini.

PRK Dun Permatang Pasir sekali lagi akan menjadi bukti samada DS Anwar atau Umno yang khianat. PR telah mula mencari tapak yang sesuai untuk dipacakkan `batu nisan' Umno di Permatang Pasir. Sekali lagi kita akan melihat wajah merah padam muka Najib dan Muhyiddin serta Zahid Hamidi. Selepas ini apa yang mereka akan kata? Mungkinkah sebelum PRK Dun Permatang Pasir nanti DS Anwar akan ditahan di bawah Akta ISA yang zalim itu sebagaimana kehendak Umno Kulai di dalam perhimpunan `makan kenduri'nya baru-baru ini? Jika DS Anwar ditahan di bawah Akta ISA, adakah Umno yakin boleh selamat dari kebangkitan rakyat? Jika yakin, Umno mungkin perlu mencubanya./Kembali Ke Laman Asal Di Sini.

Salleh Man Calon PAS Permatang Pasir

PAS mengumumkan Pesuruhjaya Pulau Pinang, Mohd. Salleh Man akan mewakili parti itu pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir minggu depan.

Salleh, 52, pernah bertanding kerusi Pinang Tunggal pada tahun 2004 dan Sungai Dua, Mac 2008.

Namanya diumumkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Permatang Pasir, Kg. Permatang Pasir dekat sini sebentar tadi.

Kerusi itu disandang oleh wakil PAS, Datuk Hamdan Abdul Rahman, yang telah meninggal dunia hujung bulan lalu.

Kira-kira lima jam terdahulu Barisan Nasional (BN) pula mengumumkan akan menurunkan Setiausaha Umno Bahagian Permatang Pauh, Rohaizat Othman.

Rohaizat, 38, merupakan penasihat undang-undang dan lulusan Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

Beliau yang juga Ketua Pemuda Umno Cawangan Mengkuang, Bukit Mertajam, menyertai Umno pada 1996.

Pemilihan beliau diumumkan oleh Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Permatang Pasir dekat sini kira-kira 5.30 petang tadi.

"Setelah ambil kira pandangan semua pihak, calon yang paling layak, boleh diterima rakyat, setelah dibincang dengan (Perdana Menteri) Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak, yang kini berada di luar negara, didapati calon yang paling sesuai ialah Setiausaha Umno Permatang Pauh, Rohaizat Othman," kata beliau ketika mengumumkan nama calon dan melancarkan jentera BN di pusat gerakan induk BN di Bukit Merah, Permatang Pauh dekat sini petang ini.

Pilihan raya kecil bagi kerusi DUN Permatang Pasir dijangka menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara BN, PAS dan seorang calon Bebas.

Pakar motivasi, Kamarul Ramizu Idris, 42, telah menyuarakan hasratnya untuk bertanding dalam pilihan raya kecil itu. -mstar

Khamis, 13 Ogos 2009

Hasan Ali patut belajar dari Hassan cucu Nabi

Oleh: Huzaifah Ahmad Yamani


Apabila saya menulis mengenai pemimpin PR, tidak kiralah siapa sekali pun – Hj Hadi, Anwar Ibrahim, Kit Siang ataupun Hasan Ali – itu bukanlah bermakna saya membenci mereka, mahu mereka dijatuhkan dan mahu menjahanamkan mereka. Takkan kita lupa pepatah Melayu, sayang isteri tingal-tinggalkan, sayang anak tangan-tangankan. Saya tambah: sayang pemimpin, tegur-tegurkan!


Anda mungkin menganggap saya anti-Hasan Ali. Hey, come on…saya adalah pendokong kuat Hasan Ali. Bahkan, saya sanggup bertekak dan berhujah mempertahankan beliau. Semuanya saya lakukan, kerana keyakinan saya terhadap beliau. Bahkan, saya masih ingat betapa Hasan Ali mendakwa, kemasukannya ke dalam PAS tidaklah membawa untung peribadi. Dia lebih untung sebagai pakar motivasi. Ini saya salute, saya tabik spring berkali-kali.


Namun, sebagai pengikut yang baik, saya tidak mahu menjadi seperti Umno. Pemimpin salah dibiarkan, akhirnya kepimpinan salah membawa rebah. Dalam Islam, anda pasti pernah terdengar kisah Umar al-Khattab ditegur seorang pemuda, namun Umar tidak marah bahkan baginda berterima kasih. Anda juga pasti pernah terdengar pesanan Abu Bakar r.a saat baginda dipilih menjadi khalifah, jika betul ikut, jika salah tegurlah.

Maknanya, ini adalah tanda aras atau bench mark kepimpinan dalam Islam. Jika teguran dianggap salah, maka apalah hebatnya institusi kepimpinan dalam Islam.


Bahkan anda mesti tahu, Imam sebagai pemimpin dalam solat juga wajib ditegur jika melakukan kesalahan. Kita diberitahu cara menegurnya, yakni adab-adabnya. Andai kata teguran demi teguran diberi dan si imam masih buat tak reti, kita boleh mufaraqah. Lain kali, tak payah ambik dia imam lagi, sebab dia jahil hokum, melainkan dia nak belajar, admit kesalahan dan berubah. Nak jadi imam, kena tahu hokum-hakam, buka setakat ilmu tajwid tetapi juga hokum fekah mengenai soal solat berjemaah.


Baiklah, Hasan Ali bagi saya adalah imam atau pemimpin. Apabila dia tersilap, pada mulanya saya berbaik sangka. Mungkin kerana dia tak sengaja, maklumlah diakan manusia biasa. Masa dia menang PRU 1999 di Parit Buntar dan Sg. Burong, saya sudah terdengar desas-desus perihal ada segelintir sikapnya yang kurang disenangi. Pun saya buat-buat pejam mata, kerana saya hanya dengar. Namun, PRU 2008 dia menang di Gombak Setia. Saya adalah antara tukang kempen dan tukang undi dia. Jadi, jika dia buat silap, maka kali ini saya boleh lihat depan mata. Jika dia buat silap, saya sebagai makmum kena menegurnya! Ini kewajipan saya.


Antara kesilapan Hasan Ali, dia tidak merujuk kepada syura dalam beberapa keputusan utama di peringkat negeri. Anda tak payah pergi jauh, anda lihat pemilihan exco negeri, mengikut maklumat yang saya dapati, ia tidak pun dirujuk kepada syura negeri. Maksud saya, dimasukkan ke dalam Mesyuarat Perhubungan PAS Negeri Selangor dan mendapatkan pandangan ahli-ahli mesyuarat dari seluruh kawasan. Kemudian, isu pemecatan Khalid Samad dan Saari Sungib, adakah anda rasa ia juga dibuat berdasarkan mesyuarat yang melibatkan semua kepimpinan negeri? Saya rasa tidak, kerana bukan semua kepimpinan PAS Selangor merestuinya. Khalid Samad bukan ‘kecik anak’ dalam PAS. Saari Sungib pun bukan orang lekeh. Mereka berdua sudah lama berjuang. Sudah teruji luar dan dalamnya. Kemudian, beberapa siri tindakan Hasan Ali, misalnya dalam ‘menegur’ MB (Isu Cow and Cars), pun tidak melalui mesyuarat negeri bahkan dilihat seolah-olah suatu ‘signal’ negatif PAS kepada Pakatan. Maka saya yakin, semuanya datang dari segelintir pemikiran manusia di dalam PAS namun akhirnya dipersembahkan sebagai Suara PAS Selangor! Adakah ini adil?


Berbalik isu arak, maka saya fikir anda silap memahami maksud penulisan saya sebelum ini. Arak adalah haram – jelas dan ia qatie di dalam al-Quran. Namun, apa yang saya pertikaikan ialah kaedah – uslub, method dan pendekatan – Hasan Ali nampak gelojoh di sini. Gelojoh justeru ia mendahului PAS Negeri (bagaimana nak kata suara PAS Selangor jika ada kepimpinan negeri yang tak bersetuju dengan CARA itu?), membelakangkan MB (MB Selangor pun tak diberitahu) dan gelojoh kerana mengusulkan pemecatan ‘rakan’ dakam Pakatan (sedangkan, cara terbaik ialah ‘Sindir anak tegur menantu.’) – Yakni Hasan Ali patut lebih bijak berpolitik dengan mengelakkan pertembungan terbuka sesama sendiri. Ini yang saya tegur – The Approach is WRONG!


Anda mungkin suka jika Hasan Ali bertegang leher dengan isu ini, namun saya nak bagi tahu, UMNO JUGA SUKA….maka apakah yang berlaku di sini…ya, seolah-olah ada sesuatu yang tak kena. Apabila berita HASAN ALI SANGGUP DILUCUTKAN JAWATAN dipaparkan di muka hadapan dan menjadi head line news di radio…ada sesuatu yang tak kena di sini. Kenapa berita lain tidak keluar dan anda harus ingat, kita tidak mahu semua ini menjadi modal UBN – sehinggalah akhirnya mereka berkempen: Sokong Hasan Ali haramkan arak – sedang dahulu mereka yang memberi lessen ‘menghalalkannya.’


Akhirnya, anda tidak perlu menunding jari kepada orang jika takdir Pakatan gagal mempertahan kemenangannya. Ini kerana, anda patut bertanya, adakah anda sudah menjalankan kerja mempertahankan kemenangan. Saya sudah berusaha ke arah itu. Saya sayangkan Hasan Ali, tapi saya lebih sayangkan kemenangan ini dan paling utama saya sayangkan Islam. Maka, saya tidak sanggup kemenangan dan Islam difitnah hanya kerana kelemahan segelintir manusia yang gagal memahami kondisi dan bertindak melulu sesuka hati. Wallahua’lam.


P/S: “Hasan Ali patut belajar betapa bijaksananya cucu Nabi Muhammad SAW, Hassan dan Hussein dalam membetulkan kesalahan seorang kakek, sehingga si tua tidak terasa dirinya dihina…itu lebih mulia dan lebih terpuji bagi seorang pemimpin sepertinya.”

smber PerakExpress

Pergi Tak Kembali Ustaz Asri

Al Fatiah






PETALING JAYA: Vokalis kumpulan nasyid Rabbani, Ustaz Mohd Asri Ibrahim, 40, disahkan meninggal dunia kurang sejam yang lalu akibat serangan jantung di Hospital Pantai, Bangsar.

Menurut rakannya, Azadan, jenazah arwah Asri akan dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) selepas ini.

Dimaklumkan, arwah meninggal dunia selepas jatuh pengsan semasa memberikan ucapan dalam sidang media program 'Syahadah' di Angkasapuri, Radio Televisyen Malaysia (RTM) kira-kira pukul 10.30 pagi tadi.

Pada dua hari lalu, Asri bersama anggota Rabbani yang lain menghadiri majlis sidang media dan memeterai satu lagi perjanjian kerjasama bersama Hotel Singgahsana untuk terus membuat persembahan di hotel tersebut sepanjang bulan ramadan yang bakal tiba nanti.

Rabbani akan mengadakan persembahan sepanjang ramadan di Hotel Singgahsana sambil menghiburkan para pengunjung yang hadir serta menikmati hidangan yang bertemakan 'Citarasa Ramadan 1 Malaysia' bermula 1 Ramadan nanti.

Rabbani telah bekerjasama dengan Hotel Singgahsana selama 18 tahun dan sejak itu Rabbani telah menghiburkan para pengunjung hotel tersebut yang datang untuk berbuka puasa dengan persembahan 'live' mereka.

Dalam sidang media itu, Asri berkata mengadakan persembahan di Hotel Singgahsana merupakan satu ibadah bagi dirinya.

"Saya rasa ibadah puasa saya tidak lengkap jika tidak mengadakan persembahan di hotel ini. Orang kata bulan puasa kalau boleh kurangkan bekerja, banyakkan ibadah, tetapi pada saya ini merupakan ibadah saya," katanya.

Asri dilahirkan pada 3 Ogos 1969 di Klang, Selangor.

Arwah meninggalkan seorang balu, Halizah Shahzan, 39, dan enam orang anak.

Asri menyertai kumpulan nasyid terkenal itu sejak ia ditubuhkan secara rasmi pada 1 Mac 1997 dengan dianggotai oleh sembilan orang termasuknya.

Asri juga pernah menyanyi secara duet dengan beberapa penyanyi terkenal seperti Mawi menerusi lagu 'Saksi' dan 'Mentari Merah Di Ufuk Timur' nyanyian bersama Amy Search.

Kehilangan Asri kini bermakna hilanglah tunjang Rabbani memandangkan arwah banyak menyumbangkan kemajuan prestasi sekaligus memberikan kejayaan kepada Rabbani.

Atas kejayaan itu, maka tidak hairanlah jika Rabbani dijulang sebagai Penyanyi/Artis Nasyid Popular di Anugerah Bintang Popular (ABP) selama lapab tahun berturut-turut.

Tidak kurang juga anugerah yang dicapai di Anugerah Industri Muzik (AIM) seperti Album Nasyid Terbaik 2001 (Iqrar - 1421), Vokal Berkumpulan Terbaik Dalam Album 2001 (Iqrar-1421), Album Terbaik 2001 (Iqrar-1421), Album Nasyid Terbaik 2002 (Intifada), Album Nasyid Terbaik 2003 (Qiblat) serta Album Nasyid Terbaik 2009 (Nostalgia Nada Murni) dan Lagu Nasyid Terbaik 2009 (Bila Nur Melimpah Di Hati).

Kemunculan Rabbani yang turut dianggotai oleh Mohd. Asri Baidul @ Ubaidullah, Azadan Abdul Aziz, Muhammad Luqman Abd Aziz, Muhammad Rithauddeen Yaakob, Mohamad Afandi Shahbudin, Ahmad Shafie, Nazrul Azhar Tamrin dan Zulkiflee Azman ini adalah dengan konsep yang tersendiri.

Dalam tempoh lebih 12 tahun berada dalam industri ini, Rabbani telah menghasilkan 19 buah album seperti 'ARAH Dari Mana… Ke Mana…' (1997), 'Pergi Tak Kembali' (1999), 'Intifada' (2000), 'Yalla Beena' (2004) dan yang terbaru, 'Nostalgia Nada Murni'.

Bermula dengan berkonsepkan nasyid klasik, melalui irama-irama yang dipetik dari Timur Tengah, Afrika dan Andalusia, kemudian diadun dan diolah mengikut citarasa yang sesuai dengan era yang terkini.

Juga dipersembahkan bersesuaian dengan citarasa remaja.

Disamping itu ditampilkan dengan adunan muzik ala melayu timur dan digabungkan dengan adunan muzik timur tengah.

Dan kini Rabbani muncul pula dengan konsep yang lebih global dalam bidang muzik tanpa mengurangkan kualiti mesej yang akan disampaikan dengan menampilkan world music didalam lagu-lagu terbarunya.

Ini adalah untuk menjadikan irama nasyid ini akan terus segar dari semasa ke semasa dan terus diminati oleh semua golongan tanpa mengira had bangsa dan negara.

Bagaimanapun dalam menyampaikan irama nasyid ini mesej adalah yang paling utama sekali dengan berpersepsikan bentuk nasihat, dakwah dan panduan.

Sekurang-kurangnya sedikit demi sedikit pendidikan secara tidak langsung itu berjaya masuk ke ruang fikiran sambil berhibur.

Lantaran itu juga boleh mendorong sikap kita ke arah kebaikan.

Ahad, 9 Ogos 2009

Dulu Anwar kena teruk , bila time najib?







Gambar hiasan

Khamis, 6 Ogos 2009

Hasan Ali Sedar Dirilah Sikit!

Oleh: Huzaifah Ahmad Yamani

Dengan kedudukan sebagai Pesuruh Jaya PAS Selangor, Hasan Ali
mempunyai kelebihan dalam menentukan hala tuju Pakatan Rakyat. Dia
sepatutnya rasa bertuah, kerana Hj Hadi masih memberinya peluang
menjadi PJ. Jika diikutkan senioriti, ramai lagi orang lain yang
layak. Jika dibandingkan kelayakan akademik dan sumbangan kepada PAS
pun, ramai lagi orang yang layak. Mungkin satu-satunya kelebihan Hasan
Ali, kerana dia pandai bercakap. Dia motivator. Namanya pun tersohor
sebagai pioneer dalam bidang motivasi di negara ini. Inilah kelebihan
yang tidak mampu ditandingi oleh orang lain.

Namun, petah bercakap, bijak berpidato sahaja bukanlah jaminan
kecemerlangan dalam kepimpinan. Benar, Hasan Ali mempunyai kelayakan
akademik yang tinggi. Namun, gabungan pencapaian akademik dan
kehebatan pidato beliau, setakat ini masih di tangga ’Kurang
memuaskan’. Jika ada buku rekod yang perlu ditandantangani, maka masih
banyak perkara yang dia kena pertingkatkan. Jika dia ada KPI, masih
banyak yang belum tercapai.

Sebagai exco yang agak kanan, Hasan Ali sepatutnya menjadi nadi dan
tonggak kepada kerjasama PR. Tapi malangnya, dia selalu bercakap
bagaikan lidah Umno. Cuba anda lihat reaksi Hasan Ali terhadap
beberapa insiden yang menimpa Pakatan di Selangor. Bermula isu
Elly…apa kata beliau? Kemudian isu MB: Cow and Car…apa kata
beliau? Terkini isu arak ini…apa kata beliau? Anda boleh mencari
kembali, tak perlu saya notakan di sini. Namun, semuanya bernada
pesimis dalam mengukuhkan Pakatan. Maka, tak hairanlah ada pihak
beranggapan Hasan Ali membawa suara Umno dalam Pakatan!

Baiklah, saya ingin menyentuh isu arak. Isu ini hangat sekali di
negeri Uncle Carls ini…he…he…nama baru untuk Selangor. Saya
gelihati dengan kenyataan media PAS Selangor (atau kenyataan media
Hasan Ali?) hari ini, bahawa Ronnie Liu patut digugurkan.
Wah…nampaknya Hasan Ali mengajar kita melakukan sesuatu mengikut
kepala masing-masing. Selepas ini, jika ada ahli PAS di peringkat
cawangan atau kawasan tidak berpuas hati dengan beliau, maka buat
sahaja PC, panggil para wartawan…baru ada jalan!

Saya gelihati dengan isu ini. Bagi saya, Ronnie Liu jika benar
mengarahkan PBT berkenaan memulangkan minuman keras (tapi beliau
mengatakan itu adalah sabotaj!), maka itu adalah pertanda kejahilan
seorang non-muslim. Harus dipasak dalam minda Hasan Ali, Selangor
bukan negara Islam. Selangor adalah sekular. Ronnie Liu juga bukan
seorang Islam, bahkan dia juga bagi saya bukannya seorang zimmi. Maka,
tindakan Hasan Ali sepatutnya lebih berhemah. Jangan menunjuk lagak
dalam kondisi seperti ini, kerana kedudukan PR sendiri tidaklah kukuh.
PAS sendiri adalah lemah tanpa sokongan kaum Cina dan India. Adakah
Hasan Ali sedar implikasinya? Atau Hasan Ali memang mahu Pakatan
tumbang di Selangor?

Di sebalik Hasan Ali sibuk dengan isu penjualan arak ini, dia patut
lebih alert dengan ribuan pekerja Islam yang berkerja di kilang arak.
Ya…mereka berkerja membuat arak! Bahkan saya diberi tahu, ada
Persatuan Pekerja Islam Carlsberg…ini yang lebih aula bagi seorang
Exco Agama dan Adat Melayu seperti beliau tangani. Apakah hukumnya
mereka berkerja membuat, memasar dan membekalkan arak? Jawaplah Hasan Ali…jangan tak jawab.

Apakah Hasan Ali sedar, bahawa menyelamatkan ribuan umat Islam (bayangkanlah, seorang bapa membawa balik rezeki haram kepada keluarganya dari sumber arak!), sepatutnya lebih utama
untuk diselamatkan oleh Hasan Ali daripada entah berapa kerat yang
50:50 sama ada akan membeli arak atau tidak. Namun, setakat ini tiada
kedengaran pun inisiatif Hasan Ali untuk menyelamatkan para pekerja
yang berkerja sebagai tukang buat arak ini. Malulah Hasan Ali…anda
bercakap berdegar-degar, rakyat sendiri berkerja di kilang arak!

Apa, daif sangatkah kerajaan negeri Selangor? Kutipan zakatnya sahaja
khabarnya ratusan juta. Takkanlah Hasan Ali tidak mampu berfikir untuk
menyelamatkan para pekerja Islam di kilang arak ini dengan dana zakat?
Takkanlah sultan Selangor tidak berkenan menyelamatkan rakyatnya
dengan wang zakat? Takkanlah Pusat Zakat Selangor tak boleh beri
kerjasama kepada Hasan Ali dalam rangka menyelamatkan umat Islam dari
terus berkerja di kilang arak? Takkanlah MB Selangor tidak akan
menyokong usaha ini? Takkanlah Ronnie Liu dan DAP akan membuat
demonstrasi agar Hasan Ali tidak menyelamatkan umat Islam di kilang
arak?

Ini baharu sedikit yang kita paparkan, yang sepatutnya isu ini
digegerkan oleh Ketua Dewan Ulama PAS Selangor dan Pemuda PAS
Selangor. Jangan hanya tahu mengajar kitab fikah di masjid dan surau.
Jangan hanya tahu menghukum itu haram dan ini haram. Ini…sudah jelas
lagi nyata, mereka berkerja di kilang arak, membawa lori arak…apakah
hukumnya? Adakah Ketua Dewan Ulama PAS Selangor tak tahu…takkan saya
nak bagi hadis kepada beliau? Tidak kah mereka pernah menasihati Hasan
Ali? Atau mereka pun bagaikan ’lembu kenyang’ juga?

Di samping itu, saya nak bertanya kepada Hasan Ali, mana dia segala
perancangan untuk anak-anak muda, remaja, belia dan beliawanis
Selangor. Dahulu, semasa dok berkempen, bukan main lagi dok bagi tahu,
segala macam statistik tentang kerosakan akhlak remaja dan muda-mudi
Islam. Yang berpeleseran, bersekedudukan tanpa nikah, bohsia, mat
rempit dan sebagainya. Kini, kamu sudah ada kuasa, maka kenapa senyap
sahaja? Gunakanlah segala kepakaran dan ilmu anugerah Allah itu untuk
kebaikan rakyat Selangor. Sampai hari ini, remaja berpeleseran masih
bersepah, termasuklah di Dataran Shah Alam, di taman-taman tasik dan
di mana-mana. Merempit masih menjadi-jadi. Takkanlah semua statistik
itu hanya berguna semasa kempen pilihan raya sahaja kot?

Justeru itu, maaf…sehingga kini, saya boleh bagi markah paling
tinggi pun ’C-’ sahaja kepada Hasan Ali. Jika Halimah Ali saya bagi
’B+’. Iskandar Abdul Samad pun saya boleh bagi ’B’. Sebab apa? Sebab
sampai kini tiada satu usaha bersunggih-sungguh dan gerak kerja
konstruktif daripada Hasan Ali untuk memanfaatkan jawatannya demi
kebaikan rakyat Selangor. Tiada satu tindakan bersepadu dikemukakan,
misalnya membentuk Modul Pendidikan Remaja….yang ada …memang tak
ada apa-apa. Hasan Ali hanya ghairah dengan forum perdana lagendanya.
Masih ghairah memanggil orang mendengar celotehnya…aduh…adakah ini
Hasan Ali yang aku undi?

(Nota: Masih banyak lagi yang boleh diperkatakan…anda tunggulah,
insya-Allah. Mudah-mudahan teguran ini akan sampai kepada Hasan Ali.
Ini teguran dari pengundi Hasan Ali, yang mungkin jika saya tidak
mengundi beliau, maka beliau masih bukan seorang YB! Jadi, sedar
dirilah sikit.)

Royalti Minyak Kelantan: Penjelasan Ekslusif Datuk Husam








TUMPAT, 5 Ogos (Hrkh) - Seramai 45 peserta ekspedisi kerajaan Kelantan ke pelantar minyak Cakrawala di Laut China Selatan selamat kembali petang ini selepas bertolak ke kawasan berkenaan pagi semalam.

Mereka terdiri daripada wartawan, jurugambar, bloger dan pemimpin masyarakat tiba kira-kira jam 3.20 di jeti Pengkalan Kubur hari ini.

Manakala rombongan anggota Exco, Dato' Husam Musa pula tiba di pangkalan Tok Bali jam 11 malam tadi. Rombongan itu disertai 20 peserta yang terdiri daripada wakil-wakil rakyat.

Kepulangan dua bot milik nelayan itu disambut Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Husam.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerjaya, Utiliti dan Alam Sekitar Negeri, Mejar (B) Md Anizam Abdul Rahman.

Biar pun mereka nampak kepenatan, namun wajah setiap peserta ekspedisi kelihatan ceria apabila melihat Menteri Besar menyambut kepulangan mereka di jeti.



Kumpulan dua bot itu berlepas kira-kira jam 10.05 pagi semalam di jeti Pengkalan Kubur.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz melahirkan rasa syukur kerana rombongan selamat pulang setelah mengikuti perjalanan ekspedisi itu selama dua hari.

"Ekspedisi ini misi rakyat dan mereka amat prihatin bagi mempertahankan hak mereka.

"Rakyat Kelantan sentiasa sedar terhadap tanggungjawab menjaga hak dan harta yang dikurniakan Allah, di samping menjaga maruah," katanya.

Beliau berkata, biar pun perkara itu cuba dinafikan pihak lain rakyat Kelantan tetap yakin ia menjadi hak mereka.

sumber, Harakhdaily

Selasa, 4 Ogos 2009

PAS gesa haramkan arak di S'gor

PAS Selangor mendesak kerajaan negeri Pakatan Rakyat itu melaksanakan dasar mengharamkan penjualan alkohol di semua kawasan bermajoriti Islam.

Dalam sidang media hari ini, Pesuruhjaya PAS negeri Datuk Dr Hassan Ali berkata pengharaman itu melibatkan Muslim sahaja tidak tidak mencanggahi hak bukan Islam untuk mengambil arak.

Ditanya sama ada cadangan itu adil kepada bukan Islam yang tinggal di kawasan majoriti Muslim, ADUN Gombak Setia berkata mereka terpaksa bergerak untuk membeli minuman itu.

Hassan juga menggesa kerajaan negeri menukar portfolio exco negeri Ronnie Liu, daripada DAP, yang didakwa "campur tangan dalam hal-ehwal Islam", portfolio yang disadang tokoh PAS itu.

Tambahnya, Liu yang mengawasi perjalanan pihak berkuasa tempatan tidak memahami larangan itu dan telah terkeluar daripada bidang kuasa yang diperuntukan bawah jagaannya.

Sumber Malaysiakini

Sabtu, 1 Ogos 2009

Update Himpunan Mansuhkan lSA

Kira-kira 20,000 orang membanjiri ibu negara hari ini untuk menyertai perhimpunan anti-ISA anjuran Gerakan Mansuhkan ISA (GMI).

Mereka berdepan dengan anggota polis yang melepaskan tembakan gas pemedih mata serta tembakan meriam air di lokasi perhimpunan di kompleks membeli-belah SOGO, sekitar Masjid Jamek, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Raja Laut, Dataran Merdeka, di Masjid Negara serta di ibu pejabat PAS di Jalan Raja Laut.

Mereka mula berkumpul jam 2 petang di tempat-tempat berkenaan dan anggota polis, termasuk Unit Simpanan Persekutuan (FRU), yang bertindak meleraikan orang ramai, termasuk menangkap.

Polis bertindak menutup semua jalan menuju ke pusat bandar dan ke Istana Negara sejak awal pagi ini.

Akibat kawalan keselamatan ketat, GMI gagal menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong.

Bagaimanapun, wakil kumpulan pro-ISA, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz, dapat menyerahkan memorandum mereka kepada pengawal Istana Negara.

Perhimpunan itu berakhir pada jam 3.45 petang selepas pemimpin Pakatan Rakyat meminta mereka bersurai selepas berucap di ibu pejabat PAS di Jalan Raja Laut.

Dipercayai hampir 200 orang ditahan.

Dalam sidang petang tadi, pengerusi GMI Syed Ibrahim Syed Noh mendakwa 100,000 orang menghadiri perhimpunan hari di beberapa tempat di tengah-tengah ibu kota.

Manaka Ketua Dewan Pemuda PAS Nasrudin Hassan pula menganggarkan kira-kira 80,000 menyertai perhimpunan hari ini.

Para saksi pula menganggarkan lebih kurang 20,000 menyertainya.

Sehingga lewat petang ini, pihak polis masih lagi berada di sekitar SOGO dan melepaskan tembakan meriam air apabila ternampak kumpulan penyokong anti-ISA.

Berikut adalah rentetan peristiwa perkembangan hari ini:

7.32pm Polis dilaporkan ingin menyiasat 11 individu termasuk penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, tokoh utama DAP Lim Kit Siang dan Pengerusi GMI Syed Ibrahim Syed Noh.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Muhamad Sabtu Osman dipetik berkata siasatan itu kerana mereka hadir dan berucap di depan ibu pejabat PAS sebelum demonstrasi besar itu bersurai.

7.20pm Seramai 438 orang ditahan dalam perhimpunan anti-ISA mulai tengah hari hingga 6 petang, termasuk 37 wanita dan 38 kanak-kanak.

4.50pm
Pasukan polis berkenaan beredar dari situ.

4.45pm Kira-kira 20 anggota polis berada di depan ibupejabat PAS di Jalan Laut. Bagaimanapun mereka tidak dapat masuk kerana pihak PAS enggan membuka pintu. Kelihatan tiga trak FRU dekat situ.

4.20pm: Media melaporkan antara 10,000 hingga 15,000 penentang ISA berkumpul semula sekitar kompleks membeli-belah Sogo - mereka kemudian ditembak gas pemedih mata dan meriam air.

Mereka mula melaungkan slogan-slogan anti-kerajaan dan membantah akta itu sejak kira-kira 4 petang.


4.02pm Polis melepaskan dua tembakan gas pemedih mata dan tembakan meriam air ke arah penyokong anti-ISA di hadapan ibupejabat PAS di Jalan Raja Laut ketika mereka sedang bersurai.

3.38pm Timbalan Pengerusi 11 Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris), Rahimuddin Md Harun dihalang di depan Public Bank Jalan Tun Sambathan pada jam 2.45 petang tadi daripada ke Istana Negara untuk serah memorandum.


3.45pm Kira-kira 2,000 penentang akta ISA yang berkumpul di atas jalan di depan ibu pejabat PAS diminta bersurai selepas mendengar ucapan pemimpin pembangkang, termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim, tokoh popular Lim Kit Siang dan Naib Presiden PAS Mahfuz Omar.

Semua pemimpin kanan Pakatan Rakyat berada di dalam bangunan ibu pejabat PAS sekarang - dijangka akan mengadakan sidang media.
3.38pm Timbalan Pengerusi II Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris), Rahimuddin Md Harun dihalang di depan Public Bank di Jalan Tun Sambathan pada jam 2.45 petang tadi daripada meneruskan perjalanan ke Istana Negara untuk menyerahkan memorandum.

3.35pm Kira-kira 2,000 berhimpun di depan ibupejabat PAS di Jalan Raja Laut. Mereka duduk di atas jalan, dipercayai untuk menghalang kenderaan polis ke situ. Mereka turut melaungkan 'Mansuhkan ISA'.

3.30pm Ratusan orang kelihatan bergerak menuju ke arah bangunan ibupejabat PAS. Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang ikut sama.

3.29pm: Manakala dua penyokong anti-ISA dapat melepasi kawalan polis untuk sampai ke Istana Negara tetapi kemudiannya ditahan polis

3.25pm Tinggal 100 orang kelihatan berlegar di kawasan masjid negara. Juga kelihatan beberapa anggota polis sahaja di situ. Sebelum ini polis melepaskan tembakan meriam air.

3.20pm Sebelum itu, stesen LRT Bandaraya dekat Sogo telah ditutup. Turut ditutup ialah stesen LRT Masjid Jamek dan Pasar Seni.

3.05pm Polis menembak gas pemedih mata lagi ke arah sekumpulan orang yang berhimpun semula berdekatan Sogo.
3pm Polis melepas tembakan meriam air ke arah kira-kira 300 orang yang berkumpul semula dengan Jalan Tuanku Abdul Rahman.

2.53pm
Pemimpin-pemimpin utama Pakatan Rakyat dan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) akan berkumpul di Masjid Negara dahulu sebelum bergerak ke Istana Negara untuk menyerahkan "deklarasi rakyat".

2.50pm
Asap gas pemedih mata kelihatan berkepul-kepul selepas ditembak untuk menyuraikan kumpulan penentang ISA.


2.42pm
Kumpulan dari arah Sogo yang bergerak di sepanjang Jalan Raja Laut ditembak gas pemedih mata.

2.41pm
Polis melepaskan gas pemedih mata dan menggunakan meriam untuk menyuraikan perhimpunan di bulatan dekat Bank Negara.

2.39pm Kumpulan dari arah Sogo menuju sepanjang Jalan Raja Laut ke arah Dataran Merdeka selepas berhimpun dan mendengar ucapan ringkas.

2.37pm
Polis melepaskan berpuluh-puluh gas pemedih mata ke arah lebih 2,000 penentang ISA bersama pemimpin PAS Dr Hatta Ramli di bulatan dekat Bank Negara.

2.33pm
Orang ramai merempuh polis untuk ke dataran ikut belakang. Kira-kira 200 terlepas bersama Dr Hatta Ramli.

2.30pm Saksi-saksi menganggarkan hampir 10,000 berkumpul dekat Sogo, simpang jalan Dang Wangi dan Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Pemimpin GMI menyampaikan ucapan dan membacakan deklarasi rakyat mendesak ISA dimansuhkan. Pemimpin PKR Tian Chua dan Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub kelihatan di sini.

2.22pm Mereka yang berarak dari Masjid Negara menukar haluan ke Padang Merbok.

2.20pm Polis menembak gas pemedih mata bagi meleraikan lebih 2,000 orang yang berhimpun di Jalan Tuanku Abdul Rahman.


2.15pm Hampir 2,000 berkumpul di hadapan Panggung Colesium di Jalan Tuanku Abdul Rahman bersorak 'Mansuhkan ISA' dan bertakbir. Mereka datang dari arah Dataran Merdeka menuju ke Sogo.

2.10pm Pewaris membatalkan perarakan ke Istana Negara tetapi tetap berkumpul di Pasar Seni. Mereka akan menghantar memorandum ke istana menggunakan kenderaan.

2.10pm Polis membuat benteng tangan untuk menghalang lebih 1,000 orang berarak ke arah Dataran Merdeka.
2.01pm Di Masjid Negara, polis membuat tangkapan sehingga berlaku pergelutan hingga ada yang koyak baju. Kira-kira 2,000 sedang berjalan menuju ke Dataran Merdeka.

1.50pm: Polis mengarahkan orang ramai di Masjid Jamek supaya bersurai selepas mereka selesai solat Zuhur.



1.46pm:
Ketua Pemuda PKR Batu, Rozan Azen Mat Rasip ditahan polis dekat Sogo.

1.45pm:
Dua gadis, yang berpakaian agak menjolok mata, masuk ke perkarangan ke Istana Negara kira-kira 1.30 petang - dan terus mencuri tumpuan media dan polis yang bertugas.

1.34pm:
Setengah jam menjelang saat-saat perarakan ke Istana Negara, sekurang-kurangnya 10 ditahan di Nasjid Negara.

1.33pm: Menurut polis Kuala Lumpur, empat buah bas yang dipercayai membawa penyokong untuk menghadiri perhimpunan isu ISA ditahan engah hari ini, lapor laman web Utusan Malaysia.

Kesemua bas sewa khas itu dipercayai datang dari Terengganu.

1.26pm:
Dua lelaki, dalam lingkungan 30-an dan 50-an, ditahan kerana membawa lambang anti-ISA. Polis juga mengadakan pemeriksaan rambang terhadap mereka yang memasuki masjid.

Lelaki tua itu, yang membawa baju mansuhkan ISA, menangis sewaktu ditahan. Azan solat Zohor berkumandang.

1.25pm:
Semakin ramai berkumpul di Masjid Negara - sekarang mereka kini berjumlah kira-kira 500 orang.

1.20pm Lapan lelaki ditahan dekat kompleks membeli-belah Sogo.

1.15pm Menurut polis Kuala Lumpur, kira-kira 200 sudah ditahan dalam percubaan terlibat dalam demonstrasi besar anti-ISA ke Istana Negara.
1.05pm: Semakin ramai berkumpul di Masjid Negara sejak sejam lalu - mereka bergerak perlahan-lahan dari stesen lama keretapi. Kira-kira 200 orang kini berada di dalam dan luar masjid.

12.50pm:
Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) depan Sogo menuju ke Dataran Merdeka sejauh kira-kira 1.8 km ditutup.

12.47 pm: Masjid Jamek ditutup kepada orang ramai. Hanya anggota polis boleh masuk.

12.40pm: Menurut seorang saksi, tidak ramai orang di Padang Merbok, salah satu tempat perhimpunan bagi kumpulan pro-ISA. Tiga trak polis kelihatan di situ, Menurut seorang pegawai cawangan khas, kumpulan pro-ISA mungkin hanya berkumpul di Pasar Seni.

12.37pm: Polis juta menguna unit anjing di Dataran Merdeka. Sekurang-kurangnya dua anjing polis dilihat di situ.

12.35pm: Seorang peguam, Puspawati Rosman, dari Pusat Bantuan Guaman ditahan di luar pusat tersebut di Jalan Jalan Tun Perak, dekat Masjid Jamek.

Dipercaya Puspawati (kiri) ditahan kerana mengedar risalah mennjelaskan hak mereka yang ditahan.

12.31pm Kira-kira 20 penyokong anti-ISA masuk ke dalam Masjid Negara.

12.30pm Kira-kira 10 orang termasuk dua wanita, ditahan di kawasan Masjid India.

12.27pm Jumlah tangkapan di sekitar kompleks membeli belah SOGO ialah 17 orang. Jadi jumlah keseluruhan yang ditahan sehingga ini ialah 67 orang.

12.20pm dua lagi itangkap di sekitar kompleks membeli belah SOGO menjadi 16 orang ditahan setakat ini. Jumlah keseluruhan yang ditahan sehingga ini ialah 66 orang.

12.15pm Tiga lagi ditangkap di sekitar kompleks membeli belah SOGO menjadi 14 orang ditahan setakat ini. Jumlah keseluruhan yang ditahan sehingga ini ialah 64 orang.

12.10pm Jumlah mereka yang ditangkap di Pasar Seni kini meningkatkan kepada 14 orang. Jumlah keseluruhan yang ditahan setakat ini ialah 64 orang.

12.05pm Empat lagi ditahan di Sogo - menjadikan 11 orang ditahan setakat ini di perkarangan kompleks membeli belah itu. Jumlah keseluruhan yang ditahan setakat ini ialah 58 orang.

11.50am Tujuh lagi penyokong perhimpunan ISA ditahan di perkarangan kompleks membeli belah SOGO - menjadi 58 orang ditahan setakat ini.

11.45am Seorang lagi ditahan di Pasar Seni, menjadi jumlah mereka yang ditahan setakat ini meningkatkan 51 orang. Kira-kira 100 orang penyokong anti-ISA kelihatan berkumpul di stesen KTM berhampiran Masjid Negara.

11.40am Jumlah mereka yang ditangkap di Pasar Seni meningkat kepada lapan orang, manakala enam lagi ditahan di kawasan Masjid Jamek.

Pagi tadi polis menahan 36 orang - 14 anggota Unit Amal PAS dan 22 lagi di Masjid Negara dan tiga lagi di Pasar Seni.

Menurut Suaram, 14 14 anggota Unit Amal PAS itu - 13 dari Perak dan seorang dari Melaka - yang datang untuk membantu mengawal keselamatan di perhimpunan. ditahan pada kira-kira jam 7 pagi ketika tiba di stesen KL Sentral.

Manakala 22 orang lagi ditahan di Masjid Negara.

Menurut Wong lagi, anggota Unit Amal yang ditahan itu dibawa ke ibupejabat polis Kontinjen Kuala Lumpur.

Manakala 22 orang yang ditahan di Masjid Negara, dihantar ke ibupejabat polis Cheras dengan dua trak polis.

Manakala tiga lagi ditahan di Pasir Seni pada kira-kira jam 11 pagi ini.

Malaysiakini

Template by : realaduka .blogspot.com