Assalamualaikum Dan Selamat Datang... Blog ini terbuka untuk kritikan dalam usha untuk menambah baik..

Khamis, 16 Julai 2009

Sah Chua Jui Meng Letak Jawatan

MUAR: Bekas Menteri Kesihatan, Datuk Chua Jui Meng, malam ini mengumumkan meletak jawatan sebagai pengerusi MCA Bahagian Bakri berkuat kuasa serta merta tetapi berteka teki mengenai desas desus bahawa beliau keluar dari parti itu untuk menyertai pembangkang.

Chua, 64, yang juga bekas Naib Presiden MCA, berkata peletakan jawatan itu dibuat secara sukarela dan memberi alasan bahawa beliau sudah lama memegang jawatan berkenaan iaitu selama 23 tahun menyebabkan sudah tiba masanya orang yang lebih muda untuk mengambil alih.

Beliau menamakan Timbalannya, Sia Ka Tuan, untuk memangku jawatan ketua bahagian itu.

"Harapan saya malam ini MCA Bakri bersatu padu seperti dulu, saya sudah menjadi pengerusi selama 23 tahun, tujuh penggal dan sudah sampai masa beri kuasa dan laluan kepada orang yang lebih muda.

"Mungkin ini mencatat sejarah kerana tidak pernah seorang yang pegang jawatan ketua pada pertandingan sengit dan hangat tahun lalu boleh menyerahkan kuasa pada penolong yang tidak sehaluan dengan saya tahun lalu," katanya pada sidang media di Pejabat MCA Bahagian Bakri, selepas perjumpaan dengan ahli jawatankuasa MCA Bahagian dan ketua cawangan MCA dalam bahagian itu, di sini malam ini.

Mengenai desas-desus beliau menyertai pembangkang, Chua berkata, ini bukan kali pertama perkara itu dibangkitkan.

"Saya tahu ini bukan pertama kali desas desus berkaitan saya seolah-olah nak menyertai parti pembangkang, saya bukan seorang yang nak menggunakan media memberitahu nak sertai pembangkang dengan harapan BN (Barisan Nasional) akan memberi saya jawatan penting.

"Apabila tiba masa, saya akan suarakan (desas-desus). Saya bukan nak kata saya nak buat itu dan ini dan tawar-menawar melalui akhbar," katanya.

Chua turut mengakui beliau pernah dihampiri parti pembangkang termasuk pada pilihan raya umum lalu dan ditawarkan sebagai calon tetapi beliau menolak beberapa kali kerana tujuannya adalah meneruskan reformasi MCA.

Katanya, walaupun sudah dua kali beliau kalah pada pertandingan Presiden MCA tetapi beliau akan teruskan usaha menjadikan MCA relevan kepada masyarakat Tionghua dan menegaskan beliau tidak akan meninggalkan MCA selagi tidak berbuat sesuatu yang elok terlebih dahulu.

"Jika satu hari nanti saya hendak meninggalkan MCA, saya akan membuat sesuatu yang elok dahulu," katanya.

Katanya, walaupun sudah meletak jawatan namun visi dan wawasannya tidak akan mati dan akan mengekalkan perjuangan sehingga dapat mencapai matlamat seperti manifestonya ketika bertanding jawatan presiden MCA tahun lalu.

"Ini bukan soal menang atau tidak, itu perkara kecil tetapi saya memandang kepada negara, masyarakat majmuk dan perjuangan untuk semua masyarakat negara ini termasuk harapan saya terhadap pucuk pimpinan negara dan terhadap struktur dasar negara yang perlu diubah suai sehingga Malaysia menjadi negara untuk semua kaum secara adil," katanya.

Beliau juga sudah meminta semua ahli jawatankuasa MCA Bakri supaya terus menyokong presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat walaupun sebelum ini Ong adalah lawannya tetapi beliau tetap menjalankan usaha bagi memastikan ahli parti itu bersatu padu.

Mengenai perancangannya selepas meletak jawatan itu, Chua berkata:

"Saya baru selesai masalah besar.. biarlah saya rehat dan fikir dulu apa yang nak buat selepas ini. Saya akan buat satu persatu.. Malam ini saya gembira kerana sudah bertugas 23 tahun," katanya.

Tiada ulasan:

Photobucket
Template by : realaduka .blogspot.com