Gadis kejar, langgar motosikal peragut
Oleh Khairiatul Nabila Koderat
bhnews@bharian.com.my
Huda lompat atas badan, cekik suspek
ALOR SETAR: Seorang gadis bertindak nekad mengejar dan melanggar motosikal dinaiki lelaki yang meragut beg tangannya di Jalan Putra di sini, menyebabkan suspek terjatuh sebelum mangsa melompat ke atasnya dan mencekiknya sebelum ditahan orang ramai, malam kelmarin.
Kejadian itu berlaku jam 9.50 malam ketika Huda Nasuha Hassan, 22, sedang menunggang motosikalnya bersendirian untuk pulang ke rumah di Taman Rakyat, Mergong di sini, selepas tamat bekerja di sebuah pusat beli belah di sini.
Huda Nasuha berkata, apabila tiba di tempat kejadian, seorang lelaki bermotosikal memintas dan merentap beg tangannya yang diletakkan dalam raga motosikal sebelum memecut melarikan diri.
"Pada mulanya saya tergamam dengan kejadian itu, tetapi nekad mengejarnya dengan motosikal sebelum merempuh belakang motosikal lelaki berkenaan apabila dia terperangkap dalam kesesakan di persimpangan lampu isyarat kira-kira 100 meter dari tempat saya diragut.
"Akibat perlanggaran itu kami terjatuh dan saya yang berbaju kurung melompat ke atas badan suspek dan mencekiknya.
"Melihat keadaan itu orang ramai datang membantu menahan suspek," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.
Huda Nasuha berkata, suspek yang berusia 20 tahun itu bagaimanapun tidak melawan kerana kakinya cedera dihempap motosikal.
"Suspek juga merayu supaya dilepaskan selepas memulangkan beg tangan yang diragut, tetapi saya nekad mahu menyerahkannya kepada polis," katanya.
Huda Nasuha berkata, dia sanggup bertindak berani mengejar dan melanggar motosikal peragut terbabit kerana terlalu geram dengan perbuatan lelaki terbabit.
"Malah, tindakan itu juga didorong perasaan terlalu bencikan peragut kerana angkara mereka menyebabkan seorang rakan karib saya mati, tahun lalu,” kata anak sulung daripada empat beradik itu.
RAKYAT CERDIK HARUS BERFIKIR
2 jam yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan