Versi terkini jam 5.30 petang
KUALA LUMPUR, 11 Mei: Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir tidak dilantik dengan sah sebagai Menteri Besar Perak.
Hakim Datuk Abdul Aziz Abd Rahim memutus Datuk Seri Nizar Jamaludin masih MB Perak yang sah.
Beliau menerima pakai keputusan yang pernah dibuat oleh Mahkamah sebelum ini dalam kes Stephen Kalong Nikan yang memutuskan menteri besar atau ketua menteri hanya boleh dipecat melalui usul undi tidak percaya di Dewan Undangan Negeri.
Permohonan peguam Zambry, Cecil Abraham untuk memohon keputusan itu ditangguhkan untuk membolehkan rayuan dibuat kepada Mahkamah Rayuan ditolak oleh hakim.
Mahkamah juga mengarahkan Zambry dan Exconya mengosongkan kerusi masing-masing.
Hakim juga berkata, jika Sultan Perak mahu Nizar meletakkan jawatan, baginda hendaklah mengarahkan Dun Perak bersidang dan usul undi tidak percaya dikemukakan.
Selepas usul itu lulus barulah Sultan berhak memerintahkannya meletakkan jawatan dan melantik MB baru.
Sementara itu, Siasah difahamkan, Zambry akan mengosongkan segera pejabat MB Perak kerana menghormati keputusan mahkamah.
Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar ketika dihubungi Siasah berkata, majlis di Markas Tarbiyah PAS Taman Melewar malam ini akan berjalan seperti biasa di mana penceramahnya adalah Datuk Seri Nizar dan Speaker V Sivakumar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan