Assalamualaikum Dan Selamat Datang... Blog ini terbuka untuk kritikan dalam usha untuk menambah baik..

Jumaat, 1 Oktober 2010

Khalid Tidak Percaya Azmin Ingin Jatuhkannya


SHAH ALAM: Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada Jumaat berkata beliau tidak percaya bahawa Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Azmin Ali mahu menjatuhkannya seperti yang didakwa oleh beberapa pihak.

Ketika diminta mengulas pendedahan seorang bekas pemimpin PKR semalam mengenai perkara itu, beliau berkata : "Kita tidak boleh terima berita itu terutama tentang kesahihannya. Saya tidak percaya yang Azmin lakukan perkara itu."

Abdul Khalid berkata walaupun wujud banyak perbezaan pendapat dalam PKR, parti itu mencari jalan penyelesaian terbaik dengan cara yang tertib dan teratur melalui perbincangan oleh Biro Politik PKR.

Ketika diminta mengulas mengenai persediaan bagi pemilihan PKR Cabang Kuala Selangor yang diketuainya pada Ahad ini selepas berlaku kekecohan pada pemilihan di beberapa cabang parti tersebut baru-baru ini, Abdul Khalid berkata beliau telah meminta pasukan sukarelawan dari cabang itu untuk membuat beberapa persediaan supaya tidak berlaku perkara-perkara yang tidak diingini. - BERNAMA

CD Jatuhkan MB: Faekah Anggap Skrip Lapuk


Mohd Naeem Raffi

SHAH ALAM: Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Faekah Husin menyifatkan dakwaan pendedahan cakera padat (CD) konspirasi menjatuhkan Tan Sri Khalid Ibrahim, sebagai amalan politik tidak matang.

Beliau menganggap pendedahan sedemikian adalah skrip lama bekas pemimpin yang meninggalkan PKR bagi meraih publisiti politik, selain menegaskan corak kepimpinan parti sentiasa terkedepan.

"Perjalanan cerita sebegini macam skrip 'orang berkasih-kasihan' seperti dalam skrip tahun 1998. Jadi kalau wujud skrip sama pada tahun 2010 untuk menjatuhkan seseorang, saya kira ia sudah lapuk," katanya.

Beliau berkata demikian kepada TV Selangor apabila diminta mengulas laporan yang didakwa pendedahan CD untuk menjatuhkan Khalid, kononnya melibatkan Naib Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali.

Dakwaan pendedahan perbualan telefon yang digembar-gemburkan bekas Ahli Majlis Tertinggi PKR, Ng Lum Yong dan tersiar dalam kebanyakan media arus perdana hari ini.

Mengikut laporan media, perbualan telefon selama 10 minit itu melibatkan Ramlan Abu Bakar yang kini mengaku sebagai Ketua Reformis Malaysia dengan seseorang yang tidak diketahui identitinya.

Menyatakan perbualan telefon itu juga menimbulkan pelbagai keraguan, Faekah turut mempersoal kedudukan sebenar Ramlan dalam pertubuhan berkenaan.

"Pejabat SUK ada menerima memorandum daripada Persatuan Reformis menyatakan Ramlan bukan Presiden tetapi orang lain. Ini menimbulkan keraguan," katanya.

Mengenai dakwaan penglibatan Azmin, Faekah berkata, tiada sebab Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa itu mahu jatuhkan Khalid memandangkan kedudukan Azmin lebih tinggi.

"Tiada sebab Azmin mahu menjatuhkan Khalid kerana dalam hiraeki parti, Khalid tidak ada jawatan tertinggi - hanya Ahli Majlis Pimpinan Pusat sedangkan Azmin adalah Naib Presiden," katanya.

Beliau juga melihat dakwaan demikian bukan isu sebaliknya konspirasi yang menjadi rencah dan asam garam ketika pemilihan parti rancak berjalan.

"Apapun tujuannya hanya mahu menjadikan proses pemilihan ini sebagai sesuatu panas (kontroversi)," katanya yang menganggap konspirasi menjadi rencah dan asam garam ketika pemilihan parti rancak berjalan.

Siapa ketuai BN di Galas? Ku Li terus berteka-teki


Soalan siapa akan mengetuai jentera pilihan raya BN semasa kempen di dewang undangan negeri Galas terus menjadi teka-teki apabila pemimpin veteran Umno yang dipertanggungjawabkan tugas itu, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, beliau belum berkata 'ya ataupun tidak'.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Selasa lalu mengumumkan bahawa Tengku Razaleigh telah bersetuju memikul tugas itu, tetapi ahli parlimen Gua Musang - hari ini pada halaman Twitter - menafikan perkara itu.

"Rakan, rakan, saya tidak berkata ya ataupun tidak. Saya akan menjelaskan berhubung Galas apabila saya pulang ke Malaysia,” tulisnya pada jam 6.35 waktu tempatan.

Tengku Razaleigh kini berada di Ireland, bagi melawat universiti di mana beliau mendapat pendidikannya - Queen's University di Belfast. Beliau dijadualkan pulang pada 9 Oktober ini.

Namun pada awalnya, tidak dapat dipastikan sama ada Tengku Razaleigh merujuk kepada pengumuman kenyataan Muhyiddin atau cadangan dari pihak lain yang beliau dilantik sebagai pengarah pilihan raya BN.

Bagaimanapun, gambaran semakin jelas, apabila seorang daripada pengikutnya mengemukakan soalan di Twitter kepadanya: "Harap maaf Tengku, tetapi kenapa TPM asyik berkata bahawa anda telah persetujui? Bukan sekali tetapi hampir setiap hari.”

Menjawab soalan itu, Razaleigh menyerahkan perkara berkenaan kepada Muhyiddin dengan berkata beliau belum memberi sebarang persetujuan berhubung jawatan berkenaan.

"Itu, kita kena tanya beliau. Saya setakat ini belum membuat sebarang kenyataan,” jawab Razaleigh.

Photobucket
Template by : realaduka .blogspot.com