Assalamualaikum Dan Selamat Datang... Blog ini terbuka untuk kritikan dalam usha untuk menambah baik..

Isnin, 9 November 2009

Seminar PAS diibarat 'gulai yang pernah dimakan'

Exco Dewan Ulama PAS, Zolkharnain Abidin al-Hafiz mengibaratkan seminar politik PAS sabtu lalu seperti "gulai yang pernah dimakan sebelum ini".

"Kalau tiada (Prof) Dr Abdul Aziz Bari dan Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah, tiada yang baru kepada seminar itu, kecuali mengulangi komitmen lama yang memang telah diketahui umum," tulis bekas exco Pemuda PAS itu dalam blognya semalam.

Menurutnya, sebahagian pembahas dikuasai emosi termasuk seorang pembahas dari kalangan ahli jawatankuasa PAS Pusat.

"Istilah 'tidak mahu tengok muka', rasanya kurang manis diungkapkan di hadapan tetamu seperti Aziz Bari. Kita menjemputnya, kemudian kita 'tidak mahu tengok muka'nya," tulis beliau yang juga bekas ADUN Santan, Perlis.

"Benar, presiden perlu dibela apabila ada usaha mencemarkan wibawanya, tetapi rasanya bukan begitu. Bela dengan hujah dan fakta, bukan dengan serangan melulu.

"Kalau Aziz pernah menyerang presiden dengan serangan yang 'kita sukar menerimanya', itu terpulang kepadanya. Dibimbangi, bukan serangan itu yang menjejaskan Presiden, tetapi pembelaan sembrono yang akan menjatuhkan reputasinya.

"Kata orang Melayu, 'sokong yang membawa rebah'," tulis Zolkharnain yang juga ketua penerangan PAS Padang Besar, dalam blognya itu.

Tiada penegasan menyakinkan

Di samping itu, katanya, beliau dan rakan-rakannya menyertai seminar itu dengan harapan yang menggunung, tetapi sebaliknya penegasan baru yang lebih menyakinkan - bukan ahli PAS sahaja tetapi juga penyokong PAS.

"Penegasan melalui ucapan dan resolusi sahaja dalam menangani isu yang selama ini menghantui PAS tidak memadai. Itu sudah berulang kali dibuat.

"Apa yang saya maksudkan dengan penegasan meyakinkan ialah penegasan dalam bentuk tindakan seperti pecat, gugur, amaran dan sempamanya.

"Penegasan yang boleh menimbulkan kewaspadaan dan kegerunan kepada mana-mana pemimpin atau ahli yang 'menyiram, membaja atau mengairi' kembali isu yang menjadi agenda seminar itu.

"Saya ingin mendengar penegasan itu dalam ucapan penutup presiden, tetapi saya pulang dengan hampa," tulis Zolkharnain.

Beliau juga berpendapat tidak perlu bagi pengerusi jawatankuasa disiplin PAS turut serta dalam forum bersama Abdul Aziz dan Dr Hassan bagi mengimbangi pandangan mereka yang agak kritikal terhadap PAS.

"Bagi saya itu tidak perlu kerana banyak pembahas yang bakal mengimbangi pandangan kedua-dua penalis itu.

"Tuan Ibrahim adalah pengerusi jawatankuasa disiplin. Keberadaannya di situ boleh mengganggu tugasnya. Bayangkan kalau ada ketika itu pembahas yang mempersoalkan orang yang bakal disiasat, apa sikapnya?

"Samada dia mengulasnya atau tidak, persepsi sebahagian audiens terhadapnya bakal serong," katanya yang juga bekas exco Dewan Pemuda PAS pusat.

Tiada ulasan:

Template by : realaduka .blogspot.com