Assalamualaikum Dan Selamat Datang... Blog ini terbuka untuk kritikan dalam usha untuk menambah baik..

Rabu, 23 Jun 2010

"Nafi 2/3 BN tu agenda lama" - Zaid : PR ke arah memerintah


Nafi 2/3 BN tu agenda lama" Zaid : PR ke arah memerintah

Meskipun Pakatan Rakyat kini diselubungi kekhuatiran bahawa sokongan Melayu semakin mengalih ke Barisan Nasional, namun tanggapan ini disangkal oleh Zaid Ibrahim, yang tetap optimis bahawa matlamat PR dalam pilihan raya umum ke-13 adalah untuk memerintah di negara ini.

Ketika ditanya apakah langkah seterusnya seandainya Barisan Nasional berjaya mengembalikan majoriti dua pertiganya dalam parlimen, Zaid Ibrahim terus menyifatkan matlamat "menafikan majoriti dua pertiga BN dalam parlimen" sebagai "agenda lama", malah yakin bahawa PR akan mara untuk menjadi kerajaan persekutuan di Malaysia.

"Saya tidak berfikir untuk menafikan dua pertiga BN, itu agenda lama. Kami akan memerintah di negara ini. Kamu orang (wartawan) tak percaya, itu masalahnya. Kamu ingat ini tidak boleh dilakukan," tegasnya.

"Jadi, Dato, anda yakin bahawa PR akan memerintah?" tanya wartawan lagi.

"Memang! (Of course)" jawabnya dengan tangkas. Zaid Ibrahim menambah, "Kerajaan ini sudah terdesak (desparate). Mengapa mereka membelanjakan RM150 juta (dalam PRK)? Kerana mereka takut!"

Beliau seterusnya melontarkan satu soalan kepada wartawan, "Apakah anda rasa kerajaan yang yakin dengan dirinya, akan membelanjakan wang sedemikian? Ini persoalan yang harus anda tanya."

Walaupun satu soal selidik Merdeka Center baru-baru ini memperlihatkan peningkatan tahap kepuasan terhadap Perdana Menteri Najib Razak kepada 72%, namun Zaid Ibrahim tetap mendakwa bahawa BN masih tidak yakin untuk berdepan dengan rakyat. Pembubaran DUN Perak, PRK di DUN Kota Siputeh, antara cabaran Zaid Ibrahim kepada BN, seandainya kerajaan BN mahu membuktikan keyakinan terhadap prestasi dirinya.

Soal selidik: Apa soalan yang ditanya?

Kongres tahunan PKR dan Muktamar tahunan PAS yang berlangsung di Kelantan beberapa minggu yang lalu membangkitkan kekhuatiran yang sama, iaitu hakisan sokongan Melayu/Islam. Bagaimanapun, Zaid Ibrahim tidak menyetujui pandangan sedemikian, sebagaimana yang dinyatakan dalam Kongres tahunan PKR.

"Kamu ada angka? Kamu tidak mempunyai angka..." katanya kepada wartawan. Apabila wartawan merujuk kepada keputusan PRK Hulu Selangor, calon PKR yang kecundang ini berkata, "Mestilah, apabila kamu merasuah orang dengan RM50 ribu, mestilah (orang undi kamu). Tapi ia tidak bermakna orang Melayu meninggalkan Pakatan Rakyat."

"Peneroka FELDA, apakah kamu menganggap mereka ada hak untuk memilih? Tak ada. Semua dikawal. Apabila kamu kata kami hilang sokongan Melayu, kami menang di kawasan lain, cuma kalah undi FELDA, tentera, polis. Melayu dalam pasukan polis, tentara tak ada pilihan," jelasnya.

Beliau menyambung, "Kamu perlu bezakan apa Melayu. Di semua kawasan lain, saya menang. Jadi, adalah tidak benar (untuk mendakwa PR hilang sokongan Melayu)."

PERKASA, atas nama Melayu

Ketika mengulas satu soal selidik Merdeka Center, yang mendapati hampir 60% responden Melayu bersetuju dengan sesetengah pandangan PERKASA (Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara), Zaid Ibrahim berkata, "Ia bergantung kepada apalah soalan yang ditanya. Saya tidak tahu apakah soalan yang mereka tanya. Apakah pendirian PERKASA yang disetujui mereka? Mengenai apa? Saya tidak tahu."

Beliau menambah, "Sekiranya kamu pergi dan beritahu Melayu, misalnya PERKASA kata, kamu sebagai Melayu seharusnya mendapat RM10 ribu sebulan, mestilah mereka suka PERKASA. Bergantung kepada apa kamu tanya."

Zaid Ibrahim enggan mengalah, "Isunya macam ini. Kamu harus lebih khusus dalam soalan kamu, apa yang dimahukan Melayu. Apa yang Melayu mahu? Kalau kamu mahukan sebuah negara yang mempunyai lebih sumber untuk rakyat, jadi kamu perlu hentikan segala pencurian ini. Itu yang Melayu tidak beritahu kamu!"

Beliau menyambung, "Jadi, kalau saya tanya Melayu apakah yang kamu mahukan ini? Semestinya mereka akan menyokong saya. Kalau saya tanya adakah Malayu mahu gaji naik, semestinya mereka kata ya. Itu bermakna Melayu sokong saya...Ia bergantung apa yang kamu tanya."

Kewujudan PERKASA

Apabila wawancara memasuki topik PERKASA, Zaid Ibrahim berkata, "Ia menunjukkan bahawa UMNO dan Najib tidak tahu apa yang hendak dilakukan."

Bekas ahli parlimen Kota Bahru-UMNO ini berkata, "UMNO ini (mempunyai) banyak kumpulan. Kamu tak boleh kata UMNO adalah satu parti yang bersatu padu, semuanya dengar, tidak. UMNO mempunyai banyak kumpulan, dan PERKASA hanyalah salah satu kumpulan dalam UMNO. Itu saja."

Zaid Ibrahim meletakkan kayu ukur apa yang dikatakan sebagai pemimpin, "Kalau Najib adalah pemimpin, kamu (Najib) mestilah menangani masalah inilah. Kalau kamu hanya menurut apa yang dikatakan (PERKASA), jadi kamu bukan pemimpin-lah. Beliau takut kepada kumpulan yang kecil ini."

"Kamu lihat, pemimpin mesti memberi panduan (guide), kamu mestilah tegas. Itulah apa yang dipanggil pemimpin. Kalau tidak, kamu hanyalah pengikut. Kamu lihat, kamu PM, dan kumpulan kecil ini memberi tekanan, mendakwa Melayu mahu ini dan itu. Kamu tanyalah dia, mana? Bagaimana? Kamu berbincang dengan mereka."

Secara terus Zaid Ibrahim menyatakan, "Banyak orang guna nama Melayu, untuk menuntut ini dan itu. Tapi bukan Melayu yang mahu ini dan itu, kamu sendiri yang mahu. Kamu mahu AP, kamu mahu lebih kontrak..." Bagaimanapun, Zaid Ibrahim kekal optimis, memandangkan semakin ramai orang Melayu yang menyedari hal ini.

Negara Islam atau sekular?

Antara label yang dilontarkan terhadap Zaid Ibrahim, salah satunya berbunyi "liberal", satu istilah yang kurang disenangi dalam dunia Islam di Malaysia. Zaid Ibrahim yang pernah menyaman kerajaan negeri PAS di Kelantan kerana undang-undang Hudud, kali ini bersikap cermat ketika menjawab soalan sama ada Malaysia negara Islam mahupun sekular mengikut undang-undang.

"Mahathir mengumumkan (negara kita adalah negara Islam) pada tahun 2001, tak ada orang ramai mengadu, mengapa? Kerana itu Barisan (Nasional). Kalaulah Pakatan (Rakyat) yang kata kita negara Islam, semua kata, 'oh... kami bimbang'," katanya yang kini berada dalam PR.

Pada hakikatnya, "tiada yang berubah", sebelum dan selepas pengumuman tersebut, katanya. Zaid Ibrahim yang enggan terjerat ke dalam perangkap istilah dan label berkata, "Jangan risau apa yang dilabelkan oleh orang. PAS memaklumkan kami idea mereka tentang Negara Islam, iaitu keadilan dan kesaksamaan. Ini berbeza dengan Negara Islam yang (disebut) Mahathir. Apa yang dirisaukan? PAS menentang penahanan tanpa perbicaraan. PAS kata anda tak boleh menahan (sewenang-wenangnya) tanpa perbicaraan. Itu juga (selari dengan idea) Negara Islam."

Tanpa mahu terperangkap ke dalam pertikaian label, Zaid Ibrahim sebaliknya menyarankan agar rakyat menilai sendiri apa yang berlaku dalam sistem, "Adakah sistem kehakiman kita adil? Adakah polis kita boleh menahan sesiapa pada bila-bila sesuka hati? Bolehkah media menjalankan tugas mereka? Adakah kamu mempunyai satu sistem yang terbuka..."

Beliau berkata, "Rakyat perlu menilai pada sistem, daripada apakah label yang dilekatkan oleh orang lain." -MR

Sumber Di Sini

Tiada ulasan:

Photobucket
Template by : realaduka .blogspot.com