Assalamualaikum Dan Selamat Datang... Blog ini terbuka untuk kritikan dalam usha untuk menambah baik..

Sabtu, 18 September 2010

10 pemimpin sudah layak tanding timbalan presiden, naib presiden

September 18, 2010

KUALA LUMPUR, 18 Sept — Sepuluh pemimpin telah berjaya melepasi syarat pencalonan untuk bertanding jawatan timbalan presiden dan naib presiden pada pemilihan bersejarah — diadakan secara langsung dengan setiap ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengundi kali ini.

Selepas sembilan cabang selesai mengadakan mesyuarat agung tahunan mereka semalam, mereka telah melepasi kuota kelayakan iaitu minimum dua pencalonan.

PKR menetapkan kuota dua pencalonan sebagai syarat kelayakan bertanding kali ini.

Azmin Ali yang kini merupakan Naib Presiden PKR menerima empat pencalonan untuk jawatan timbalan presiden manakala anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Datuk Zaid Ibrahim memperoleh tiga pencalonan.

Seorang lagi Naib Presiden Mustafa Kamil Ayub dan Pengarah Strategi PKR Tian Chua masing-masing mendapat satu pencalonan bagi bertanding jawatan timbalan presiden.

Bagi jawatan naib presiden yang menawarkan empat kerusi, Shamsul Iskandar Mohd Akin yang memutuskan untuk tidak mempertahankan jawatannya sebagai ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) menerima lima pencalonan, sekali gus mendahului calon-calon lain.

Ketika dihubungi The Malaysian Insider sama ada beliau mengesahkan akan bertanding kerusi itu, Shamsul Iskandar berkata, “biar tunggu proses pencalonan berakhir.”

Beliau menawarkan mahu bertanding kerusi naib presiden kali ini, kelmarin.

Penyandang naib presiden Mustafa, R. Sivarasa dan Dr Lee Boon Chye menerima empat pencalonan untuk mengekalkan kedudukan mereka.

Turut tersenarai dalam pencalonan bagi kerusi naib presiden ialah Pengarah Pilihan Raya Fuziah Salleh dan Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang Datuk Dr Mansor Othman yang turut mendapat empat pencalonan.

Azmin juga dicalonkan oleh tiga bahagian.

Dua muka baru yang turut dinamakan ialah Nurul Izzah Anwar dan bekas Menteri Kesihatan Datuk Seri Chua Jui Meng yang masing-masing menerima dua pencalonan.

Anggota MPP Yahya Sahri, Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim, Zaid dan Senator Ir Zamri Yusof menerima satu pencalonan.

Pagi tadi Yahya mengumumkan mahu bertanding kerusi naib presiden.

Bagi jawatan presiden, penyandangnya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menerima kesemua sembilan pencalonan setakat semalam.

Pencalonan juga dibuat bagi jawatan MPP dan jawatan ketua AMK dan Wanita PKR.

Hari ini sahaja sebanyak 40 cabang lagi dijadual mengadakan mesyuarat agung tahunan dengan kebanyakannya adalah di Sabah.

Di Kedah hanya cabang Kulim-Bandar Baharu mengadakan mesyuarat manakala di Kelantan pula Kubang Kerian, Bachok, Ketereh, Tanah Merah dan Pasir Puteh.

Cabang-cabang di Negeri Sembilan yang akan mengadakan mesyuarat agung tahunan terdiri daripada Jelebu, Jempol, Kuala Pilah dan Rasah manakala di Pahang (Cameron Highlands, Lipis, Raub, Jerantut, Indera Mahkota, Kuantan dan Pekan).

Di Perak pula Gerik, Lenggong, Larut, Parit Buntar, Bagan Serai, Bukit Gantang, Taiping, Padang Rengas dan Sungai Siput manakala di Perlis membabitkan kesemua tiga cabang iaitu Padang Besar, Kangar dan Arau.

Cabang-cabang di Sabah yang bertemu hari ini ialah Kudat, Kota Belud, Kota Kinabalu, Penampang, Papar, Beaufort, Ranau, Keningau, Libaran, Sandakan dan Silau.

Tiada ulasan:

Photobucket
Template by : realaduka .blogspot.com