Keputusan yang dikeluarkan ibu pejabat PKR pagi ini menunjukkan Zaid, Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan memperoleh 3,683 undi manakala Naib Presiden Azmin Ali mendapat 3,051 undi.
Seorang lagi calon jawatan itu Mustaffa Kamil Ayub, yang juga naib presiden semasa, mengumpulkan 1,241 undi.
Bagi pemilihan sayap pemuda — Angkatan Muda Keadilan — muka baru Badrul Hisham Shaharin berada di depan dan sebagaimana diramalkan, Ketua Wanita Zuraida Kamaruddin mendahului saingan dengan selesa.
Sebanyak 68 cabang selesai mengadakan pengundian sehingga semalam. Ia bermula Jumaat lalu.
Pengundian akan diadakan di cabang-cabang lain sepanjang tujuh hari lagi secara berperingkat-peringkat. Pengundian cabang Pasir Mas yang sepatutnya diadakan Jumaat lalu juga telah ditangguhkan sehingga 6 November.
Chua, Ahli Parlimen Batu menerima 3,621 manakala Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar memperoleh 3,543 undi dan Pengarah Pilihan Raya Fuziah Salleh dengan 2,895 undi.
Nurul Izzah mendahului saingan hari pertama yang menyaksikan sembilan cabang melangsungkan pengundian.
Laporan tidak rasmi semalam, dengan keputusan enam cabang tidak diketahui, menunjukkan Azmin mengatasi calon-calon nombor dua pada hari ketiga semalam. Zaid berada di depan pada Jumaat dan Sabtu.
Azmin memperoleh pencalonan terbanyak untuk jawatan timbalan presiden dan disusuli dengan Zaid dan Mustaffa.
PKR kini melangsungkan pengundian di setiap cabang secara berperingkat-peringkat selama 10 hari sepanjang tiga minggu ini di bawah sistem pemilihan langsung — julung kali diperkenalkan ekoran pindaan perlembagaan parti tahun lalu.
Di bawah sistem itu, setiap ahli mempunyai hak mengundi untuk memilih pemimpin pusat.
Bagaimanapun pengundian pemilihan pusat ini berhadapan dengan peratusan keluar mengundi yang rendah berbanding ketika pemilihan kepimpinan cabang sekitar 20 peratus.
Sementara itu keputusan rasmi menunjkkan bagi jawatan naib presiden juga, Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang Datuk Dr Mansor Othman memperoleh 2,852 undi, Ahli Parlimen Padang Serai N. Gobalakrishnan 2,080, Exco Kerajaan Negeri Dr Xavier Jayakumar (1,679), Ahli Parlimen Subang R. Sivarasa yang juga naib presiden semasa menerima 1,553 undi, R. Suresh Kumar (1,237) dan Yahya Sahri (1,178).
Ansari Abdullah yang kini bertanding di pilihan raya kecil kerusi Parlimen Batu Sapi menerima 646 undi, pemimpin PKR Sarawak Baru Bian (659), bekas pengarah komunikasi PKR Jonson Chong (626), Ali Parlimen Balik Pulau Yusmadi Yusoff (615), Ahli Parlimen Kapar S. Manikavasagam (492), Pengerusi PKR Sarawak Dominique Ng (284), Setiausaha PKR Johor Saiman Marjuki (166) dan Ketua PKR cabang Papar dari Sabah, James Ghani (106).
Di peringkat sayap Wanita, penyandang kerusi Wanita Zuraida Kamaruddin berada di depan dengan 1,160 undi berbanding dua pencabarnya, Animah Ferrar yang mendapat 408 undi dan Suraya Sudin 403 undi.
Bagi jawatan timbalan ketua Wanita, Exco Kerajaan Negeri Selangor Rodziah Ismail menerima 1,400 undi untuk mendahului Asmah Abd Kadir yang mendapat 414 undi.
Berbanding sayap Wanita, persaingan bagi jawatan ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) kelihatan sengit dengan Badrul Hisham, Ketua PKR cabang Rembau memperoleh 1,133 undi berbanding penyandang Shamsul Iskandar yang menerima 1,029.
Bagaimanapun gandingan Shamsul Iskandar bagi jawatan timbalan ketua AMK, Khairul Anuar memperoleh 1,214 undi untuk mengatasi ADUN Teja Chang Lih Kang dari pasukan Badrul Hisham, yang menerima 833 undi.
Pengundian minggu ini akan diadakan Jumaat, Sabtu dan Ahad ini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan