Assalamualaikum Dan Selamat Datang... Blog ini terbuka untuk kritikan dalam usha untuk menambah baik..

Isnin, 21 Disember 2009

HUSAM CABAR MUSTAPA JADI HERO

Exco Kerajaan Negeri Kelantan Datuk Husam Musa mencabar Pengerusi Umno negeri itu Datuk Mustapa Mohamed agar "menjadi hero" dengan mengadakan perundingan membabitkan kerajaan negeri itu dan pusat dalam menyelesaikan pertikaian royalti minyak.

"Mengapa tidak Datuk Mustapa menjadi hero rakyat Kelantan dengan memulakan perbincangan dan perundingan dengan Kerajaan Negeri?

"Kemudian, memberikan hak kepada yang berhak, apa lagi untuk negeri tumpah darah beliau juga," kata beliau mengulas kenyataan Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Semalam Mustapa berkata kerajaan pusat belum dapat menentukan jumlah dan kaedah bagaimana pengagihan wang ihsan kepada kerajaan Kelantan sehingga jumlah bahan pengeluaran hasil petroleum di negeri ini ditentukan oleh Petronas.

Menurut Mustapa, yang pastinya jumlah pemberian wang ihsan itu mungkin tidak sama dengan apa yang diperoleh kerajaan Terengganu, Sabah dan Sarawak kerana separuh daripada hasil petroleum negara adalah dari tiga negeri itu.

Sehubungan itu Husam yang juga Timbalan Pesuruhjaya II PAS Kelantan berkata jika dikatakan bertindih menghilangkan kelayakan royalti, mengapa untuk kawasan CAA yang bertindih antara Vietnam dan Terengganu, negeri jiran itu pula dibayar royalti.

"Jika selama ini Terengganu layak, kenapa Kelantan yang turut bertindih dengan Vietnam di bahagian utara CAA tidak berhak menerimanya?

"Sekurang-kurangnya bagi Medan Bunga Pakma dan Bunga Orkid, kerajaan pusat terhutang kepada Kelantan beratus juta. Difahamkan kerajaan pusat telah menerima AS$700 juta dari kawasan ini selama ini," kata Husam dalam tulisan blognya.

Tambah beliau begitu juga dengan kawasan JDA yang berada dalam perairan Kelantan dan Akta JDA 1990 langsung tidak menidakkan kawasan itu berada dalam perairan Kelantan lama sebelum ia menyertai Malaysia.

"Tidak juga akta itu menjadikan kawasan ini wilayah eksklusif yang terkeluar dari kedaulatan negara kita.

"JDA hanya satu kerjasama yang diberi kuasa untuk mengolah pengeluaran petroleum secara bersama dengan Thailand dan bertanggunjawab membayar royalti seperti tercatat dalam akta itu," katanya.

Husam mendakwa hanya niat buruk untuk mempastikan Kelantan terus miskin sahaja alasan sebenar penafian ini.

"Difahamkan, bagi kawasan JDA, MTJDA telah menghulurkan AS$200 juta sebagai royalti kepada kerajaan pusat. Untuk tahun 2010, ia meningkat kepada RM800 juta. Mana bahagian Kelantan?" katanya lagi.

Husam menambah bagi medan bintang yang bertindih antara Kelantan dan Terengganu, sudah tentu Kelantan juga layak terhadap sebahagian royaltinya.

Menurutnya, difahamkan Petronas telah membayar RM10 bilion sebagai royalti kepada kerajaan persekutuan bagi medan tersebut.

"Jika Kelantan dibayar tunggakan satu pertiga sahaja dari medan Bintang, ia sudah berjumlah RM3.3 billion," katanya sambil menambah, sudah masa bagi kerajaan pusat lebih telus dan lebih bersemangat kekeluargaan.

"Selain adil, saksama dan bersetia dengan perjanjian," katanya.

SUMBER di sini.

Tiada ulasan:

Template by : realaduka .blogspot.com