Assalamualaikum Dan Selamat Datang... Blog ini terbuka untuk kritikan dalam usha untuk menambah baik..

Ahad, 26 September 2010

KeADILan jangan silap catur

Mohd Rashidi Hasan

KONGRES Tahunan Parti KeADILan Rakyat November ini, diraikan dengan pemilihan pucuk kepimpinan yang kehangatannya mendominasi percaturan media.


Pemilihan pucuk pimpinan KeADILan menjadi tumpuan kerana, buat kali pertama kalinya dalam sejarah politik negara, sebuah parti politik menyerahkan nasib pemimpinnya kepada semua ahli.

Dalam ertikata lain, KeADILan sedang mempraktikkan amalan 'true democracy' atau demokrasi sebenar apabila semua ahli berhak mencalon dan mengundi sesiapa yang dikehendakinya.

Amalan biasa dalam sistem kepartian di Malaysia adalah sistem perwakilan atau delegate system. Di mana kuasa untuk mencalon atau mengundi diserahkan kepada perwakilan tertentu.

Sistem ini adalah sebahagian daripada demokrasi juga. Cumanya, apabila kuasa mencalon berada pada bilangan yang kecil, ia barangkali boleh mengundang kepada perebutan yang tidak sihat.


Menerusi sistem baru yang diamalkan KeADILan, semua ahli berhak mengundi, maka ia sedikit menyukarkan calon untuk mempengaruhi pengundi dengan cara manipulasi, rasuah, politik wang atau sebagainya.

Nyatanya, sistem satu ahli satu undi ini merupakan suatu reformasi politik yang sedang dinilai pemerhati politik. Ianya suatu pembaharuan politik, ianya juga suatu eksperimen untuk diuji sejauhmana keberkesanannya.

Prinsip-prinsip yang digariskan KeADILan di dalam pemilihan kali ini antaranya ialah untuk mewujudkan pemilihan yang bebas dan seimbang, asas pertandingan yang seimbang, mengutamakan kepentingan parti dari kepentingan peribadi, tiada politik wang dan proses yang transparen.

Apa pun yang digariskan sebagai suatu peraturan dalam sesebuah sistem, bukan semuanya menjamin kesaksamaan dan keadilan. Bukan semua peraturan boleh dipatuhi semua pihak yang bertanding.

Namun, apa yang diamalkan oleh KeADILan, merupakan suatu eksperimen yang bakal menentukan corak masa depan politik negara.

Pasang surut perjuangan KeADILan

Kewujudan KeADILan, sebagai parti yang masih baru dalam arena politik negara, juga merupakan suatu eksperimen yang menarik.

Rakyat hari ini melihat KeADILan sebagai suatu force multi-cultural dalam negara. Mengatasi kesatuan pelbagai kaum Gerakan, PPP, barangkali juga Barisan Nasional.

KeADILan diwujudkan pada tahun 1998 selepas peristiwa pemecatan Dato' Seri Anwar Ibrahim. Memasuki Pilihan Raya Umum ke-10 pada 1999 dengan kerjasama Barisan Alternatif (PAS, DAP dan PRM).

Sebagai parti yang masih baru, KeADILan mencatat kemenangan yang memberangsangkan sehingga mampu memenangi banyak kerusi Parlimen dan Dun. Banyak juga kawasan yang berjaya dikurangkan majoriti Umno-BN. Itupun pada waktu itu lebih 600 ribu pengundi tidak dimasukkan dalam senarai oleh Suruhanjaya Pilihan Raya.

Namun, kecemerlangan KeADILan agak suram apabila BA berpecah. Anwar masih dalam penjara, dengan keadaan yang tidak menentu pada waktu itu.

KeADILan mengalami liku-liku getir menjelang PRU ke-11 pada 2004. Wujud perpecahan yang serius dalam parti. Ramai pemimpin yang sudah 'habis minyak'. Ramai yang kelihatan sudah letih.

Antaranya ramai pimpinan Angkatan Muda KeADILan (AMK) yang 'cabut' masuk Umno. Kesabaran kepimpinannya begitu teruji.

Kelemahan-kelemahan ini mendorong kepada kelemahan BA secara keseluruhan. PAS juga terjejas teruk, KeADILan hanya tinggal satu kerusi.

Selepas Anwar dibebaskan pada November 2004, pemulihan KeADILan masih belum memperlihatkan masa depan yang baik untuknya.

Perpecahan terus berlaku, ramai yang keluar parti, mungkin kerana tidak sabar atau tidak yakin dengan perjuangan reformasi.

Malah ada antara mereka yang mengajak Anwar masuk Umno kerana tidak mampu dengan ujian menjadi parti pembangkang.

Mengapa mereka berebut jawatan?

Selepas Anwar dibebaskan, Anwar tidak dibiarkan keseorangan. Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Timbalan Mursyidul Am, Dato' Dr Haron Din mengunjunginya di Munich (semasa dalam rawatan). Begitu juga dengan pemimpin DAP.

Hubungan akrab PAS, DAP dan KeADILan diteruskan walaupun Anwar dikekang undang-undang, iaitu tidak dibenar bertanding pada PRU ke-12, 2008.

Pada waktu itu, selepas pengagihan kerusi dibuat, ramai yang tidak mahu bertanding, kerana tidak yakin dengan KeADILan.

Banyak seat kosong. Sehingga KeADILan terpaksa meminjam calon-calon daripada PAS. Malah boleh dikatakan seluruh pegawai-pegawai pejabat Anwar, yang masih muda, baru dalam politik disenaraikan sebagai calon.

Sehingga pada waktu itu, KeADILan dikatakan menggunakan 'calon tangkap-muat'. Bekas askar, posmen dan yang tiada kelulusan, tidak jelas latar belakang, semuanya diambil sebagai calon untuk memenuhi kouta.

Tetapi hasil PRU-12, berlaku sesuatu di luar dugaan. KeADILan, PAS dan DAP menang besar. Kemenangan yang tidak disangka-sangka hasil sokongan rakyat.

Kemenangan ini membuatkan ramai ahli politik 'terbuka mata'. Mereka melihat potensi yang besar dalam KeADILan. Mereka mula melihat bahawa KeADILan adalah parti masa hadapan, walaupun pada suatu ketika mereka ini semuanya skeptikal dan pesimis.

Apakah kerana KeADILan dilihat bakal menerajui Putrajaya bersama PAS dan DAP, maka mereka-mereka ini berebut-rebut untuk menang dalam pemilihan KeADILan?

Apakah mereka ini hanya muncul apabila cahaya kemenangan sudah kelihatan? Jawapannya mereka sendiri yang tahu.

Masalah yang dihadapi KeADILan

Apapun sejak lebih tiga puluh bulan Pakatan Rakyat dibentuk, rakyat amat-amat memerhati KeADILan, PAS dan DAP.

Soal siapa yang menawarkan diri, siapa yang berebut jawatan, atau sesiapa yang hendak diundi, terserahlah kepada perwakilan KeADILan untuk menentukannya.

Cumanya, harus diingatkan bahawa bukan kepimpinan yang hendak direbut. Bukan siapa yang berkuasa dalam parti yang hendak dikejar. Yang utama sekali ialah, adalah KeADILan yang ada hari ini akan terus relevan di hati rakyat.

Kewujudan KeADILan dalam Pakatan Rakyat, sama pentingnya dengan PAS dan DAP. Kelemahan KeADILan adalah juga kelemahan Pakatan Rakyat. Begitu juga kepada PAS dan DAP.

Masalah wujud dalam semua parti. Tetapi dalam ruangan ini penulis hanya mahu menfokus masalah yang dihadapi KeADILan.

Masalah yang dihadapi sekarang ialah sejauhmana kemampuan kepimpinannya mampu mengatasi persepsi kurang baik terhadap KeADILan.

Apakah persepsi yang kurang baik itu? Secara jujur digariskan di sini, antaranya ialah pertama, kebergantungan hanya kepada ketokohan Anwar Ibrahim. Maknanya, adalah dibimbangi, jika berlaku apa-apa yang tidak diingini terhadap Anwar, KeADILan akan jadi macam 'anak ayam kehilangan ibu.' Anwar juga dilihat sebagai faktor penyatuan dalam parti.

Kedua, KeADILan dilihat mempunyai terlalu banyak faction leader atau group leader. Sama ada faktor ini kerana perbezaan antara Melayu dengan bukan Melayu, beza kerana bergabung dua parti (Parti Keadilan Nasional dengan Parti Rakyat Malaysia), atau beza kerana pelbagai latar belakang kumpulan dalam parti. Perbezaan ini memungkinkan sukarnya ideologi mereka disatukan.

Ketiga, selepas PRU ke-12 lepas, ramai pemimpin, terdiri dari Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri yang defect dari KeADILan, sehingga menyebabkan Kerajaan Negeri Perak tumbang dan ada yang goyah.

Keempat, wujudnya persepsi pemimpin KeADILan sama ada di peringkat kerajaan negeri atau dalam Pihak Berkuasa Tempatan, yang kelihatan tamak kuasa. Sehingga timbul pergeseran kecil akibat berebut jawatan JKKK. Sehingga ada yang berkata, seolah-olah dari segi berebut kedudukan atau jawatan ini, KeADILan tiada beza dengan Umno.

Kelima, wujudnya hubungan kurang mesra di kalangan wakil rakyat KeADILan dengan kepimpinan PAS atau DAP di peringkat Parlimen atau Dun, yang dilihat boleh menjejaskan persefahaman untuk jangka panjang.

Mungkin banyak lagi boleh dicatat. Cukup sekadar ini dahulu. Apa pun kepimpinan KeADILan harus memperhalusi permasalahan persepsi ini. Kerana, persepsi itu menterjemahkan kepercayaan dan keyakinan rakyat.

Cabaran terbesar KeADILan bukanlah semata-mata untuk mengemukakan suatu sistem yang dilihat lebih demokratik, tetapi ialah, sejauhmana ia mampu menjadi team player yang meyakinkan rakyat untuk terus menyokong Pakatan Rakyat.

Cabarannya ialah sejauhmana ia mampu menghapuskan semua persepsi buruk terhadap KeADILan, mampu membezakannya dengan Umno dan ia mempunyai kepimpinan yang komited serta ahli-ahli yang setia.

Jika pun kepimpinan berubah, kepimpinan dilihat semakin mantap, tetapi ahli di peringkat bawahan terus melompat atau keluar parti, imej parti agak sukar dipulihkan.

Jika persepsi tidak ditangani sebaiknya, ada kemungkinan harapan menuju ke Putrajaya pada PRU ke-13 nanti, hanyalah mimpi yang tidak berkesudahan.

Penulis tidak bermaksud untuk mengkritik semberono, tetapi ianya sekadar merupakan muhasabah yang membina, bagi kepentingan Pakatan Rakyat keseluruhannya.


Harakahdaily

Tiada ulasan:

Photobucket
Template by : realaduka .blogspot.com