Assalamualaikum Dan Selamat Datang... Blog ini terbuka untuk kritikan dalam usha untuk menambah baik..

Jumaat, 8 Oktober 2010

Fikir ‘masak-masak’ jika mahu tanding timbalan, Nurul Izzah dinasihati

KUALA LUMPUR, 8 Okt — Calon timbalan presiden PKR Azmin Ali mengingatkan partinya bahawa mereka perlu bersedia menghadapi kritikan ‘pedas’ jika Nurul Izzah Anwar bertanding kerusi nombor dua berikutan laluan yang hendak diberikan oleh Datuk Zaid Ibrahim.

Azmin yang juga naib presiden berkata, beliau tidak akan terkejut jika PKR dituduh sebagai parti “dinasti keluarga” sambil menambah, “dalam politik, kritikan-kritikan tidak boleh dielakkan.”

“Memang, dalam politik kritikan-kritikan tidak boleh dielakkan.

“Kita perlu menjustifikasikan penyertaan Nurul Izzah dalam parti, tetapi bagi saya, saya mengalu-alukan apa jua keputusan (Nurul Izzah),” kata Azmin.

Azmin mendakwa isu nepotisme dan kronisme tidak wujud dalam parti dan sekiranya Nurul Izzah memutuskan untuk bertanding jawatan itu, ia semata-mata adalah kerana beliau layak berbuat demikian.

“Tiada isu kronisme atau nepotisme dalam parti. Nurul Izzah bersuara lantang dalam banyak isu, beliau aset kepada parti.

“Apabila ayahnya (Datuk Seri Anwar Ibrahim) berada di penjara, beliau banyak menyumbang kepada parti.

“Nurul Izzah mempunyai ikutan besar khususnya di kalangan generasi muda,” kata Azmin yang buat pertama kali bertanding jawatan timbalan presiden yang kosong selepas penyandang Senator Dr Syed Husin Ali memutuskan tidak mahu mempertahankan kedudukannya.

Bagaimanapun Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak memberitahu, bebannya adalah pada Ahli Parlimen Lembah Pantai itu untuk memutuskan sama ada beliau “bersedia” untuk bertanding jawatan timbalan presiden ataupun sebaliknya.

“Mengetahui tentang Izzah, beliau (pasti) akan berunding dengan pemimpin-pemimpin parti sebelum memutuskan apa-apa,” kata Azmin kepada The Malaysian Insider.

Azmin berada di depan dari segi pencalonan dengan memperoleh sokongan daripada 102 cabang, dan diikuti 38 bagi Zaid, dan seorang lagi naib presiden Mustaffa Kamil Ayub sebanyak 17.

Turut dicalonkan dan layak bertanding ialah Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim, Presiden Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mustaffa melahirkan pandangan yang mirip dengan Azmin sambil mengakui beliau telah menemui Nurul Izzah petang semalam berhubung isu ini.

“Saya percaya beliau akan memikirkan dengan mendalam sebelum membuat sebarang keputusan,” kata Mustaffa kepada The Malaysian Insider dalam temu bual khas.

“Dan, ya, saya bertemu dengan beliau semalam untuk membincangkan soal ini... bukan nasihat tetapi (saya bertemu) untuk berkongsi beberapa maklumat,” kata naib presiden ini.

Ditanya apakah Nurul Izzah tidak akan bertanding jawatan timbalan presiden, Mustaffa memberitahu:

“Kita perlu menunggu sehingga 16 Oktober,” kata Mustaffa dengan merujuk kepada tarikh akhir penerimaan pencalonan bagi mereka yang berminat bertanding kali ini.

Mustaffa memberitahu, Nurul Izzah perlu memikirkan kemungkinan bertanding kerusi nombor dua secara mendalam memandangkan ibunya, Dr Wan Azizah juga kemungkinan akan mengekalkan kedudukannya sebagai presiden PKR.

“Sesiapa boleh bertanding... ini adalah negara demokrasi dan sudah pasti anda kena fikirkan mengenai kesan dan persepsi memandangkan kemungkinan besar Datuk Seri Dr Wan Azizah akan mempertahankan jawatannya sebagai presiden, jika tidak Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang kemungkinan tidak akan turun gelanggang,” kata Mustaffa.

Anwar sudah pun meminta cabang-cabang tidak menamakan beliau untuk mana-mana jawatan parti kali ini.

Sesi bagi cabang menamakan calon masing-masing bagi jawatan presiden, timbalan presiden, naib presiden dan kerusi Majlis Pimpinan Pusat (MPP) berakhir Ahad lalu.

Mustaffa berkata, jika Nurul Izzah bertanding akan ada persepi negatif sekiranya presiden dan timbalan presiden adalah dari “keluarga yang sama.”

Dalam reaksi kepada The Malaysian Insider semalam, Nurul Izzah berkata, beliau memerlukan masa untuk memikirkan tawaran laluan yang hendak diberikan oleh Zaid bertanding jawatan timbalan presiden parti.

Sehubungan itu kata Nurul Izzah, beliau akan mengumumkan pendiriannya Ahad ini.

Nurul Izzah merupakan antara 27 orang yang layak telah bertanding kerusi naib presiden pada pemilihan secara langsung yang juga kali diadakan oleh PKR.

Kelmarin, Zaid yang juga anggota MPP PKR berkata, beliau bersedia menarik diri daripada bertanding jawatan timbalan presiden dalam pemilihan parti itu sekiranya Nurul Izzah ingin bertanding jawatan itu.

Sebelum ini Zaid berkata beliau akan turun gelanggang saingan timbalan presiden jika Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim tidak berbuat demikian.

Khalid yang telah pun mengesahkan bertanding jawatan pusat belum memutuskan sama ada bertanding timbalan presiden ataupun naib presiden.

Ia akan diumumkan selepas beliau mengadakan pertemuan dengan Anwar, dijangka juga Ahad ini.

“Saya difahamkan Nurul (Izzah) akan menawarkan diri sebagai timbalan presiden dan saya difahamkan dia ada cukup pencalonan.

“Jadi kalau dia benar-benar serius dan mahu jawatan ini, saya bersedia untuk menarik diri daripada jawatan timbalan presiden itu supaya Nurul dapat peluang yang seluas-luasnya.

“Saya melihat Nurul sebagai satu nafas baru dalam parti, orang muda yang boleh menarik keahlian baru yang lebih dinamik dan profesional, saya akan menyokong dan membantu beliau serta tidak akan merumitkan peluang beliau menang,” kata Zaid.

Zaid tidak menolak kemungkinan untuk bertanding jawatan nombor satu parti.

“Saya juga ingin menerangkan di sini bahawa ini tidak bererti saya tetap tidak akan bertanding apa-apa jawatan. Kalau dia (Nurul Izzah) tak nak bertanding, saya akan bertanding... jawatan apa bergantung... mungkin lebih tinggi daripada timbalan presiden,” kata Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan ini.

Nurul Izzah, “Puteri Reformasi”, sebelum ini menegaskan, beliau bertanding kerusi peringkat pusat bukan untuk meneruskan dinasti keluarganya.


Sumber MI

Tiada ulasan:

Photobucket
Template by : realaduka .blogspot.com