Assalamualaikum Dan Selamat Datang... Blog ini terbuka untuk kritikan dalam usha untuk menambah baik..

Jumaat, 1 Oktober 2010

CD Jatuhkan MB: Faekah Anggap Skrip Lapuk


Mohd Naeem Raffi

SHAH ALAM: Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Faekah Husin menyifatkan dakwaan pendedahan cakera padat (CD) konspirasi menjatuhkan Tan Sri Khalid Ibrahim, sebagai amalan politik tidak matang.

Beliau menganggap pendedahan sedemikian adalah skrip lama bekas pemimpin yang meninggalkan PKR bagi meraih publisiti politik, selain menegaskan corak kepimpinan parti sentiasa terkedepan.

"Perjalanan cerita sebegini macam skrip 'orang berkasih-kasihan' seperti dalam skrip tahun 1998. Jadi kalau wujud skrip sama pada tahun 2010 untuk menjatuhkan seseorang, saya kira ia sudah lapuk," katanya.

Beliau berkata demikian kepada TV Selangor apabila diminta mengulas laporan yang didakwa pendedahan CD untuk menjatuhkan Khalid, kononnya melibatkan Naib Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali.

Dakwaan pendedahan perbualan telefon yang digembar-gemburkan bekas Ahli Majlis Tertinggi PKR, Ng Lum Yong dan tersiar dalam kebanyakan media arus perdana hari ini.

Mengikut laporan media, perbualan telefon selama 10 minit itu melibatkan Ramlan Abu Bakar yang kini mengaku sebagai Ketua Reformis Malaysia dengan seseorang yang tidak diketahui identitinya.

Menyatakan perbualan telefon itu juga menimbulkan pelbagai keraguan, Faekah turut mempersoal kedudukan sebenar Ramlan dalam pertubuhan berkenaan.

"Pejabat SUK ada menerima memorandum daripada Persatuan Reformis menyatakan Ramlan bukan Presiden tetapi orang lain. Ini menimbulkan keraguan," katanya.

Mengenai dakwaan penglibatan Azmin, Faekah berkata, tiada sebab Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa itu mahu jatuhkan Khalid memandangkan kedudukan Azmin lebih tinggi.

"Tiada sebab Azmin mahu menjatuhkan Khalid kerana dalam hiraeki parti, Khalid tidak ada jawatan tertinggi - hanya Ahli Majlis Pimpinan Pusat sedangkan Azmin adalah Naib Presiden," katanya.

Beliau juga melihat dakwaan demikian bukan isu sebaliknya konspirasi yang menjadi rencah dan asam garam ketika pemilihan parti rancak berjalan.

"Apapun tujuannya hanya mahu menjadikan proses pemilihan ini sebagai sesuatu panas (kontroversi)," katanya yang menganggap konspirasi menjadi rencah dan asam garam ketika pemilihan parti rancak berjalan.

Tiada ulasan:

Photobucket
Template by : realaduka .blogspot.com