Assalamualaikum Dan Selamat Datang... Blog ini terbuka untuk kritikan dalam usha untuk menambah baik..

Ahad, 22 November 2009

KINI PELUANG TERBUKA BUAT MSO, HUSAM JANGAN BERGANJAK


Oleh: WFAUZDIN NS

APABILA membaca tulisan MSO (Mohd Sayuti Omar) di sini, saya agak kurang senang dengan caranya. Saya maklum sememangnya MSO sudah lama tidak `ngam' dengan YB Husam Musa. Apabila berlaku krisis di dalam PMBK serta isu pembatalan ke Mekah tahun ini oleh Tok Guru Nik Aziz, terbuka terlalu banyak ruang buat MSO untuk menyerang Husam. Penyingkiran Kickdefella atau Syed Azidi dari PMBK dilibatkan dengan Husam kononnya untuk menjatuhkan kepimpinan Tok Guru Nik Aziz. Difahami kononnya Husam inginkan lebih kuasa di dalam kerajaan PAS di Kelantan sekarang ini.

Berita terkini menyebut bahawa Tok Guru sebagai MB Kelantan menafikan Husam ingin atau telah menghantar surat untuk melepaskan jawatan yang dipegang di dalam Exco kerajaan Negeri. Husam dikatakan bercuti kerana rawatan sakit belakangnya. Apabila MSO di dalam tulisannya seolah-olah `mempersendakan' sakit yang dialami oleh Husam saya merasakan ada sesuatu `dendam' yang tidak tertunai oleh MSO. Saya fikir Husam tidak tergamak untuk menipu mengaku sakit sekiranya beliau benar-benar sihat. Masalah masa bila beliau hendak mendapatkan rawatan itu jangan kita pertikaikan. Soal Husam bercuti kononnya atas tekanan yang dihadapinya, itu pun tidak perlu kita pertikaikan. Sebagai ahli politik, jika menghadapi tekanan perlu juga untuk berehat menenangkan fikiran agar dapat kembali berkhidmat dengan lebih baik kepada rakyat. Sudah tentu kita tidak mahu mana-mana wakil rakyat yang bertugas dalam keadaan tekanan kerana sudah tentu perkhidmatan yang diberikan tidak efisyen.

Soalnya, mengapa Husam perlu meletakkan jawatan? Adakah kerana kita terlalu mementingkan persepsi sehinggakan sanggup kehilangan tokoh yang banyak berjasa kepada rakyat dan negeri? Jika persepsi itu lebih penting untuk menilai seseorang, sudah lama DS Anwar berehat sahaja di rumah dan tidak perlu bekerja kuat sekarang untuk rakyat. Bukan persepsi itu tidak perlu diambil kira, tetapi persepsi tidak boleh mengatasi yang hak dan batil. Jika Husam sememangnya mendatangkan `mudharat' kepada PAS atau negeri Kelantan, silalah singkirkan Husam tetapi bukan semata-mata atas dasar persepsi. Buktikan Husam tidak cekap, tidak telus atau pun sentiasa berlawanan dengan dasar kerajaan negeri.

Sebelum ini saya ada mengulas tentang Kickdefella dan juga Arif Fahmi CEO PMBK. Ulasan saya adalah mahukan siasatan dijalankan telus agar terbukti mereka bersalah sebelum diambil tindakan. Begitulah juga terhadap Husam. Buat Husam, teruskan kerja kamu selagi kamu masih diperlukan oleh kerajaan negeri. Tulisan MSO yang beberapa kali menyebut nama beberapa tokoh PAS yang wajar diberi kedudukan oleh MB Kelantan pada saya tidak salah kerana mungkin pada MSO itulah tokoh terbaik, tetapi mengapa pula MSO hendak mengajar Tok Guru Nik Aziz agar memecat Husam kononnya sebagai satu `ujian'. MSO sendiri beranggapan bahawa Husam masih diperlukan oleh kerajaan negeri, oleh yang demikian mengapa perlu dibuang semata-mata untuk satu `ujian'? Buang Husam dan ambil tokoh-tokoh yang MSO sebutkan itu, adakah satu tindakan cerdik?

Tok Guru Nik Aziz sendiri sebut bahawa mengapa ada orang tidak mahu tokoh yang bekerja kuat dan berkebolehan seperti Husam. MB Kelantan sendiri telah banyak menguji Husam dengan pelbagai tugas dan tanggungjawab dan Tok Guru sendiri memuji peranan Husam, maka mengapa kita pula minta agar Tok Guru uji lagi Husam dengan memecatnya dari jawatan? Tidak cukupkah ujian yang telah diberikan oleh Tok Guru terhadap Husam selama ini? Dan, jika Husam tersingkir siapakah yang paling kuat bersorak? Saya tidak percaya MSO orang yang pertama akan mengadakan kenduri makan `pulut kuning' untuk meraikannya.

Krisis di Kelantan sekarang tidak terlalu besar tetapi dibesar-besarkan oleh `mereka' yang sudah lama menyimpan `dendam'. Kesimpulannya pada saya, YB Husam tidak perlu meletakkan jawatannya kerana Tok Guru sendiri menyatakan kepercayaan kepada beliau. Arif Fahmi juga tidak perlu berganjak selagi SPRM tidak membuktikan apa-apa yang negatif terhadapnya. Bagi yang tahu maklumat atau apa jua tentang keburukan atau penyelewengan terhadap dua insan ini hatta penyelewengan oleh Tok Guru sendiri, sila tampil membantu SPRM agar kerajaan Negeri Kelantan dapat dibersihkan. Jangan kita hanya sibuk menimbulkan persepsi agar rakyat terpedaya dengan persepsi yang kita ada-adakan itu./Kembali ke laman asal.

Tiada ulasan:

Photobucket
Template by : realaduka .blogspot.com