Assalamualaikum Dan Selamat Datang... Blog ini terbuka untuk kritikan dalam usha untuk menambah baik..

Khamis, 14 Oktober 2010

Azmin: Saya tak manipulasi pemilihan untuk menang

October 14, 2010
KUALA LUMPUR, 14 Okt — Calon jawatan timbalan presiden PKR Azmin Ali menyangkal dakwaan bahawa beliau bersama “puaknya” memanipulasikan proses pemilihan agar memihak kepada mereka.

“Kesemua masalah dalam parti, saya dipersalahkan. Saya bukan ahli jawatankuasa pemilihan pusat, jadi anda kena rujuk perkara ini kepada mereka,” kata beliau (gambar) kepada pemberita di bangunan Parlimen hari ini.

“Bagaimana saya boleh memanipulasikan keputusan pemilihan? Saya bertanya anda... bagaimana saya memanipulasikan undi?

“Ini adalah pemilihan langsung, sistem baru dalam parti.

“Setiap ahli ada satu undi, jadi mereka perlu datang untuk mengundi. Saya tidak boleh memanipulasikan undi,” kata beliau dalam nada jengkel apabila wartawan terus mengajukan soalan berkaitan dakwaan anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR N. Gobalakrishnan juga di bangunan Parlimen.

Gobalakrishnan memberi kata dua akan keluar parti itu sambil mendakwa Azmin, yang juga Naib Presiden PKR, dan beberapa pemimpin tertinggi membentuk “puak” untuk memanipulasikan proses pemilihan yang menggunakan sistem langsung.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Padang Serai ini menggesa Jawatankuasa Pemilihan Pusat segera mengambil tindakan untuk membetulkan segala kelemahan dan kekurangan yang wujud ketika pemiliham bahagian, yang berakhir 3 Oktober lalu, dan jika gagal beliau akan meninggalkan parti.

“Hari ini, saya datang dengan kenyataan ini meminta jawatankuasa pemilihan segera menyelesaikan kesemua masalah berkaitan dengan pemilihan bahagian.

“Saya mahu mereka berlaku adil, telus dan berkecuali kepada semua.

“Jika keadaan ini berterusan, maka tidak gunanya (saya) tinggal lagi (dalam parti), jika ada individu yang boleh memanipulasikan pemilihan cara-cara begini,” kata beliau yang pernah dikaitkan akan keluar parti satu hari bersama beberapa wakil rakyat yang telah pun keluar.

Beliau telah menafikan khabar-khabar angin itu sebelum ini.

Mengulas lanjut, Azmin berkata, ketika proses pengiraan undi, pegawai-pegawai pemilihan parti akan turut hadir dan memang mustahil baginya memanipulasikan undi.

“Dan, cabang-cabang pula akan mengemukakan laporan mereka kepada ibu pejabat. Jadi, saya tidak berada dalam kedudukan untuk memanipulasikan undi,” katanya lagi.

Azmin juga menegaskan bahawa parti telah menghantar notis kepada semua cabang supaya mengemukakan senarai pencalonan mereka kepada jawatankuasa pemilihan sebelum 10 Oktober.

“Sebagai ketua cabang, saya juga menerima notis daripada sekretariat mengingatkan bahawa setiap cabang perlu mengemukakan laporan bertulis mereka sebelum 10 Oktober.

“Jadi, sebagai pemimpin yang bertanggungjawab, anda kena memastikan bahawa kesemua laporan diserahkan. Ia proses yang mudah dan kena menghormatinya. Jangan berkata, kerana masalah itu pun saya juga dipersalahkan.

“Tidakkah anda bersimpati dengan saya... saya dipersalahkan kerana semua masalah,” katanya lagi.

Tiada ulasan:

Template by : realaduka .blogspot.com